Displaying items by tag: agong

Konflik Perlembagaan antara istana dan eksekutif bukan perkara baharu sejak negara merdeka. Daripada pembacaan, konflik Perlembagaan pertama berlaku pada 1983 sejurus Tun Dr Mahathir Mohamad, mengambil alih kepemimpinan negara.

Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 66(4) adalah untuk mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan sesuatu rang undang-undang (RUU) yang diluluskan Parlimen.

Sebelum pindaan 1983, semua RUU diluluskan Parlimen mesti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Tanpa perkenan Seri Paduka, RUU yang diluluskan tidak boleh diwartakan, berkuat kuasa dan mengikat dari segi undang-undang.

Cadangan RUU pindaan 1983 pada asalnya ialah memberi masa sehingga 15 hari kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Ini tidak dipersetujui baginda dan Majlis Raja-Raja kerana dianggap mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Berlaku krisis antara eksekutif dan institusi istana buat seketika, sehingga satu kompromi terhasil dengan memberi masa sehingga 30 hari untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat juga persetujuan dalam tempoh berkenaan - Yang di-Pertuan Agong boleh memulangkan RUU terbabit kepada Parlimen untuk penambahbaikan dan pindaan. Namun, akhirnya mengikut Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan, sama ada memperkenan atau tidak kerana selepas 30 hari, RUU berkenaan menjadi undang-undang.

Konflik Perlembagaan kedua berlaku pada 1993 apabila eksekutif mengambil tindakan memasukkan Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan dengan memansuhkan imuniti Raja-Raja atas kapasiti peribadi.

Sebelum pindaan 1993, Raja-Raja tidak boleh didakwa sekiranya membuat kesalahan atas kapasiti peribadi. Bagi memastikan keadilan kepada mangsa, tindakan undang-undang boleh dibawa terhadap Raja-Raja atas kapasiti peribadi.

Pada asalnya juga, pindaan ini mendapat bantahan daripada Raja-Raja. Akhirnya, Raja-Raja berkompromi dan bersetuju dengan pindaan itu.

Yang menariknya, semua ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan terbabit.

Dengan pindaan 1993, Perkara 182(1) dan (2) dimasukkan ke dalam Perlembagaan dengan penubuhan Mahkamah Khas bagi mengadili Yang di-Pertuan Agong atau Raja negeri atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, sesuatu prosiding di Mahkamah Khas ke atas Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu atas kapasiti peribadi hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.

Konflik ketiga dan semasa berlaku apabila Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat 2021 selepas Proklamasi Darurat dibuat pada 11 Januari dan tamat pada 1 Ogos lalu.

Berlaku perjumpaan dan surat menyurat antara Seri Paduka dan Perdana Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat 2021. Kehendak Agong supaya Ordinan ini dibahas dan diungkai di Parlimen.

Konflik ini bermula dengan hasil mesyuarat Kabinet pada 21 Julai memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat 2021. Pada 23 Julai Perdana Menteri mempersembahkan keputusan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan mengikut Perkara 150 (2B).

Pada 24 Julai, Yang di-Pertuan Agong memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) serta Peguam Negara menitahkan supaya pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibawa ke Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai untuk dibahaskan dan diungkaikan mengikut Perkara 150 (3).

Pada 26 Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat 2021 dibatalkan, tetapi tidak memaklumkan bahawa ia sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 29 Julai, satu kenyataan media dikeluarkan Istana Negara menzahirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong amat dukacita dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang mengelirukan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong menzahirkan bahawa Ordinan Darurat 2021 perlu dibawa ke Parlimen untuk perbahasan dan pembatalan.

Pada 29 Julai juga, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media menjunjung kasih atas kezahiran Seri Paduka itu. Kenyataan media berkenaan membangkitkan bahawa kerajaan mahu pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibuat di luar Parlimen seperti diputuskan pada mesyuarat Kabinet pada 21 Julai.

Ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai untuk mendapat perkenan. Kenyataan media itu juga mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri/Kabinet berdasarkan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jika melihat kepada Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga perkara iaitu pertama, pelantikan Perdana Menteri (baca bersama Perkara 43 (2) (a) ), kedua tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubar Parlimen (baca bersama Perkara 43 (4) ) dan ketiga memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja yang membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja serta apa-apa tindakan hasil daripada mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.

Melihat penyelesaian dalam konflik dan krisis Perlembagaan pada 1983 dan 1993, penyelesaian diambil pihak eksekutif adalah dengan menerima cadangan Yang di-Pertuan Agong dalam merungkai kemelut ini.

