Print this page
Monday, 08 February 2021 10:44

Peluang mengimarahkan semula masjid disambut baik (in Bahasa Malaysia)

Written by
Peluang mengimarahkan semula masjid disambut baik (in Bahasa Malaysia) - bebas news

SUSULAN keputusan kerajaan untuk kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi membendung peningkatan berterusan kes jangkitan Covid-19 yang kini telah disambung semula sehingga 18 Februari depan, umat Islam di Malaysia kembali menanti dengan penuh debaran ketetapan berkenaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh negara. Hal ini kerana sebelum ini aktiviti keagamaan seperti solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah baru sahaja kembali dibuka kepada orang ramai terutama di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Oleh itu, penguatkuasaan PKP menyeluruh sekali lagi di seluruh negara menimbulkan persoalan adakah aktiviti keagamaan ini akan kembali dihentikan?

Menurut perspektif Islam, tanggungjawab melaksana dan menguruskan hal ehwal agama Islam terutama yang bersangkutan dengan kepentingan awam umat Islam adalah termasuk dalam ruang lingkup peranan pemerintah ataupun ulil amri.

Hal ini sebagaimana yang telah jelas dibincangkan oleh para ulama dalam kitab-kitab berkenaan prinsip urus tadbir negara seperti ahkam sultaniyyah dan juga siyasah shar‘iyyah yang menetapkan garis panduan bagi pemerintah untuk mengelola urusan yang bersangkut paut dengan syi‘ar agama di ruang awam seperti solat berjemaah dan menunaikan haji serta kepentingan awam umat Islam yang lain seperti pengurusan harta zakat, baitulmal, percukaian dan menjaga ketenteraman awam.

Hal ini juga selari dengan prinsip maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama (hifz al-din) yang menjadi elemen utama yang perlu dititik beratkan oleh pemerintah. Manakala dalam konteks perundangan di Malaysia, hal ehwal agama Islam ini telah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri yang diketuai oleh Sultan dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang tiada Sultan.

Berlandaskan perkara ini, keputusan terkini telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri yang rata-ratanya memberikan kebenaran kepada masjid dan surau untuk terus beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Sebagai contohnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong telah membuat ketetapan untuk terus membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid dan surau yang berada di Wilayah Persekutuan, dengan kelonggaran terkini untuk melaksanakan solat Jumaat dengan bilangan jemaah yang terdiri daripada separuh kapasiti masjid.

Begitu juga ketetapan yang hampir sama yang telah diambil oleh negeri-negeri yang lain untuk terus membenarkan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau. Hal ini ternyata memberikan kelegaan kepada seluruh umat Islam di negara ini yang dapat melihat ‘rumah-rumah Allah’ ini tetap dibuka dan diimarahkan meskipun dalam jumlah yang terhad.

Dalam hal ini, aktiviti keagamaan di ruang awam seperti solat berjemaah di masjid dan surau terutamanya solat Jumat ini perlu difahami secara menyeluruh sebagai sebuah syi‘ar agama Islam yang perlu ditegakkan. Dalam kata lain, ia merupakan perkara yang menyentuh kepentingan umum masyarakat Islam dan bukannya semata-mata ibadah yang bersifat individu.

Apa yang dimaksudkan dengan syi‘ar Islam dalam konteks ini adalah lambang kebesaran dan kemuliaan agama Islam yang perlu dizahirkan secara terbuka serta dimuliakan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syi‘ar-sy‘iar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

Sebagai contohnya, solat Jumaat merupakan salah satu syi‘ar Islam yang disyariatkan untuk dilaksanakan secara kolektif oleh masyarakat dengan pengelolaan pemerintah. Ia bertujuan sebagai simbol solidariti persatuan masyarakat Muslim setempat. Oleh itu, solat Jumaat wajib dilaksanakan secara berjemaah di ruang awam yang telah ditetapkan, serta perlu dilaksanakan di satu tempat sahaja di dalam sesebuah komuniti, melainkan terdapatnya halangan seperti jumlah ahli jemaah yang terlalu ramai di luar kapasiti masjid sebagaimana yang dibincangkan para fuqaha’.

Lantaran itu, Imam al-Khatib al-Shirbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan hikmah disyaratkan penyatuan tempat perlaksanaan solat Jumaat ini ialah bagi mencapai maksud dan tujuan pensyariatan solat Jumaat itu sendiri, iaitu menzahirkan syi‘ar penyatuan ummah.

Oleh yang demikian, aktiviti ibadah di masjid dan surau ini perlu dianggap sebagai suatu kepentingan awam yang bersangkutan dengan syi‘ar dan simbol identiti kepada negara kita yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan. Ia bukan semata-mata ibadah peribadi yang boleh dihalang sepenuhnya dengan menggunakan alasan kepentingan kesihatan awam. Kedudukan aktiviti keagamaan ini sebagai simbol identiti dan syi‘ar bagi agama Islam mewajarkannya untuk turut diambil berat oleh pihak kerajaan sama seperti kepentingan awam yang lain.

Apatah lagi dalam keadaan di mana aktiviti keagamaan ini dapat tetap dilaksanakan sama seperti aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP yang ketat. Meskipun situasi pandemik semasa mengekang pembukaan penuh masjid dan surau kepada umat Islam, namun ia tidak bermakna syi‘ar Islam ini wajar dihalang dan dihentikan sama sekali.

Langkah pihak berkuasa agama negeri dengan perkenan sultan dan Yang di-Pertuan Agong untuk terus membenarkan aktiviti-aktiviti keagamaan agar terus diimarahkan di masjid dan surau merupakan satu langkah holistik yang wajar disambut baik oleh semua. Kebenaran ini yang diberikan dengan syarat-syarat tertentu seperti limitasi had maksimum jemaah dan pemakaian pelitup muka merupakan satu penyelesaian menang-menang telah diambil dengan mempertimbangkan keseluruhan aspek manfaat dan mudaratnya bagi semua pihak, ibarat kata pepatah Melayu: “Umpama menarik rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak.”

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=53510