Sunday, 06 June 2021 13:20

Kemiskinan ruang, 'terpenjara' antara punca langgar SOP (in Bahasa Malaysia)

Written by
Kemiskinan ruang, 'terpenjara' antara punca langgar SOP (in Bahasa Malaysia) - Foto hiasan BH

Rentetan kenaikan mendadak kes jangkitan COVID-19, kerajaan sekali lagi mengambil langkah sukar dengan melaksanakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh mula dikuatkuasakan Selasa lalu.

Sasarannya bertujuan mengulangi kejayaan dicapai melalui PKP dikuat kuasa 18 Mac tahun lalu untuk membendung penularan wabak ini, seterusnya mengurangkan beban dihadapi sektor kesihatan awam.

Antara ciri utama sekatan pergerakan penuh adalah mengawal dan menyekat akses orang ramai ke ruang awam serta separa-awam seperti sekolah, taman rekreasi, pusat beli-belah dan tempat kerja.

Semua ini dilakukan bagi mengelakkan perkumpulan ramai dan interaksi fizikal antara individu berisiko menyebarkan jangkitan wabak. Justeru, antara seruan kempen popular sepanjang tempoh ini ialah slogan 'kekal duduk di rumah.'

Walaupun sekatan pergerakan penuh ini terpakai dan dilaksana menyeluruh kepada semua tanpa mengira pangkat dan darjat, ternyata kesan dirasai setiap golongan masyarakat adalah berbeza.

Antara aspek sering dibincangkan ialah ketidaksamaan ekonomi yang kesan dihadapi golongan masyarakat bawahan sangat berbeza dengan mereka mempunyai kedudukan ekonomi kukuh.

Terdapat satu lagi aspek kurang diberikan penekanan dalam impak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, iaitu ketidaksamaan ruang atau spatial inequality.

Seperti dinyatakan, sekatan pergerakan penuh berperanan menyekat dan mengehadkan akses ke ruang awam hingga memaksa kita membatasi pergerakan serta interaksi fizikal dalam lingkungan ruang kediaman peribadi masing-masing.

Walaupun tidak dinafikan sekatan ini mengganggu keselesaan kehidupan seharian semua, ia mungkin kurang dirasai mereka mempunyai akses kepada ruang peribadi selesa.

Pengalaman berkurung di kediaman peribadi luas lengkap dengan halaman, balkoni dan terletak dalam kawasan kejiranan elit serta indah sudah pasti sedikit sebanyak memberikan kelegaan dan keselesaan ketika menghadapi tempoh sekatan pergerakan penuh ini.

Sebaliknya, pengalaman sama tidak dirasai kelas masyarakat bawahan yang menghadapi apa disifatkan sebagai kemiskinan ruang.

Mereka rata-ratanya tinggal di kawasan kejiranan padat. Ruangan dalaman rumah sempit pada kebiasaannya tidak mempunyai batasan jelas antara ruang peribadi dengan ruang awam dalam interaksi kehidupan seharian.

Lantas, kebanyakan memilih untuk lebih meluangkan masa di tempat awam seperti jalanan, kompleks beli-belah dan taman awam, yang dilihat mempunyai ruang terbuka serta selesa berbanding di rumah.

Justeru, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh memaksa mereka membataskan kehidupan harian dalam ruangan kediaman peribadi semata-mata hingga menyebabkan berlakunya perubahan drastik kepada gaya hidup.

Terkurung dalam rumah sempit dan sesak dikongsi bersama ahli keluarga ramai diakui ibarat mimpi ngeri. Ironinya, ruang peribadi yang sepatutnya berperanan memberikan kerehatan, kelegaan dan privasi ibarat kamar penjara buat golongan kurang bernasib baik ini.

Impak sosial fenomena ini dapat dilihat menerusi peningkatan kes tekanan mental dan keganasan domestik sepanjang pelaksanaan PKP pertama dahulu. Begitu juga beberapa tragedi menyayat hati apabila ada warga emas tinggal berseorangan meninggal dunia di rumah tanpa disedari buat beberapa ketika.

Terdapat juga sesetengah golongan sudah tidak terdaya dan terus terpenjara dalam rumah sempit, lantas memilih untuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan melalui PKP ini dengan berkunjung ke tempat awam hingga meningkatkan risiko penyebaran jangkitan.

Beberapa langkah dapat diambil untuk mengurangkan impak masalah kemiskinan ruang ini. Pertama, pihak berkuasa perlu berusaha menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh secara adil kepada semua.

Persepsi layanan dwistandard seperti operasi rondaan penguatkuasaan dilihat lebih tertumpu di kawasan masyarakat kurang berada berbanding di kejiranan elit 'kayangan' perlu dielak sama sekali.

Kedua, pihak berkenaan juga perlu bersiap siaga menghadapi peningkatan masalah sosial sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ini.

Langkah menyediakan khidmat sokongan kaunseling dalam talian dan saluran aduan kecemasan 'hotline' bagi kes keganasan rumah tangga amat disambut baik.

Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu juga amat diperlukan bagi menyediakan bantuan dan sokongan, terutama dalam aspek emosi serta solidariti kebersamaan, walaupun terpisah secara fizikal sepanjang tempoh ini.

Akhirnya, walaupun dalam situasi semasa, ternyata langkah kerajaan memperketatkan pelaksanaan PKP melalui sekatan pergerakan penuh ini tidak lagi dapat dielakkan. Satu jalan penyelesaian jangka panjang lebih tuntas dan lestari perlu difikirkan.

Kebebasan bergerak, interaksi sosial dan akses kepada ruang awam ialah fitrah semula jadi manusia. Justeru, kita tidak akan mampu untuk terus hidup dalam keterbatasan 'kelaziman baharu' ini selama-lamanya.

Penulis adalah Penganalisis di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/06/824759/kemiskinan-ruang-terpenjara-antara-punca-langgar-sop