Lagi pun, pembatalan Ordinan Darurat 2021 tidak lagi berbangkit dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos. Pihak eksekutif sudah pun mengambil pendekatan harmoni supaya Ordinan Darurat 2021 dibahas dan diungkai pada sesi Parlimen September nanti.

Bagaimanapun, menjadi adab resam dan kesusilaan budaya Melayu, terutama apabila membabitkan konflik antara eksekutif dan istana, eloklah pihak eksekutif menjunjung kasih serta memohon ampun atas kekhilafan berlaku.

Ini bertepatan tiga ungkapan dalam Rukun Negara - 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan'.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/08/847815/bhplus

TIDAK pernah terjadi dalam sejarah negara sejak merdeka bahawa pembatalan ordinan darurat hanya dibuat oleh kabinet dan seterusnya kabinet menasihati Agong.

Agong seolah-olah dipaksa untuk memperkenankan nasihat itu mengambil Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan walaupun Agong tidak bersetuju. Agong menggunakan Perkara 150 (2B) dan Perkara 44.

Tindakan oleh kabinet terutamanya bila mana Menteri Undang-undang dan Peguam Negara telah dititahkan oleh Agong untuk Parlimen membahas dan membuat ketetapan mengenai Ordinan Darurat 2021 dan pembatalan Ordinan Darurat 2021 oleh kabinet pada 21 Julai tanpa perkenan Agong membawa implikasi yang sangat besar dari segi undang-undang dan politik.

Adab, kesusilaan dan budaya Melayu sejak zaman berzaman sentiasa menjunjung kasih ke atas Raja selagi mana ia tidak berlawanan dengan Syarak dan undang-undang. Sejarah telah mengajar kita akan implikasinya sekira Raja murka (amat berdukacita).

Bagi merungkai krisis Perlembagaan antara Agong dan Kabinet, titah Agong supaya Parlimen membahaskan Ordinan Darurat 2021 perlu dilaksanakan seberapa segera mengikut Perkara 150 (3) baca bersama Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (8).

Tanpa berbuat demikian, Agong boleh tidak memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat 2021.

* Penulis ialah Timbalan Ketua Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

-BebasNews

Source: https://bebasnews.my/?p=66185

PERUNTUKAN mengenai Majlis Raja-raja termaktub dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan di mana kesemua sembilan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri menjadi ahli. Kecuali dalam perkara mengenai pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pelucutan Yang di-Pertuan Agong hanya dikhususkan untuk Raja-raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri tidak termasuk dalam kuorum pemilihan dan pelucutan tersebut. Ini adalah hak prerogatif Raja-raja Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Raja berperlembagaan merupakan sistem pemerintahan negara sejak merdeka. Meskipun begitu, Perlembagaan Persekutuan tidak menjelaskan secara tuntas maksud sebenar konsep ini. Ini kerana, mengikut konsep tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri/ Jemaah Menteri atau seseorang Menteri (Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan) dan Raja-Raja Melayu atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri. Namun, dalam menjalankan tugas Baginda-Baginda, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu boleh menggunakan kuasa budi bicara dalam perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri. Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara baginda dalam: a) pelantikan Perdana Menteri (baca bersama Perkara 43 (2) (a) ); b) tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen (baca bersama Perkara 43 (4) ); dan c) memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja yang membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja dan apa-apa tindakan hasil dari mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.

Majlis Raja-Raja mempunyai peranan dalam memastikan negara berada dalam landasan yang betul. Kedudukan Majlis Raja-Raja mengatasi politik dan tidak terikat dengan telunjuk mana-mana parti politik.

Memandangkan Yang di-Pertuan Agong dipilih dan dilantik oleh Raja-Raja Melayu untuk tempoh lima tahun, nasihat dan pandangan Majlis Raja-Raja sewajarnya diambil kira dalam tindakan Yang di-Pertuan Agong.

Maka tidak hairanlah Yang di-Pertuan Agong memanggil Raja-Raja Melayu bagi mendapat pandangan untuk disampaikan kepada pihak-pihak berkenaan demi kelangsungan dan kerukunan hidup rakyat jelata.  Dalam hal ini tidaklah bermaksud bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak di luar dari kerangka Perlembagaan dan enggan mengikut nasihat Perdana Menteri dalam perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini dapat dilihat dalam keputusan Yang di-Pertuan Agong setelah memanggil Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu memutuskan tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat pada 25 Oktober 2020. Tindakan ini adalah hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Maka mengikut budi bicara baginda juga, permintaan Perdana Menteri untuk perisytiharan darurat telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021. Dalam hal ini, mengikut Perkara 150 (8) (a) & (b) Perlembagaan Persekutuan, keputusan sama  ada Yang di-Pertuan Agong berkenan atau tidak berkenan terhadap permintaan Perdana Menteri tidak boeh dicabar di Mahkamah.

