Displaying items by tag: alcohol
Had lesen jualan arak langkah tepat bendung gejala sosial (in Bahasa Malaysia)
Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras baru-baru ini, menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.
Di satu pihak, cadangan itu ditentang habis-habisan dengan alasan pelaksanaan kawalan berkenaan bakal menyekat kebebasan individu, terutama masyarakat bukan Islam.
Pihak lain pula menyambut baik hingga ada berpendapat penjualan arak sama sekali tidak wajar dibenarkan di Malaysia yang dianggap sebagai negara yang penduduk majoriti beragama Islam.
Dalam menanggapi polemik ini, kita perlu mengenal pasti beberapa isu yang menjadi landasan kepada permasalahan. Beberapa isu pokok perlu diselesaikan dan dijelaskan. Ia saling berkait dengan persoalan ini hingga berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Pertama, kedudukan hukum arak kepada masyarakat Muslim. Ia jelas perkara dilarang seperti ditegaskan berulang kali baik dalam al-Quran mahupun sunnah. Bahkan, larangan turut meliputi segala aspek berkaitan arak seperti terbabit dalam memproses, menjual, dan membawanya.
Namun, Islam turut bertoleransi dan bertolak ansur dalam menjamin hak kebebasan masyarakat bukan Muslim yang hidup di wilayah pentadbiran Islam.
Hal ini banyak dibincangkan ulama muktabar baik pada zaman klasik mahupun kontemporari dalam topik berkenaan Ahkam Ahl al-Dhimmah yang menyentuh tatacara mengurus hubungan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara Islam.
Majoriti ulama bersepakat masyarakat bukan Muslim perlu diberikan kebebasan mengamalkan kepercayaan dan gaya hidup mereka, termasuk meminum arak.
Justeru, mereka tidak akan dikenakan sebarang hukuman hudud mahupun takzir sekiranya didapati meminum arak seperti termaktub dalam undang-undang jenayah Islam.
Bahkan jaminan kebebasan ini sampai ke satu tahap terdapat ulama memberikan hak kepada orang bukan Islam untuk menuntut ganti rugi, sekiranya minuman araknya dirosakkan orang Islam.
Justeru, kita perlu membezakan antara persoalan status keharaman arak dalam Islam dengan kebenaran diberikan Islam kepada penganut agama lain.
Islam tidak memaksakan kepercayaannya kepada penganut agama lain. Namun, Islam meletakkan garis panduan jelas dalam menguruskan hak kebebasan masyarakat bukan Islam.
Ini dilakukan bagi menjamin kerukunan dan kesejahteraan hidup masyarakat berbilang agama terutama dalam masyarakat majoriti Muslim.
Oleh itu, kebenaran meminum arak hanya tertakluk kepada tempat persendirian mereka, bukannya di ruangan awam seperti pasar dan jalanan. Begitu juga kebenaran ini hanya khusus bagi masyarakat bukan Islam sahaja.
Mereka dilarang keras untuk menjual minuman keras kepada orang Islam, apatah lagi mempromosikannya kepada orang Islam untuk membelinya. Jika ini dilakukan, mereka dianggap melampaui batasan kebebasan diberikan Islam. Justeru akan dikenakan hukuman.
Dengan ini, kita dapat memahami letak duduk sebenar isu yang menjadi polemik ini. Isu yang sepatutnya menjadi fokus perbincangan ialah garis panduan dicadangkan kerajaan untuk mengawal proses penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam.
Jika dinilai daripada neraca pandang syariah, ini jelas termasuk dalam bab pentadbiran pemerintah (siyasah syariah) terhadap rakyatnya. Oleh itu, sebarang keputusan diambil perlu berdasarkan pertimbangan implikasi kemaslahatan dan kemudaratan kepada rakyat.
Kewibawaan diberikan kepada pemerintah untuk menghalang dan menyekat sesuatu perkara yang boleh membawa kepada bahaya serta malapetaka berlandaskan prinsip 'sadd al-zarai' (menutup jalan menuju kemudaratan) dalam hukum Islam.
Pada masa sama, skop perbahasan perlu diperluaskan meliputi keseluruhan masyarakat, tidak terhad kepada masyarakat Muslim semata-mata.
Masyarakat sivil di negara ini perlu mengambil bahagian dalam mencari penyelesaian bagi permasalahan ini yang membabitkan ancaman dan bahaya kepada ketenteraman ruang awam serta memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Hal ini sudah lama dipraktikkan di negara bukan Islam lain terutama di Barat yang mengambil langkah proaktif mengawal penjualan minuman keras seperti mengehadkan lesen penjualan, mengkhususkan premis tertentu sahaja serta menetapkan masa terhad bagi penjualannya.
