Tuesday, 02 February 2021 11:06

Tingkatkan usaha perbaiki persepsi rasuah negara (in Bahasa Malaysia)

Written by
Tingkatkan usaha perbaiki persepsi rasuah negara (in Bahasa Malaysia) NSTP/Asyraf Hamzah

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi 2020 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, turun enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Negara mencatatkan skor 51 daripada 100 untuk 2020 berbanding 53 pada 2019. Pada 2018, kedudukan CPI Malaysia naik 10 anak tangga pada kedudukan ke-61 dengan skor 47 daripada 100 mata.

Antara kriteria pengiraan indeks ini melihat kepada persoalan berkaitan rasuah sektor awam ialah amalan rasuah, penyalahgunaan dana awam, penggunaan pejabat kerajaan untuk tujuan peribadi, amalan nepotisme dalam perkhidmatan awam, kemampuan kerajaan menguatkuasakan mekanisme integriti, kewujudan undang-undang perisytiharan kewangan, konflik kepentingan diri dan peruntukan undang-undang yang mencukupi kepada pemberi maklumat, wartawan dan penyiasat.

Seperti 2019, New Zealand dan Denmark menduduki tangga tertinggi CPI pada 2020 kerana rendahnya amalan rasuah di dua negara itu dengan skor 88 daripada 100.

Pada 2019, kedua-dua negara berkenaan memperoleh skor 87 mata.

Dalam kalangan 10 negara ASEAN, Malaysia disenarai ketiga selepas Singapura (85 mata) dan Brunei (60 mata). Malah Singapura berada pada tangga ketiga dunia berkongsi kedudukan dengan Finland dan Switzerland.

Dalam kalangan negara Islam pula, Malaysia ketinggalan di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) (tangga ke-21 dengan 71 mata), Qatar (tangga ke-30 dengan 63 mata) dan Arab Saudi (tangga ke-52 dengan 53 mata).

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar memaklumkan ada banyak faktor kejatuhan Malaysia dalam CPI kali ini.

Antaranya berleluasanya amalan rasuah, ketidakstabilan politik negara, krisis dalam demokrasi, ekonomi yang lemah, kurangnya governan yang baik dan ketidaktentuan masa depan negara.

Hakikatnya, amalan rasuah masih berleluasa di Malaysia. Walaupun dalam keadaan negara dilanda pandemik, sejumlah 998 kes tangkapan membabitkan jenayah itu direkodkan tahun lalu.

Meskipun begitu, jumlah itu menurun berbanding 2019 dengan 1,101 kes, tetapi naik sedikit berbanding 2018 dengan 894 kes.

Memandangkan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam agak tinggi, kerajaan mengeluarkan pekeliling bagi menjelaskan definisi pemberian dan penerimaan 'hadiah' yang boleh membawa maksud rasuah.

Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 1998 menetapkan, "hadiah meliputi wang, harta alih dan tak alih, kenderaan, tambang percuma, tiket loteri, saham, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata atau apa-apa benda bernilai yang diberi kepada atau diterima pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang dengan tiada balasan atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi atau mencukupi".

Menurut Pekeliling itu, larangan menerima atau memberi hadiah kepada pegawai awam jika ia berkait dengan tugas awamnya, manakala bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah yang diberi.

Larangan ini merujuk kepada subperaturan 8(1)(a) dan (b) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A) 395/1993).

Hasilnya, kementerian menetapkan dasar mengenai pemberian dan penerimaan hadiah dalam kalangan staf. Ini ditambah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan 29 Januari 2019 bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan.

Ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdapat satu rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik sepatutnya dibentangkan pada 2020, tetapi kerajaan PH jatuh pada hujung Februari tahun sama.

Dalam memastikan amalan rasuah dalam kalangan orang politik juga dibendung, semasa zaman pemerintahan PH, beberapa bekas pemimpin negara didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah yang dikategorikan di bawah pemberian dan penerimaan hadiah untuk tujuan sendiri walaupun dikatakan ia bagi tujuan parti politik.

Langkah memerangi rasuah dalam kalangan orang politik juga digerakkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui penerusan usaha kerajaan terdahulu, supaya RUU kawal dana politik dapat dibentangkan di Parlimen sesuai NACP 2019-2023.

Cadangan ini melihat kepada dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang bagi mengawal sumbangan politik seperti dinyatakan dalam 1.2.5 NACP.

Malah, usaha ini diteruskan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menyediakan laporan berkaitan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-14.

Bagi memastikan kedudukan Malaysia dalam CPI bertambah baik, usaha digerakkan kerajaan hendaklah disahut seluruh warga Malaysia.

Perancangan rapi harus dilakukan bagi menaikkan kedudukan tangga CPI bagi menarik pelaburan asing.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2020 dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia berkurangan dengan hanya jumlah pelaburan bernilai AS$2.5 bilion (jatuh 68 peratus).

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia dengan jumlah pelaburan AS$18 bilion (jatuh 24 peratus).

Singapura berada pada tangga teratas dengan jumlah pelaburan AS$58 bilion (jatuh 37 peratus), Vietnam AS$14 bilion (jatuh 10 peratus), Thailand AS$11.4 bilion (jatuh 50 peratus) dan Filipina AS$6.4 bilion (jatuh 29 peratus).

Usaha kerajaan membasmi rasuah dengan pengenalan beberapa undang-udang termasuk RUU kawal dana politik amat dialu-alukan.

Peningkatan tangkapan kes rasuah membabitkan penjawat awam, orang awam dan ahli politik menunjukkan betapa seriusnya kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani isu ini.

Adalah menjadi kewajipan kerajaan, orang awam dan ahli politik meningkatkan usaha bagi mencegah amalan tidak sihat ini.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia sama ada penjawat awam, orang awam dan ahli politik mesti menjauhi amalan rasuah, musuh utama negara.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Source: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/02/781783/tingkatkan-usaha-perbaiki-persepsi-rasuah-negara

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: [email protected]

www.iais.org.my/azam