Apa yang menarik dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun yang lalu ialah Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan perbincangan khas tersebut telah memanggil pemimpin-pemimpin parti politik dan pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 untuk memberi pandangan. Ini termasuk sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan semasa Perbincangan Khas tersebut.
Hasil Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu tersebut, Raja-Raja Melayu telah memutuskan tujuh ketetapan: i) nyawa dan kehidupan rakyat perlu diutamakan mengatasi perkara-perkara lain; ii) mengurangkan birokrasi dalam mempercepatkan program vaksinasi supaya rakyat dapat memahami dan bekerjasama menjayakan imuniti kelompok sehingga 80%; iii) program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami dan mendapat sokongan rakyat; iv) kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan; v) meredakan suhu politik yang semakin panas; vi) pentingnya kerajaan yang stabil dan mendapat majoriti rakyat; dan vii) tiada keperluan untuk melanjutkan pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Justeru itu, ada dua perkara penting yang diititah oleh Yang di-Pertuan Agong: i) Supaya Perdana Menteri memanggil seberapa segera sidang Parlimen; dan ii) Tidak melanjutkan tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Tiada isu berbangkit dalam perkara (ii) iaitu tidak melanjutkan tempoh darurat selepas 1 Ogos 2021 kerana ia adalah hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti yang dibincangkan di atas.

Tetapi terdapat dua tafsiran berbeza apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen seberapa segera. Persoalannya, apakah Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan walhal negara sedang dalam keadaan darurat?

Mengikut seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Parlimen boleh dipanggil pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin, ini bermaksud bahawa sidang Parlimen tidak digantung semasa tempoh darurat tetapi  menghadkan tempoh panggilan Parlimen untuk bersidang.

Pada hemat penulis, titah Yang di-Pertuan Agong  pada 24 Februari 2021  bahawa Parlimen boleh dipanggil bersidang pada bila-bila masa semasa darurat adalah selari dengan titah yang dikeluarkan pada 16 Jun 2021.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa nasihat oleh Perdana Menteri atau Jemaah Menteri atau seseorang Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan boleh diketepikan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan satu ordinan baru.

Mengikut Shamrahayu A. Aziz, kita perlu membuat tafsiran holistik terhadap seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 di mana Ordinan ini mengetepikan undang-undang bertulis yang sedia ada yang bercanggah atau tidak selaras dengan Ordinan ini. Justeru itu, sekiranya terdapat percanggahan atau ketidakselarasan antara undang-undang bertulis dengan Ordinan ini, maka dengan tuntas, Ordinan ini mengatasi undang-undang bertulis tersebut.

Persoalannya, perlukah notis 28 hari untuk memanggil sidang Parlimen? Dalam hal ini, oleh kerana negara berada dalam keadaan darurat, notis 28 hari tidak terikat. Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan Perdana Menteri menetapkan tarikh, tempat dan waktu untuk sidang Parlimen semasa tempoh darurat kerana kuasa ini diberikan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021. Titah ini telah dikeluarkan setelah Yang di-Pertuan Agong mengadakan Perbincangan Khas dengan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021.

Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak melatah tetapi bertindak mengikut lunas Perlembagaan. Kesejahteraan rakyat dalam menghadapi kehidupan yang tidak menentu akibat wabak COVID-19 serta ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi negara menjadi pencetus kepada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu. Ini bukanlah kerana Yang di-Pertuan Agong tidak menerima perkembangan semasa oleh Perdana Menteri dalam menangani masalah negara terkini yang lazimnya dibuat secara mingguan sebelum mesyuarat Jemaah Menteri. Namun, atas pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah mendapat pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan yang melegakan dan menguntungkan rakyat.

