Monday, 01 March 2021 13:28

Merealisasi Malaysia hab vaksin halal Asia Tenggara (in Bahasa Malaysia)

Written by
Merealisasi Malaysia hab vaksin halal Asia Tenggara (in Bahasa Malaysia) - Foto BERNAMA

Pada 17 Februari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menguar-uarkan bahawa pengeluar vaksin asing menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.

Beliau menyatakan pihak terbabit berhasrat membina kilang pembuatan bagi memenuhi permintaan pasaran serantau khususnya berkaitan produk vaksin halal.

Khairy turut memaklumkan banyak pengeluar vaksin menyatakan hasrat meletakkan Malaysia sebagai hab penghasilan vaksin bagi rantau Asia Tenggara dan negara Islam di seluruh dunia.

Puncanya, kelebihan sistem pensijilan halal kita yang sistematik dan diiktiraf antarabangsa.

Perbincangan untuk Menteri itu juga menyatakan pihaknya sudah membincangkan hal berkenaan dengan beberapa pihak di Russia dan India, dengan pengeluar vaksin di luar negara menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam sektor terbabit.

Menyoroti perkembangan sama, pada 7 Oktober 2020, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari, menunjukkan piawaian bagi mengesahkan vaksin halal termasuk untuk COVID-19, akan tersedia pada awal 2021.

Turut dilaporkan HDC sudah menjalin kerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia (DSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengembangkan piawaian terbabit.

Pada masa sama, langkah penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut digerakkan dengan kerjasama beberapa syarikat yang menghasilkan vaksin terbabit.

Agenda menjayakan projek vaksin halal di Malaysia bukan baharu, sebaliknya projek itu mula diuar-uarkan kepada awam sejak 2014 lagi.

Ketika itu, Datuk Seri Mustafa Mohamad yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengumumkan pada 2017 Malaysia akan menjadi pengeluar utama vaksin halal untuk meningitis, hepatitis dan meningokokus dengan pelaburan bakal disalurkan kerajaan Arab Saudi bernilai AS$100 juta.

Pada Disember 2017 juga, Pharmaniaga, sebuah syarikat farmaseutikal berpusat di Malaysia, mengumumkan pihaknya bekerjasama dengan pengilang vaksin berpusat di Delhi untuk menghasilkan vaksin halal pada 2022.

Masyarakat secara amnya berhak mendapat maklumat lengkap mengenai hal ini. Paling penting, diperjelaskan apa sebenarnya maksud vaksin halal.

Dalam laporan HDC berjudul Global Market Potential for Halal Vaccines vaksin halal dinyatakan sebagai tidak mengandungi bahagian atau produk haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut kehendak syariah.

Oleh itu, ada mencadangkan pengeluaran vaksin halal dapat menggabungkan medium tumbuhan dan enzim berasaskan tumbuhan.

Di seluruh aliran pengeluaran juga, fasiliti pembuatan, pembungkusan, penyimpanan dan mekanisme pengangkutan, mestilah digunakan secara eksklusif untuk produk biologik halal.

Pada masa sama, langkah mencukupi untuk mencegah pencemaran vaksin sepanjang peringkat pengeluarannya mestilah dipatuhi pengilang.

Dalam kertas dasar isu bertajuk Challenges Facing the Halal Vaccine: Issues & Proposed Solutions terbitan Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, satu daripada cabaran utama mewujudkan industri vaksin halal di negara ini ialah proses penghasilan produk terbabit yang rumit dan memakan masa panjang.

Secara amnya, fasa pembangunan klinikal sesebuah vaksin memakan masa antara sembilan hingga 10 tahun dan memerlukan kos sangat tinggi.

Namun, melihatkan perkembangan semasa penghasilan vaksin COVID-19 di mana ia mampu dihasilkan dalam kerangka masa lebih pendek melalui teknologi baharu seperti mRNA serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan data raya, cabaran itu dijangka dapat diatasi dengan berkesan.

Dalam sesi wawancara IAIS Malaysia bertajuk COVID-19 Vaccine: Halal Status and Ethical Issues in Distribution pada 22 Disember 2020, Prof Zhari Ismail, seorang pakar farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM) menyatakan pihak universiti terbabit pernah mengadakan lawatan ke Cuba dan mendapat taklimat mengenai kaedah penghasilan vaksin menggunakan elemen tumbuh-tumbuhan.

Menurut beliau, ia wajar diberi perhatian jika Malaysia benar-benar mahu menjayakan projek vaksin halal ini.

Terkini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau sudah pun meluluskan peruntukan kepada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melaksanakan kajian bagi menghasilkan vaksin untuk coronavirus.

Diharapkan hasrat Malaysia kali ini untuk menjadi pengeluar utama vaksin halal di rantau Asia Tenggara dan dunia Islam, bakal menjadi kenyataan dan sebarang cabaran serta masalah yang dihadapi, dapat diatasi dengan baik.

Penulis adalah Felo Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/02/790998/merealisasi-malaysia-hab-vaksin-halal-asia-tenggara