Print this page
Thursday, 24 June 2021 16:37

Tindakan Agong Dan Majlis Raja-Raja Untuk Semak dan Imbang (in Bahasa Malaysia)

Written by
Tindakan Agong Dan Majlis Raja-Raja Untuk Semak dan Imbang (in Bahasa Malaysia) PHOTO. parlimen.gov.my.

PERUNTUKAN mengenai Majlis Raja-raja termaktub dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan di mana kesemua sembilan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri menjadi ahli. Kecuali dalam perkara mengenai pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pelucutan Yang di-Pertuan Agong hanya dikhususkan untuk Raja-raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri tidak termasuk dalam kuorum pemilihan dan pelucutan tersebut. Ini adalah hak prerogatif Raja-raja Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Raja berperlembagaan merupakan sistem pemerintahan negara sejak merdeka. Meskipun begitu, Perlembagaan Persekutuan tidak menjelaskan secara tuntas maksud sebenar konsep ini. Ini kerana, mengikut konsep tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri/ Jemaah Menteri atau seseorang Menteri (Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan) dan Raja-Raja Melayu atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri. Namun, dalam menjalankan tugas Baginda-Baginda, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu boleh menggunakan kuasa budi bicara dalam perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri. Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara baginda dalam: a) pelantikan Perdana Menteri (baca bersama Perkara 43 (2) (a) ); b) tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen (baca bersama Perkara 43 (4) ); dan c) memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja yang membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja dan apa-apa tindakan hasil dari mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.

Majlis Raja-Raja mempunyai peranan dalam memastikan negara berada dalam landasan yang betul. Kedudukan Majlis Raja-Raja mengatasi politik dan tidak terikat dengan telunjuk mana-mana parti politik.

Memandangkan Yang di-Pertuan Agong dipilih dan dilantik oleh Raja-Raja Melayu untuk tempoh lima tahun, nasihat dan pandangan Majlis Raja-Raja sewajarnya diambil kira dalam tindakan Yang di-Pertuan Agong.

Maka tidak hairanlah Yang di-Pertuan Agong memanggil Raja-Raja Melayu bagi mendapat pandangan untuk disampaikan kepada pihak-pihak berkenaan demi kelangsungan dan kerukunan hidup rakyat jelata.  Dalam hal ini tidaklah bermaksud bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak di luar dari kerangka Perlembagaan dan enggan mengikut nasihat Perdana Menteri dalam perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini dapat dilihat dalam keputusan Yang di-Pertuan Agong setelah memanggil Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu memutuskan tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat pada 25 Oktober 2020. Tindakan ini adalah hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Maka mengikut budi bicara baginda juga, permintaan Perdana Menteri untuk perisytiharan darurat telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021. Dalam hal ini, mengikut Perkara 150 (8) (a) & (b) Perlembagaan Persekutuan, keputusan sama  ada Yang di-Pertuan Agong berkenan atau tidak berkenan terhadap permintaan Perdana Menteri tidak boeh dicabar di Mahkamah.

Apa yang menarik dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun yang lalu ialah Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan perbincangan khas tersebut telah memanggil pemimpin-pemimpin parti politik dan pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 untuk memberi pandangan. Ini termasuk sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan semasa Perbincangan Khas tersebut.
Hasil Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu tersebut, Raja-Raja Melayu telah memutuskan tujuh ketetapan: i) nyawa dan kehidupan rakyat perlu diutamakan mengatasi perkara-perkara lain; ii) mengurangkan birokrasi dalam mempercepatkan program vaksinasi supaya rakyat dapat memahami dan bekerjasama menjayakan imuniti kelompok sehingga 80%; iii) program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami dan mendapat sokongan rakyat; iv) kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan; v) meredakan suhu politik yang semakin panas; vi) pentingnya kerajaan yang stabil dan mendapat majoriti rakyat; dan vii) tiada keperluan untuk melanjutkan pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Justeru itu, ada dua perkara penting yang diititah oleh Yang di-Pertuan Agong: i) Supaya Perdana Menteri memanggil seberapa segera sidang Parlimen; dan ii) Tidak melanjutkan tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Tiada isu berbangkit dalam perkara (ii) iaitu tidak melanjutkan tempoh darurat selepas 1 Ogos 2021 kerana ia adalah hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti yang dibincangkan di atas.

Tetapi terdapat dua tafsiran berbeza apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen seberapa segera. Persoalannya, apakah Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan walhal negara sedang dalam keadaan darurat?

Mengikut seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Parlimen boleh dipanggil pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin, ini bermaksud bahawa sidang Parlimen tidak digantung semasa tempoh darurat tetapi  menghadkan tempoh panggilan Parlimen untuk bersidang.

Pada hemat penulis, titah Yang di-Pertuan Agong  pada 24 Februari 2021  bahawa Parlimen boleh dipanggil bersidang pada bila-bila masa semasa darurat adalah selari dengan titah yang dikeluarkan pada 16 Jun 2021.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa nasihat oleh Perdana Menteri atau Jemaah Menteri atau seseorang Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan boleh diketepikan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan satu ordinan baru.

Mengikut Shamrahayu A. Aziz, kita perlu membuat tafsiran holistik terhadap seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 di mana Ordinan ini mengetepikan undang-undang bertulis yang sedia ada yang bercanggah atau tidak selaras dengan Ordinan ini. Justeru itu, sekiranya terdapat percanggahan atau ketidakselarasan antara undang-undang bertulis dengan Ordinan ini, maka dengan tuntas, Ordinan ini mengatasi undang-undang bertulis tersebut.

Persoalannya, perlukah notis 28 hari untuk memanggil sidang Parlimen? Dalam hal ini, oleh kerana negara berada dalam keadaan darurat, notis 28 hari tidak terikat. Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan Perdana Menteri menetapkan tarikh, tempat dan waktu untuk sidang Parlimen semasa tempoh darurat kerana kuasa ini diberikan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021. Titah ini telah dikeluarkan setelah Yang di-Pertuan Agong mengadakan Perbincangan Khas dengan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021.

Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak melatah tetapi bertindak mengikut lunas Perlembagaan. Kesejahteraan rakyat dalam menghadapi kehidupan yang tidak menentu akibat wabak COVID-19 serta ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi negara menjadi pencetus kepada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu. Ini bukanlah kerana Yang di-Pertuan Agong tidak menerima perkembangan semasa oleh Perdana Menteri dalam menangani masalah negara terkini yang lazimnya dibuat secara mingguan sebelum mesyuarat Jemaah Menteri. Namun, atas pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah mendapat pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan yang melegakan dan menguntungkan rakyat.

Sesungguhnya tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah untuk memastikan semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman berjalan mengikut tadbir urus yang telus di mana semua cabang ini mempunyai peranan masing-masing. Menafikan salah satu cabang ini dari berfungsi dan menjalankan tugasnya akan menyebabkan kepincangan kepada tadbir urus negara terutama dalam suasana getir COVID-19, ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

-BebasNews

Source: https://bebasnews.my/?p=63266

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: [email protected]

www.iais.org.my/azam