Sesungguhnya tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah untuk memastikan semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman berjalan mengikut tadbir urus yang telus di mana semua cabang ini mempunyai peranan masing-masing. Menafikan salah satu cabang ini dari berfungsi dan menjalankan tugasnya akan menyebabkan kepincangan kepada tadbir urus negara terutama dalam suasana getir COVID-19, ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

-BebasNews

Source: https://bebasnews.my/?p=63266

11 Januari 2021 menyaksikan negara Malaysia menutup pintu Parlimen kepada 222 ahlinya. Badan perundangan di peringkat Persekutuan “digantung” fungsinya. Kuasa eksekutif diserahkan kepada kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri yang memerintah sebelum proklamasi darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam menjalankan tugasnya, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat setelah mendapat nasihat Jemaah Menteri. Ini merupakan permintaan kedua oleh Jemaah Menteri setelah gagal dalam cubaan pertama pada 25 Oktober 2020. Kali terakhir seluruh negara berada di bawah perintah darurat adalah pada tahun 1969 rentetan peristiwa 13 Mei 1969. Sebelum itu, perintah darurat seluruh negara berlaku pada tahun 1964 kerana konfrontasi dengan Indonesia.

Sebenarnya proklamisasi darurat terpilih telah dimasyhurkan di Gerik dan Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020 dan di Batu Sapi, Sabah pada 18 Disember 2020 apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen dan Negeri wakil rakyat di tiga kawasan ini akibat kematian penyandangnya. Kesannya, pilihanraya kecil di tiga kawasan ini tidak perlu diadakan sehingga proklamisasi ini ditarik balik. Ini kerana mengambil pengajaran penambahan mendadak kes pandemik COVID-19 dalam Pilhan Raya Negeri Sabah pada 26 September 2020.

Sebenarnya, semua perisytiharan proklamisasi darurat yang berlaku di Malaysia adalah selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh membuat perisytiharan darurat setelah berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Perkara 150 (2) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh bertindak sedemikian sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Dalam hal ini, tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Perkara 150 (8) (b) memperuntukkan bahawa mahkamah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk dalam keputusan yang telah dibuat oleh Agong dalam perkara berkaitan darurat.

Isu yang dibangkitkan ialah bolehkah kerajaan minoriti yang keabsahan majoritinya menjadi persoalan boleh diberi kuasa eksekutif oleh Yang di-Pertuan Agong semasa negara berada dalam waktu darurat? Jawapanya ialah pertikaian ini tidak menjejaskan kedudukan eksekutif hari ini sehingga perisytiharan darurat tamat pada  1 Ogos 2021 atau lebih awal bergantung kepada laporan jawatan kuasa khas yang akan dibentuk bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong. Meskipun begitu, mengikut Profesor Shad Saleem Faruqi, dalam menjalankan tugasnya, Yang di-Pertuan Agong boleh tidak menggunakan kuasa baginda demi kebaikan negara dalam membuat perisytiharan darurat sekiranya Perdana Menteri tidak mendapat majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 telah masyhurkan oleh Yang di-Peruan Agong dan diwartakan pada 14 Januari 2021 adalah dibuat di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan undang-undang khas yang dibuat di bawah Ordinan Darurat yang tidak memerlukan kelulusan Parlimen kerana Parlimen tidak perlu bersidang selama tempoh darurat kecuali ia dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian. Sekiranya tempoh darurat ini perlu dilanjutkan, ia perlu kepada satu proklamisasi perisytiharan baru bagi tempoh tersebut.

Antara perkara penting dalam Ordinan Darurat ini ialah kuasa eksekutif dan perundangan terletak ke atas perdana menteri dan jemaah menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari. Manakala menteri besar atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diberi kuasa eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.

Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang enggan mematuhi tuntutan kerajaan bagi menyerahkan harta atau sumber boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun  atau denda sehingga RM 5 juta atau kedua-duanya.

Segala tindakan oleh kerajaan atau agennya dalam melaksanakan undang-undang ini tidak boleh diambil tindakan undang-undang semasa Ordinan ini berkuatkuasa atau di masa hadapan.

Kecuali dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk bersidang, Parlimen tidak bersidang semasa tempoh Ordinan ini berkuatkuasa. Tambahan pula, pilihanraya umum atau negeri termasuk pilihanraya kecil tidak perlu diadakan semasa tempoh berkuatkuasa Ordinan ini. Justeru itu, kekosongan kerusi di Dewan Negara seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 54 serta peruntukan di bawah Perkara 55 di mana Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen untuk bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan sebelumnya tidak terpakai semasa tempoh Ordinan ini berkuatkuasa.

Persoalan timbul, siapakah yang akan memastikan semak dan imbang terhadap tindakan badan eksekutif ini semasa Ordinan ini berkuatkuasa kerana Parlimen tidak bersidang? Jawapannya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam mengamati segala tindakan oleh badan eksekutif kerana negara berada dalam keadaan darurat. Demokrasi berparlimen terhenti buat seketika semasa Ordinan ini berkuatkuasa.