Ini semua dilakukan atas dasar kesedaran bagi membendung gejala sosial dan melindungi masyarakat umum daripada bahaya yang timbul daripadanya tanpa memerlukan kepada sentimen agama.
Oleh itu, kita dapati amat wajar kerajaan meneruskan langkah mengetatkan garis panduan lesen jualan minuman keras di tempat awam. Bahkan, inisiatif ini perlu diperluaskan di kawasan lain serta merangkumi semua kategori minuman keras memabukkan.
Bukti ancaman kemudaratan perlu dicegah melalui tindakan ini amat jelas berdasarkan peningkatan berterusan statistik kes pemandu mabuk, keganasan domestik dan gangguan awam dilakukan pemabuk.
Pada masa sama, langkah ini perlu diambil dengan pendekatan lebih inklusif membabitkan keseluruhan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
Penjelasan perlu dibuat bagi memberi kesedaran dan pencerahan berkenaan tujuan utama tindakan ini diambil kerajaan.
Cara ini ternyata pendekatan 'menang-menang' dengan masalah dapat diatasi dan stigma serta persepsi negatif seperti ancaman terhadap kebebasan masyarakat bukan Islam dapat dielakkan sama sekali.
Penulis adalah Penganalisis di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia
BH, New Straits Times Press, 29 NOV 2020
Pemandu Mabuk, Pengharaman Arak dan Limitasi Kebebasan Ruang Peribadi (in Bahasa Malaysia)
Kekerapan kes kemalangan maut oleh pemandu mabuk sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar saban hari telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Hal ini telah menyebabkan sesetengah golongan terutamanya masyarakat Muslim menggesa kerajaan untuk terus mengharamkan penjualan arak di Malaysia bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. Arak yang merupakan sesuatu yang diharamkan dalam Islam dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk terus dibenarkan di Malaysia. Manakala seruan ini telah disambut dengan suara-suara kebimbangan daripada pihak yang lain yang melihat tindakan ini akan menceroboh dan mengganggu hak kebebasan ruang peribadi masyarakat minoriti bukan Muslim di negara ini.
Walhasil, polemik berkenaan pengharaman arak di Malaysia seakan telah menemui jalan buntu. Ini kerana kedua pihak tersebut dilihat tidak mempunyai titik pertemuan. Hujah agama dan kesan buruk daripada arak yang dibawa oleh pihak pertama yang menyeru kepada pengharaman arak dilihat belum mencukupi untuk menjustifikasikan pengharaman arak secara menyeluruh. Manakala hujah berkenaan hak dan kebebasan yang dibawa oleh pihak kedua dilihat lebih bersifat mementingkan diri, kerana mengancam kepentingan masyarakat umum yang lebih besar.
Langkah pertama dalam mencari penyelesaian tuntas bagi isu ini ialah dengan mencari titik perbincangan yang sama di antara dua golongan ini. Satu mekanisme yang jelas diperlukan dalam menyelesaikan pertembungan di antara dua kepentingan, iaitu di antara kebebasan peribadi peminum arak dan kesan mudaratnya kepada orang lain. Justeru, sesuai dengan realiti masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama di Malaysia, berbanding hujah-hujah agama yang emosional, perbincangan daripada aspek kemudaratan arak dilihat lebih berpotensi bagi mencapai sebuah penyelesaian realistik bagi masalah ini.
Dari segi perspektif Islam, arak diharamkan bukan semata-mata di atas dasar ketaatan (ta’abbudi) kepada Allah SWT. Alasan utama di sebalik pengharaman arak ini ialah kemudaratan yang lebih besar kepada manusia berbanding manfaatnya, sebagaimana jelas dinyatakan di dalam al-Qur’an di dalam ayat pengharaman arak, iaitu:
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” (al-Baqarah: 219)
Manakala menurut perspektif perundangan moden, kemudaratan (harm) jelas merupakan asas yang kuat bagi mengkategorikan sesuatu perbuatan sebagai jenayah yang perlu dilarang. Sebagai contohnya, John Stuart Mill, seorang ahli falsafah Inggeris yang terkenal sebagai pembela kebebasan individu daripada campur tangan negara turut mengakui bahawa kebebasan individu perlu dihadkan apabila ia dilihat mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Hal ini kemudiannya diperincikan oleh Joel Feinberg dengan membahagikan kemudaratan kepada empat kategori berdasarkan turutan keutamaannya untuk dijadikan asas kepada limitasi kebebasan individu.
