Print this page
Friday, 17 September 2021 12:01

Perpaduan yang diimpikan dalam semangat keluarga Malaysia (in Bahasa Malaysia)

Written by
Perpaduan yang diimpikan dalam semangat keluarga Malaysia (in Bahasa Malaysia) GAMBAR: NSTP

PADA 31 Ogos 2021 yang lalu, negara tercinta kita Malaysia telah menyambut kemerdekaan yang ke 64. Manakala pada 16 September 2021 pula, negara menyambut  ulang tahun ke 58 Hari Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki pada hari ini merupakan satu dokumen yang berteraskan “tolak ansur” (give and take) hasil penerimaan oleh semua pihak dari pelbagai agama dan bangsa. Ia merupakan satu kontrak sosial yang dipersetujui oleh tiga etnik besar iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan. Peranan Raja-raja Melayu juga tidak kurang pentingnya. Ini kerana, Suruhanjaya Reid yang diberi tugas untuk menggubal satu perlembagaan bertulis bagi Tanah Melayu yang merdeka telah mengadakan 118 persidangan dan menerima 131 memorandum dari semua pihak termasuk Raja-raja Melayu. Hasilnya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mula terpakai pada 31 Ogos 1957 merupakan satu dokumen yang dapat diterima oleh semua pihak. Ini menunjukan bahawa kesepaduan antara etnik dan agama telah wujud sejak negara di ambang merdeka dan pasca merdeka.

Meskipun pada kaca mata kasar Perlembagaan ini nampak bersifat berat sebelah, terutama yang melibatkan hak-hak tertentu seperti kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak-hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), Bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-raja Melayu (Perkara 38). Tetapi demi untuk kebaikan bersama semua pihak dan melakukan keadilan (meletak sesuatu pada tempatnya), maka sudah pasti kita perlu memastikan Perlembagaan yang digubal sedemikian rupa kekal dan tidak menyimpang dari tujuan asal pihak yang menggubalnya. Peruntukan-peruntukan ini telah dipersetujui dalam mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Apabila Sabah, Sarawak dan Singapura masuk membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 (Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965), peruntukan dalam dokumen tertinggi ini diterima pakai kecuali dalam 18 perkara khusus bagi Sarawak dan 20 perkara khusus yang diberikan kepada Sabah, antaranya mengenai bidang kuasa undang-undang adat termasuk hal ehwal yang terkandung dalam undang-undang keluarga termasuk Mahkamah Adat; hal ehwal berkaitan imigresen; perkapalan dan pelabuhan; pembayaran 10% royalti hasil mineral dan lain-lain (Jadual Kesembilan, Senarai IIA,IIIA; Jadual Kesepuluh, Bahagian IV dan V, Perlembagaan Persekutuan).

Sebenarnya, pembentukan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, sejak merdeka dan pembentukan Malaysia sejak 1963 berasakan gabungan pelbagai parti. Sebagai contohnya, dari awal merdeka, PERIKATAN yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC – kemudian Gerakan, parti-parti di Sabah dan Sarawak), gabungan tidak rasmi parti pembangkang – Barisan Alternatif pada tahun 1999 (PKN, PAS, DAP, PRM) yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan berakhir dengan Pakatan Harapan (tanpa PAS) pada tahun 2018. Di Sabah dan Sarawak juga ada gabungan antara parti. Ini menunjukkan bahawa pembentukan kerajaan adalah hasil dari kesepaduan dan gabungan parti yang mempunyai kepelbagaian agama dan etnik.

Kalau kita melihat sejarah pembinaan negara Madinah, sebenarnya, realiti kepelbagaian etnik dan agama wujud di Madinah dan diiktiraf dalam Sahifah Madinah.

Sahifah Madinah menyatukan kepelbagaian kabilah dan agama dalam perjanjian mempertahankan hak warga Madinah dan kesepakatan semua untuk mempertahankan Madinah.

Ia berasaskan fiqh al-ta’ayush (peaceful co-existence) yang mengiktiraf minoriti orang bukan Islam dalam negara majoriti orang Islam seperti yang wujud di Malaysia (60-40).

Kesejagatan Sahifah Madinah ialah ia menekankan betapa mulianya kejadian manusia, yang semuanya berasal dari tanah yang membawa maksud bahawa kita semua adalah sama. Sahifah Madinah mengiktiraf semua warga Madinah dan memberi hak sama rata kepada setiap individu tanpa membezakan antara yang majoriti dan minoriti. Malah ia mengiktiraf kepelbagaian warganya sebagai satu bangsa (one nation).