Menurut Profesor Shad Saleem Faruqi, secara umumnya, apabila Ordinan Darurat diisytihar dan diwartakan, kesannya ialah kuasa Ordinan ini mengatasi kuasa undang-undang yang sedia ada dan ia boleh bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang wujud. Dalam hal ini, sesuatu ordinan yang bercanggah dengan hak asasi dan melangkau bidang kuasa negeri, kecuali dalam hal ehwal agama Islam, adat Melayu dan undang-undang adat boleh dibuat semasa tempoh darurat. Ia boleh dilakukan oleh Parlimen sekiranya bersidang atau melalui permasyhuran oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan ordinan tersebut. Dalam hal ini, ia tidak memerlukan perkenan Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Negeri-Negeri.

Malah semakan kehakiman walaupun berasas kepada perlembagaan juga agak sukar kerana Perkara 150 (6) memperuntukkan bahawa tiada peruntukan dalam Ordinan Darurat terbatal walaupun bercanggah dengan Perlembagaan. Tambahan pula, Perkara 150 (8) menghalang semakan kehakiman ke atas Ordinan Darurat.

Memandangkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang apabila Ordinan Darurat 2021 diisytiharkan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut Perkara 150 (2B) bagi membuat apa-apa undang-undang semasa tempoh darurat tersebut.

Adalah jelas bahawa kuasa-kuasa darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi asas bagi membuat satu undang-undang khas yang kuasanya sama atau lebih tinggi dari perintah undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

Meskipun begitu, Ordinan Darurat 2021 perlu dibentangkan di Parlimen menurut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan apabila Parlimen dipanggil bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Bebas News 19 Jan 2021: https://bebasnews.my/?p=52306

Kemelut kesahihan siapa mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri timbul lagi. Kali ini Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu.

Anwar mempersembahkan bahawa beliau mendapat jumlah majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu. Sejurus itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Anwar tidak mempersembahkan senarai yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan itu juga menyatakan Anwar perlu akur dan hormati proses undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sejurus Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, dilaporkan Tengku Razaleigh Hamzah juga dipanggil menghadap. Apa dibincangkan masih menjadi rahsia tetapi umum mengetahui Yang di-Pertuan Agong mahukan pandangan beliau yang sudah tentu berkait rapat dengan kemelut politik sekarang.

Apa menarik ialah surat Tengku Razaleigh bertarikh 25 September lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menggesa undi tidak percaya dibahaskan.

Surat ini menjadi pengetahuan umum dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjawab surat bertarikh 29 September lalu bahawa usul persendirian Ahli Dewan Rakyat hanya akan diterima selepas selesai urusan kerajaan. Beliau juga memohon agar perkara itu dibincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuskan sekali lagi usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) selepas buat kali pertama pada Mei lalu.

Beberapa Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) turut mengutuskan usul sama. Ada juga Ahli Dewan Rakyat lain yang berbuat demikian. Ini menjadikan jumlah usul tidak percaya kepada Perdana Menteri paling banyak dalam sejarah Malaysia.

Berbeza dengan Malaysia, amalan usul undi tidak percaya pernah berlaku di Parlimen United Kingdom (UK). Sekurang-kurangnya ada dua usul undi tidak percaya kepada Perdana Menterinya yang berjaya pada abad ke-20, iaitu 1924 dan 1979.

Usul undi tidak percaya paling terbaru ialah pada 16 Januari 2019 apabila kerajaan diketuai Parti Konservatif berjaya mengekalkan kuasa. Namun, dalam sejarah Parlimen Malaysia, tidak pernah terjadi usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri diterima dan dibahaskan.

Cuma usul tidak percaya kepada Menteri Besar pernah terjadi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 30 Oktober 1961 dan akibatnya kerajaan PAS Terengganu tumbang. Hal sama juga pernah berlaku di Kelantan apabila Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir kalah dalam usul undi tidak percaya pada Oktober 1977 yang kemudiannya menyebabkan beliau meletak jawatan.

Berlaku rusuhan dan akhirnya Parlimen meluluskan rang undang-undang darurat yang meletakkan pentadbiran negeri Kelantan diuruskan kerajaan Persekutuan.

Umum mengetahui Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke 8 pada 1 Mac lalu walaupun mempunyai majoriti tipis selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dengan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari.

Justeru, mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik seseorang sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, baginda hendaklah memastikan individu dilantik mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen seperti dalam Perkara 43 (2) (a).

