Thursday, 31 March 2022 10:28

Beri perhatian isu data peribadi ketika fasa peralihan ke endemik (in Bahasa Malaysia)

Written by

Privasi dan ruang peribadi amat dititikberatkan undang-undang. Antara elemen pentingnya, perlindungan terhadap maklumat peribadi yang turut merangkumi hak untuk kekal tidak diketahui.

Dalam ajaran Islam, konsep privasi tidak terhad kepada larangan melakukan intipan (tajassus) di kediaman peribadi, sebaliknya merangkumi perlindungan terhadap kerahsiaan maklumat peribadi di ruang awam seperti kandungan perbualan lisan dan surat-menyurat.

Dalam hal ini, tindakan pengawasan berterusan pihak berkuasa terhadap kehidupan seharian rakyat dapat dianggap sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap hak ini.

Pada masa sama, pandemik COVID-19 mengubah landskap ini. Pengurusan pandemik efisien terutama dari aspek memutuskan rantaian jangkitan memerlukan pengawasan terhadap pergerakan seharian penduduk.

Begitu juga penggunaan teknologi canggih seperti analisis data raya amat diperlukan. Selari dengan itu, Malaysia tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kemajuan teknologi ini.

Melalui aplikasi digital Mysejahtera, usaha mengesan dan mengasingkan pesakit COVID-19 serta kontak rapat mereka dapat dilaksanakan lebih berkesan, terutama melalui fungsi daftar masuk premis dan pengesanan interaksi antara pengguna.

Sejak itu, jutaan data pengguna ‘dilombong’ dan disimpan bagi tujuan berkenaan.

Namun, kerisauan terhadap ancaman pencerobohan maklumat peribadi melalui tindakan pengawasan tidak dapat dinafikan.

Apatah lagi selama ini hal sedemikian sudah sedia berlaku apabila kita sering mendapat panggilan tidak dikenali yang sudah sedia mengetahui maklumat diri seperti nama dan nombor telefon bagi tujuan promosi mahupun penipuan.

Baru-baru ini, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan ketidakjelasan kontrak pemilikan sistem aplikasi Mysejahtera dibangunkan dan diuruskan syarikat swasta.

Akibatnya, timbul kebimbangan data jutaan pengguna aplikasi berkenaan mungkin akan disalah guna dan dibocorkan, malah dijual beli kepada pihak ketiga.

Apatah lagi, data berkenaan bersifat sensitif dan menyeluruh seperti nombor pengenalan diri, maklumat kesihatan serta log keluar masuk pergerakan seharian.

Walaupun secara luarannya, data mentah berkenaan kelihatan rambang dan tidak bermakna, melalui saringan serta analisis menggunakan teknologi kecerdasan buatan data raya ini dapat dibaca dan ditafsirkan kepada bentuk tertentu seperti rutin pergerakan seharian, corak pembelian dan pola perkumpulan.

Maklumat peribadi sensitif ini amat berbahaya sekiranya dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu contohnya, eksploitasi pendapat awam seperti yang terjadi dalam skandal Cambridge Analytica di Barat dan boleh membuka ruang bagi tujuan jenayah seperti kecurian identiti.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan memberijaminan Kementerian Kesihatan (KKM) menyelia data diperoleh itu sejak ia mula digunakan kerana aplikasi berkenaan milik kerajaan dengan kementeriannya dilantik sebagai pemilik utama bagi pengurusan kesihatan awam negara sejak diputuskan pada 26 November tahun lalu.

Malah, beliau turut meminta Yang Dipertua Dewan Negara untuk membenarkan usul mengenai isu Mysejahtera dibahas pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Hakikatnya, usaha giat dari semasa ke semasa wajib dilakukan bagi melindungi keselamatan maklumat peribadi ini. Pada masa sama, ia perlu diseimbangkan dengan kepentingan maslahat umum dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut perspektif Islam, tindakan campur tangan kerajaan dalam mengawasi dan memantau maklumat peribadi penduduk diharuskan berdasarkan prinsip siasah syariah serta kaedah fiqh ‘al-darurah tubih al-mahzurat’ yang mengharuskan sesuatu tindakan terlarang ketika suasana darurat seperti dalam menghadapi pandemik ini.

Namun, usah dilupakan kaedah ini juga terikat dengan ketetapan kaedah fiqh lain, iaitu sesuatu keadaan darurat itu perlu dinilai hanya mengikut kadar keperluannya (al-darurah tuqaddar biqadariha).

Oleh itu, bersesuaian dengan keadaan semasa fasa peralihan ke endemik menyaksikan kelonggaran pelbagai prosedur operasi standard (SOP), isu perlindungan maklumat peribadi ini perlu kembali diberikan perhatian serius kerajaan.

Polisi bersifat intrusif terhadap ruang peribadi masyarakat seperti pemantauan maklumat peribadi perlu dinilai semula dan turut dilonggarkan sekiranya dilihat sudah tidak relevan.

Pada masa sama, pihak berkaitan dalam kerajaan perlu tampil untuk menjelas dan memberikan jaminan utuh bahawa segala data peribadi dikumpulkan selama ini adalah selamat daripada sebarang ancaman penyelewengan.

Penganalisis di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Source: Berita Harian, 31 Mar 2022