Wednesday, 21 April 2021 08:10

Jangan zahirkan dosa, kesalahan pelanggaran SOP (in Bahasa Malaysia)

Written by
Jangan zahirkan dosa, kesalahan pelanggaran SOP (in Bahasa Malaysia) - Photo by Muhammad Adil on Unsplash

AJARAN Islam merupakan sebuah sistem perundangan yang lengkap dan menyeluruh, di mana setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia tidak akan lepas daripada penilaian hukum syarak daripada aspek halal-haram juga dosa-pahala.

Oleh itu, daripada perspektif syarak, perbuatan sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam membendung penularan pandemik Covid-19 merupakan satu dosa dan kesalahan.

Hal ini kerana perbuatan tersebut dikira sebagai mengingkari ketaatan kepada pemerintah (ulul amri) dalam perkara kebaikan, serta membuka ruang kepada penyebaran wabak yang memudaratkan.

Namun, dalam masa yang sama, Islam juga amat menitikberatkan pemeliharaan privasi dan kehormatan setiap individu. Justeru itu, Islam melarang umatnya daripada sengaja mendedahkan dosa dan kesalahan yang tersembunyi daripada pengetahuan awam.

Ia dianggap aib yang telah dilindungi oleh Allah SWT daripada diketahui orang lain, sebagai salah satu rahmat-Nya kepada manusia yang tidak lepas lari daripada kesilapan.

Memadailah kepada pelaku kesalahan tersebut untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh serta berazam untuk tidak mengulangi lagi dosa dan kesalahan tersebut.

Hal ini jelas sebagaimana yang telah disebutkan dalam panduan al-Qur’an dan hadis berkenaan konsep pemeliharaan aib dan privasi manusia (al-sitr) serta larangan keras daripada sengaja mendedahkan dosa dan kemungkaran yang dilakukan kepada orang ramai (al-mujaharah), apatah lagi sebaliknya berbangga-bangga dengan perbuatan tersebut.

Dalam surah al-Nisa’ ayat 148 contohnya, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan); kecuali oleh orang yang dianiayakan…”

Begitu juga Rasulullah SAW telah memberikan ancaman keras terhadap perbuatan al-mujaharah ini: “Sesungguhnya kesemua ummatku akan diampunkan, kecuali golongan yang sengaja menzahirkan perbuatan jahat mereka (al-mujaharin), sesungguhnya perbuatan al-mujaharah itu adalah apabila seseorang melakukan suatu kejahatan pada waktu malam, kemudian apabila tiba waktu pagi dan Allah telah menutupi kejahatannya itu, dia mengatakan kepada orang lain: Wahai si fulan! Ketahuilah sesungguhnya semalam aku telah melakukan itu dan ini…” (HR al-Bukhari, 6069).

Oleh yang demikian, kita dapati pada hari ini terdapat golongan yang telah melakukan pelanggaran SOP pencegahan wabak Covid-19 seperti tidak memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial, serta menyalahgunakan kebenaran merentas negeri.

Tidak cukup setakat itu, sesetengah daripada mereka ini malah tanpa segan silu dan bermegah-megahan mendedahkan perbuatan tersebut kepada khalayak ramai, seperti dengan memuatnaik gambar-gambar berkenaan ke media sosial dan sebagainya.

Hal ini merupakan satu fenomena yang amat mendukacitakan serta jelas bertentangan dengan petunjuk syarak berkenaan konsep al-sitr dan larangan melakukan al-mujaharah sebagaimana yang telah dinyatakan.

Tambah memburukkan keadaan, apabila perbuatan ini dilakukan oleh figura awam dan orang kenamaan seperti selebriti, ‘influencer’, dan tokoh pemimpin yang mempunyai kedudukan yang tinggi serta terpandang dalam kalangan masyarakat.

Perbuatan mereka yang melakukan kesalahan pelanggaran SOP, terlepas daripada sebarang tindakan, dan kemudiannya berbangga-bangga menayangkan kepada awam telah menimbulkan kegelisahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat yang mula mempersoalkan tindakan pilih kasih ini serta undang-undang yang disifatkan sebagai berat sebelah.

Justeru, Islam memandang serius akan bahaya implikasi daripada perbuatan menzahirkan dosa dan kesalahan secara terang-terangan ini. Apabila seseorang dengan sengaja mendedahkan kesalahan yang dilakukannya kepada awam, dia telah dianggap melakukan satu kesalahan yang lain pula, iaitu kesalahan al-mujaharah.

Kesalahan ini perlu diambil tindakan oleh pemerintah sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para ulama di bawah peruntukan takzir. Bahkan dalam banyak keadaan, perbuatan al-mujaharah itu sendiri dianggap sebagai jenayah yang lebih berat berbanding perbuatan dosa yang dilakukan.

Ini kerana, perbuatan berbangga-bangga dan mendedahkan kesalahan yang dilakukan kepada orang ramai ini dianggap sebagai satu penghinaan dan perlecehan terhadap seluruh sistem perundangan itu sendiri.

Ini kerana undang-undang yang sewajarnya dihormati dan dipatuhi sebaliknya telah diperlekehkan apabila mereka yang terlepas daripadanya malah dengan bebas menayangkan perbuatan tersebut ke khalayak ramai.

Begitu juga tindakan ini dapat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat awam yang melihat perbuatan al-mujaharah yang berleluasa ini sebagai suatu simbol kegagalan undang-undang daripada dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua golongan tanpa sebarang pilih bulu.

Hal ini seterusnya dapat menyebabkan kemudaratan yang lebih besar, apabila masyarakat mula memandang enteng terhadap keperluan untuk mematuhi undang-undang yang dilihat berat sebelah ini sehingga menyebabkan keruntuhan sistem perundangan itu sendiri.

Sebagai kesimpulannya, kita sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi undang-undang dan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

Namun begitu, seandainya kita terkhilaf dengan melakukan kesalahan seperti pelanggaran SOP, usahlah kita sengaja menzahirkan perbuatan tersebut di khalayak. Sebaliknya, kita wajar bersyukur aib kita tersebut telah dilindungi Allah SWT dan menginsafinya dengan cara bertaubat dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu memandang serius gejala menzahirkan pengingkaran undang-undang ini, apatah lagi jika ia dilakukan oleh orang kenamaan. Ini kerana perbuatan ini merupakan satu tindakan mencabar kedaulatan undang-undang di negara kita ini, serta mengancam untuk menggagalkan usaha keras pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=58939