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya kepada beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat. Sekiranya undi tidak percaya menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Namun, mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Baginda mempunyai budi bicara tidak membubarkan Parlimen walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Ironinya, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh memecat Perdana Menteri. Justeru, Yang di-Pertuan Agong boleh menasihat seseorang Perdana Menteri untuk meletak jawatan sekiranya pada hemat baginda bahawa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa dalam Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memprorog atau menggantung Parlimen. Kuasa diperuntukkan ini adalah budi bicara baginda yang tidak perlu kepada nasihat Jemaah Menteri atau Menteri seperti termaktub dalam Perkara 40 (1) dan (1A). Kuasa ini tidak pernah dilakukan Yang di-Pertuan Agong dalam sejarah Malaysia.

Namun, dalam sejarah Parlimen UK, beberapa prorog diisytiharkan Raja dan Ratu. Contohnya, Raja Charles I pernah memprorog Parlimen pada 1628. Prorog paling lama dalam sejarah negara itu ialah pada Disember 1678 sehingga 27 Mei 1679 dibuat Raja Charles II.

Parlimen sepatutnya bersidang pada Julai 1679 tetapi ditangguhkan hingga Oktober 1680. Raja Charles II memprorog Parlimen sehingga 10 Januari 1681 bagi menghalang pemecatan beberapa hakim. Baginda membubarkan Parlimen pada 18 Januari 1681 dan memanggil Parlimen bersidang di Oxford pada 21 hingga 28 Mac 1681. Raja Charles II kemudian membubarkan Parlimen.

Prorog selepas itu berlaku pada 1831, 1948 dan 1997. Peristiwa prorog terbaru berlaku pada 28 Ogos 2019 apabila Ratu Elizabeth II memprorog Parlimen UK atas nasihat Perdana Menteri, Boris Johnson.

Prorog ini dianggap tidak sah dan tidak adil oleh Mahkamah. Mahkamah Agung memutuskan ketetapan ini pada 24 September 2019 dengan merujuk kepada kes Miller lwn Perdana Menteri bahawa prorog itu terbatal dan tidak sah dari segi undang-undang.

Akibatnya, prorog berkenaan terpaksa ditarik balik dan dianggap seolah-olah tidak berlaku. Melihat kepada sejarah di UK, agak sukar bagi Yang di-Pertuan Agong memprorog Parlimen Malaysia.

Meskipun mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri, baginda mempunyai kuasa besar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman.

Tanpa prejudis, mengikut Perkara 150(1), Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Ini demi untuk memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

Kuasa kini di tangan Yang di-Pertuan Agong. Baginda akan menggunakan budi bicara dan pada hemat baginda apa yang terbaik untuk Malaysia mengikut acuan Perlembagaan. Daulat Tuanku!

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Source: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/10/743234/hak-agong-dalam-perlembagaan-jaga-kepentingan-rakyat-negara

 

Dalam kalender, Sabtu pertama dalam bulan Jun, negara kita menyambut ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong (YDA). Walau bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini sambutan keputeraan YDA dibuat dalam bulan September kerana tarikh asalnya jatuh dalam bulan Ramadhan. Pada tahun ini, tarikh asal hari keputeraan YDA ialah pada hari Sabtu 6 Jun 2020 tetapi dipinda pada 8 Jun 2020. YDA sekarang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu dalam satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) sebagai YDA ke 16 pada 24 Januari 2019 selepas 9 hari ditabalkan sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang gering ketika itu. Baginda telah mengangkat sumpah jawatan sebagai YDA pada 31 Januari 2019.

Jawatan YDA merupakan satu-satunya jawatan unik dalam dunia. Ini kerana, YDA dipilih oleh MRR dari kalangan sembilan Raja-Raja Melayu bagi satu tempoh lima tahun. Maka seseorang Sultan yang dipilih sebagai YDA tidak boleh memegang jawatan seumur hidup sebagaimana raja-raja lain yang wujud di dunia. Sebagai contoh, Permaisuri Elizabeth di United Kingdom merupakan pemerintah beraja yang paling lama bersemayam di atas takhta sehingga kini.