Tidak ada satu fasal pun dalam Sahifah Madinah yang bercanggah dengan ajaran Quran walaupun ia bukan wahyu Ilahi. Ia adalah manifestasi dari nilai mulia yang berdasarkan Maqasid Syariah. Malah, setiap fasal dalam Sahifah Madinah mempromosi  rahmat, kebijaksanaan, keadilan dan faedah kepada semua warganya.

Sahifah Madinah mengikat warganya melalui kontrak sosial. Ia memberi keadilan kepada semua warga Madinah tanpa meihat kepada latar belakang etnik dan agama. Sebagai balasan, warga Madinah tanpa mengira kepelbagaian etnik dan agama mempunyai satu tanggung jawab bersama iaitu mempertahankan negara.

Sahifah Madinah juga memperuntukkan fasal yang melindungi hak asasi manusia seperti kebebasan beragama, kebebasan bergerak, hak pemilikan dan kesaksamaan di sisi undang-undang. .

Intipatinya, Sahifah Madinah telah menyatupadukan warga Madinah sebagai satu ummah  dan satu warga/bangsa (one citizenship – muwatanah).

Deklarasi Marrakesh yang ditandatangani pada 27 Januari 2016 oleh lebih 250 pemimpin agama, negara dan cendekiawan Islam mempertahankan hak-hak minoriti bukan Islam di negara Islam serta mendukung Sahifah Madinah untuk diterima pakai di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama.

Melihat kepada realiti di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama negara dan kebebasan beragama untuk semua individu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan  di bawah Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (1).

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu dokumen sekular. Ia bersifat sejagat dan holistik mengambil kira kedaifan penduduk asal yang  secara kebetulan majoritinya adalah Melayu dan etnik asal di Sabah dan Sarawak.

Melihat kepada pembentukan negara Malaysia yang didiami oleh kepelbagaian etnik dan agama, ia telah bermula sejak negara merdeka pada tahun 1957 dan juga pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Tetapi ianya terencat pada tahun 1969 antara lain akibat kerenggangan kaum dan jurang ekonomi yang meluas antara orang Melayu dan bukan Melayu. Ketidaksamaan ekonomi yang berpanjangan merentasi etnik telah menimbulkan prasangka dan perpecahan masyarakat.

Akibatnya, Rukun Negara diperkenalkan sebagai satu falsafah kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.

Ada dua komponen penting dalam Rukun Negara:

Pertama: Objektif utama Rukun Negara diperkenalkan adalah untuk merealisasikan cita-cita Malaysia ke arah:

Mencapai perpaduan yang lebih erat;
Memelihara satu cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak; dan
Membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains dan teknologi moden.

Kedua: Dalam memenuhi cita-cita ini, Rukun Negara menggaris lima prinsip utama:

Kepercayaan kepada Tuhan;
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang; dan
Kesopanan dan Kesusilaan.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa sejak pengenalan Rukun Negara 51 tahun yang lalu, perpaduan antara etnik dan agama masih belum tercapai. Kita masih lagi di tahap inspirasi yang pertama iaitu kesepaduan yang dapat dilihat dalam banyak perkara terutama dalam sambutan hari perayaan agama dan kaum serta semangat “kekitaan” dalam aspek sukan apabila atlet negara memenangi pingat di peringkat antarabangsa.

Justeru, pihak pemerintah dan orang ramai perlu menghayati dua komponen yang terdapat dalam Rukun Negara terutama sekali komponen pertama yang sering dilupakan. Manakala komponen kedua bukan setakat ikrar di perhimpunan sekolah atau dihidangkan dalam muka kulit belakang buku latihan serta tertera di dinding bangunan sekolah atau tempat awam. Ia mestilah dihayati dalam sanubari semua warga Malaysia.

Mungkin pandangan yang mahu memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah dalam Perlembagaan Persekutuan melihat kepada sifat penting yang terkandung di dalamnya: sifat ideal yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai etnik dan agama; sifat tafsiran yang membantu mentafsir perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan; dan sifat substantif yang mengesahkan undang-undang.

Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara merupakan dua dokumen penting bagi melahirkan perpaduan di negara ini yang menjadi aspirasi negara. Meskipun begitu, kesepaduan yang ditunjukkan dalam Keluarga Malaysia mesti dikekalkan dan pertingkat agar perpaduan yang diimpikan tercapai dalam satu jangka masa terdekat. Sahifah Madinah perlu diambil sebagai sumber rujukan penting melihat bagaimana Rasulullah SAW dapat menyatupadukan pelbagai kabilah dan agama dalam negara Madinah agar ia dapat menjadi model bagi negara tercinta Malaysia.

 

Prof Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia pada 1 April 2013.

https://bebasnews.my/?p=69952

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: [email protected]

www.iais.org.my/azam