Pertama sebagaimana yang telah disebutkan Mill ialah perbuatan yang mampu mendatangkan kemudaratan kepada orang lain (harm to others). Kemudaratan secara langsung kepada orang lain seperti mencederakan dan menyebabkan kerugian harta benda orang lain merupakan asas yang paling kuat untuk menjadikan sesuatu perbuatan itu sebagai jenayah. Di tahap yang kedua ialah gangguan kepada orang lain (offense to others), walaupun kemudaratan yang dilakukan dalam kategori ini tidak dapat dilihat secara fizikal, namun ianya tetap berlaku seperti mengganggu ketenteraman awam dengan perbuatan yang tidak senonoh serta kata-kata kesat. Manakala kategori yang seterusnya ialah memudaratkan diri sendiri (harm to self). Perbuatan seperti ini lebih rumit untuk ditentukan, kerana melibatkan persoalan kebebasan dan autonomi individu yang sangat dipelihara di dalam falsafah perundangan Barat. Namun dalam sesetengah keadaan, pihak berkuasa tetap mempunyai kuasa untuk campur tangan bagi menghalangnya seperti larangan cubaan membunuh diri dan perbuatan yang membahayakan nyawa seperti tidak memakai tali pinggang keledar. Kategori keempat yang merupakan tahap paling rendah di dalam pembahagian kemudaratan ini ialah salahlaku yang tidak memudaratkan (harmless wrongdoings) seperti maksiat yang dilakukan secara bersendirian yang tertakluk kepada kesedaran moral individu serta tidak memerlukan kepada campur tangan penguasa dan undang-undang.
Oleh itu, jelas bahawa secara umumnya aspek kemudaratan dapat diterima sebagai parameter bagi penentuan pengharaman sesuatu perkara, baik menurut perspektif Islam mahupun perundangan moden. Justeru, dalam membincangkan polemik pengharaman arak ini, jelas bahawa perbuatan meminum arak mampu untuk membawa pelbagai kemudaratan baik kepada orang lain mahupun kepada diri sendiri. Arak boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang lain sebagaimana yang berlaku di dalam kes kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk dan keganasan domestik oleh suami dan ayah yang merupakan kaki botol. Begitu juga arak boleh mendatangkan gangguan kepada orang sekeliling seperti mengganggu ketenteraman awam, membuat kelakuan tidak senonoh dan menghemburkan kata-kata kesat. Manakala perbuatan meminum arak itu sendiri, walau dilakukan dalam keadaan tidak melibatkan orang lain, ianya tetap memudaratkan peminumnya sendiri. Ini tidak dapat disangkal dengan kewujudan bukti-bukti saintifik kajian perubatan yang mengesahkan kesan negatif arak terhadap kesihatan.
Sebagai kesimpulannya, kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam memelihara kemaslahatan umum rakyat perlu mengambilkira kesemua aspek ini dalam menambahbaik polisi sedia ada berkenaan arak di negara ini. Situasi sekarang jelas menyaksikan polisi sedia ada memberi kelonggaran yang berlebihan terhadap arak, baik daripada aspek penjualan sehinggalah kepada langkah penguatkuasaannya lantas membuka pintu kemudaratan besar kepada umum. Maka langkah yang amat tegas perlu diambil bagi kes dimana peminum arak telah mendatangkan kemudaratan kepada orang lain disekelilingnya, terutama yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Begitu juga di dalam kes di mana peminum arak telah mengganggu ketenteraman umum di tempat-tempat awam.
Manakala sekiranya kerajaan memilih untuk bertoleransi terhadap arak bagi meraikan kebebasan sesetengah golongan, ianya perlulah terbatas bagi kategori ketiga sahaja, dimana peminum arak tersebut memilih untuk mendatangkan kemudaratan kepada dirinya sendiri tanpa melibatkan orang lain. Untuk itu, satu limitasi yang jelas perlu disediakan dimana arak dibenarkan di dalam ruang peribadi individu serta dipastikan bahawa mudaratnya tidak akan merebak kepada orang lain di sekelilingnya, baik keluarga, jiran mahupun masyarakat.
Akhir kata, dalam kita sibuk berbicara tentang memperjuangkan hak dan kebebasan peribadi, satu perkara yang perlu sentiasa diingat ialah:
“Kebebasan anda berakhir apabila ia mula menganggu kebebasan orang lain.”
Muhamad Sayuti Mansor merupakan Pegawai Khas kepada CEO dan Penganalisis di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia. Beliau boleh dihubungi di: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Published in: BebasNews.my, Tuesday 2 June 2020
Source: https://bebasnews.my/?p=38028&fbclid=IwAR0GT-OynsiHcSSyPE16zmuZXeuPQa1wsmTeDaHFxBy7NHlNU2MMY6hdzxE