Hakikatnya, institusi YDA lahir dari kemerdekaan Tanah Melayu. Sebelum itu, tidak wujud satu institusi beraja di peringkat persekutuan. Hanya terdapat sembilan Sultan/Raja yang diiktiraf sehingga sekarang. Seperti yang disebut sebelum ini, salah seorang daripada Sultan/Raja akan dipilih oleh baginda-baginda tuanku untuk menjadi YDA bagi tempoh lima tahun. YDA boleh meletak jawatan. Sejarah juga telah menyaksikan satu-satunya YDA, Sultan Muhammad V YDA ke 15 yang menaiki takhta pada 13 Disember 2016 meletak jawatan pada 6 Januari 2019. Menurut Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, YDA boleh boleh meletak jawatan pada bila-bila masa dengan menghantar surat perletakan jawatan kepada MRR. YDA juga boleh dilucutkan jawatannya oleh MRR. Seseorang Sultan yang dipilih menjadi YDA akan terlucut jawatannya sekiranya baginda tidak lagi menjadi Sultan/Raja di negeri berkenaan.

Institusi YDA sangat siknifikan bagi rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu institusi yang disanjung tinggi dan memain peranan penting dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Institusi YDA bukanlah satu institusi yang hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp. Ia merupkan satu institusi yang tertinggi tubuhkan oleh pembuat Perlembagaan bagi mengetuai Persekutuan Malaysia. Menurut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDA adalah Ketua Tertinggi (Supreme Head) bagi Persekutan Malaysia yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia. YDA tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas yang diwujudkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan institusi YDA dan MRR berperanan sebagai juruaudit tambahan dari segi perlembagaan. Malah ternyata, ada bukti dalam Laporan Suruhanjaya Reid, kewujudan YDA dan MRR adalah sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung kepada hak-hak baginda-baginda, mempertahankan agama Islam, Bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.

Fungsi dan Peranan Yang di-Pertuan Agong

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dari sistem Westminster dari England. Dalam menjalankan tugas, YDA dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri. Baginda tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam Perkara 40 (1) (1A) Perlembagaan Persekutuan di mana YDA dikehendaki bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

YDA adalah ketua negara tetapi bukan ketua badan eksekutif. Kuasa eksekutif yang diberi kepada baginda adalah terhad tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang diberi dan yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun begitu, YDA boleh menggunakan budibicara baginda, melantik Perdana Menteri mengetuai kabinet (Perkara 43(1)). Walau bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri, YDA hendaklah memastikan individu yang dilantik itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen (Perkara 43 (2) (a)). Hal ini dapat dilihat dalam perlantikan Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yasin apabila Perdana Menteri Ketujuh Tun Mahathir Mohamad meletak jawatan dan tertumbangnya kerajaan Pakatan Harapan. Meskipun pada pengamatan ramai bahawa majoriti perwakilan Dewan Rakyat yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah tipis, tetapi pada menjalankan budibicara baginda YDA dalam melantik seseorang sebagai Perdana Menteri, baginda tuanku yakin ia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Selepas melantik Perdana Menteri, YDA hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik jemaah menteri dari kalangan ahli Parlimen sama ada dari kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 38 (2) (b)).

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada YDA untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dari Kabinet. Ini dapat dilihat bila mana Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 setelah beliau mendapati bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa itu.

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya kepada beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat. Sekiranya undi tidak percaya menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dan menasihati YDA untuk membubarkan Parlimen. YDA boleh atau tidak, mengikut budibicara baginda membubarkan Parlimen.

YDA tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri mempunyai kuasa memecat menteri kabinet. Pemecatan boleh dibuat dengan surat dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan memaklumkannya kepada YDA tanpa perlu kepada perkenan YDA (rujuk kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim lwn Perdana Menteri [1995] 5 MLJ 193).

Begitu juga, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota kabinetnya juga akan terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri adalah ketua kabinet dan kabinet dilantik oleh YDA untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas-tugas baginda. Kabinet secara kolektifnya bertanggung jawab kepada Parlimen (Perkara 40 (1) (2) (a) dan (3)).

Tertakluk kepada Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, ahli kabinet selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selagi dikehendaki oleh YDA (shall hold office during the pleasure of the YDA), kecuali jawatan seseorang ahli kabinet itu ditarik balik oleh YDA atas nasihat Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, seseorang ahli kabinet pada bila-bila masa boleh meletak jawatan.

Tetapi sebelum seseorang ahli kabinet menjalankan tugasnya, ia hendaklah mengangkat sumpah jawatan di hadapan YDA bagi menyimpan rahsia rasmi tugasan sebagaimana dalam Jadual Keenam (Perkara 43 (6)).

Begitu juga, YDA atas nasihat Perdana Menteri boleh melantik ahli-ahli Timbalan Menteri dari kalangan ahli-ahli Parlimen sama ada dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 43A (1)). Dalam menjalankan tugas, Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri dan dalam hal ini ia mempunyai semua kuasa seperti yang diberi kepada Menteri. Maka peruntukan dalam Perenggan (5) dan (6) di bawah Perkara 43 adalah terpakai ke atas Timbalan Menteri seperti yang terpakai ke atas Menteri.

Meskipun begitu, dalam urusan perlantikan Setiausana Parlimen dan Setiausa Politik, kuasa ini diserahkan kepada Perdana Menteri (Perkara 43B (1) & 43C (1). Untuk Setiausaha Parlimen, ianya mesti terdiri dari salah satu ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 43B (1). Manakala bagi Setiausaha Politik ia tidak perlu dari kalangan ahli Parlimen (Perkara 43C (2) (a)).

YDA juga mempunyai kuasa budibicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihat oleh Perdana Menteri. Ini adalah kerana kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak YDA (Perkara 40 (2) (b)).

Dalam menjalankan tugas, mengikut Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDA dari masa ke semasa hendaklah memanggil Parlimen untuk bersidang dan hendaklah memastikan persidangan Parlimen itu tidak melangkaui tempoh enam bulan dari persidangan yang lepas.

Satu kuasa besar yang diberi kepada YDA oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 55 (2) ialah baginda boleh menangguh (prorogue) atau membubar Parlimen.
YDA juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, YDA setelah berpuas hati bahawa keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun perisytiharan ini tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolak permintaan tersebut.

YDA mempunyai kuasa dan tanggung jawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak di samping melindungi kepentingan komuniti lain (Perkara 153(1)).

Dalam memberi pingat dan darjah, YDA mempunyai kuasa mutlak memandangkan ianya tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hubungan dengan kehakiman, YDA mempunyai fungsi tertentu walaupun dari segi institusi, YDA bukanlah sebahagian dari badan kehakiman tetapi mempunyai hubungan dengan badan ini dalam beberapa perkara, antara lain, merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan perlembagaan (Perkara 130).

YDA juga berfungsi melantik hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara (Perkara 122B). Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung hakim-hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 125). YDA juga mempunyai kuasa melantik ahli-ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-undang (Perkara 138).

YDA juga adalah pengerusi Badan Pengampunan di mana kesalahan itu berlaku di Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Bagi negeri-negeri pula, kuasa pengampunan ini dianugerahkan kepada Sultan/Raja atau Yang di-Pertua Negeri (Perkara 42 (1)).

Menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan, YDA adalah pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan. Ia adalah jawatan kanan tertinggi dalam struktur pemerintahan angkatan bersenjata Malaysia. Ia lahir dalam tahun 1957 susulan kemerdekaan Tanah Malayu.

Kedudukan Islam dan Hubungannya Dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam adalah terletak secara eksklusif di bawah kuasa Sultan dan YDA bagi negeri yang tiada Sultan. Perlantikan hakim-hakim di Mahkamah Syariah adalah dibuat oleh sultan-sultan bagi negeri-negeri dan YDA bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Ini termasuk perlantikan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Terdapat sesetengah negeri, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam terdiri dan Raja Muda (Pahang). Perlantikan Mufti juga terletak di bawah kuasa Sultan-sultan dan YDA bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Hal-hal berkaitan dengan pentadbiran masjid-masjid, pertauliahan guru-guru agama dan pendakwah hendaklah mendapat perkenan Sultan-sultan dan YDA.

Sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja (Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak), YDA berperanan supaya perjalanan hal ehwal Islam berjalan dengan lancar dengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri-negeri/Wilayah Persekutuan demi membantu dan menasihat baginda dalam semua urusan yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam (Perkara 3(5), 3(3) dan 3(5)).

Kesimpulan

Sebagai Ketua Negara, YDA dilihat memain peranan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) supaya ketua-ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggung jawab demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Meskipun YDA bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa besar yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman. Tanpa prejudis, YDA boleh menggunakan budibicara baginda menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara (Perkara 150(1)). Ini demi untuk memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.


PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia pada 1 April 2013. Bidang kepakaran beliau ialah Undang-undang Perlembagaan, Konflik Undang-undang Syariah-Sivil, Hak-Asasi Manusia, Undang-undang Jenayah Islam dan Undang-undang Transaksi Islam (Muamalah).

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1990, Sarjana Undang-undang (LLM) pada tahun 1992-1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London dan PhD dalam undang-undang di universiti yang sama pada tahun 2001-2005.

Bebas News : 07.06.2020

Source: https://bebasnews.my/?p=38412