Wednesday, 27 January 2021 16:34

Perlunya undang-undang kawal dana politik (in Bahasa Malaysia)

Written by
Perlunya undang-undang kawal dana politik (in Bahasa Malaysia) Bebas News

Isu pemberian dan penerimaan hadiah kepada penjawat awam dan ahli politik sering dibahaskan. Ia berkait rapat dengan “pulangan yang tidak sepatutnya”. Bagi penjawat awam, ia menjejaskan integriti seseorang sama ada ia bertindak berseorangan atau berkumpulan.

Kartel daging import yang kesahihan halalnya masih disangsikan kerana penipuan mereka dalam industri ini mungkin tidak berlaku sekiranya pegawai yang terlibat mengamalkan sifat integriti. Jutaan ringgit nilai kartel daging import itu menunjukkan betapa tinggi nilai sogokan “hadiah” atau rasuah mengikut kamus Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah bertahun-tahun bersekongkol di kalangan mereka yang terlibat. Mereka ini bukan sahaja hina di kaca mata agama malah duri dalam daging yang merosakkan keseluruhan sistem kehidupan manusia. Masakan tidak, ribuan malah jutaan orang Islam tertipu yang kononnya daging tersebut halal tetapi hakikatnya tidak.

Maka persoalannya apakah pemberian dan penerimaan “hadiah” ini juga satu amalan yang tidak menjahanamkan sesebuah institusi termasuk parti politik? Apakah “hadiah” ini tidak sama dengan “hadiah” yang dimaksudkan dalam Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 1998?

Menurut Pekeliling Bilangan 3 1998 tersebut, “hadiah meliputi wang, harta alih dan tak alih, kenderaan, tambang percuma, tiket loteri, saham, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisyen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata, atau apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada atau diterima pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya dari mana-mana orang dengan tiada balasan (without consideration) atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi atau mencukupi”.

Menurut Pekeliling tersebut, larangan daripada  menerima atau memberi hadiah kepada pegawai awam sekiranya ia berkait dengan tugas awamnya. Manakala bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah yang diberi. Larangan ini merujuk kepada subperaturan 8(1)(a) dan (b) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993(P.U.(A) 395/1993. Hasilnya, kementeri-kementerian membuat polisi mengenai pemberian dan penerimaan hadiah di kalangan staf .

Ini ditambah lagi dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Malah semasa zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdapat satu Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik yang sepatutnya dibentangkan pada tahun 2020 tetapi kerajaan PH jatuh pada hujung Februari 2020.

Semasa zaman pemerintahan kerajaan PH, beberapa bekas pemimpin negara didakwa di Mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah yang dikategorikan di bawah pemberian dan penerimaan hadiah untuk tujuan sendiri walaupun dikatakan untuk tujuan parti politik.

Bagi mengelak amalan ini, menurut Profesor Dr Azizuddin Sani, metod untuk mendapat dana politik boleh diadaptasi dari negara lain supaya parti politik berkenaan tidak ketandusan dana. Mengambil contoh negara Jerman, Akta Parti-parti Politik memperuntukkan bahawa setiap parti politik berhak menerima dana kerajaan mengikut pecahan tertentu berdasarkan kepada jumlah undi yang diperolehi dalam pilihan raya. Dr Ainul Adzallie Hasnul pula mengambil contoh di Amerika Syarikat di mana sumbangan dana daripada mana-mana pihak termasuk dari swasta merupakan satu pendekatan yang bagus tetapi ia perlu telus supaya tiada salah laku. Pendekatan ini boleh dimajukan ke Parlimen agar satu undang-undang khusus mengenai sumbangan dana politik dapat digariskan.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,  menegaskan bahawa beliau komited untuk memerangi rasuah dan akan meneruskan usaha yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini agar rang undang-undang kawal dana politik dapat dibentangkan di Parlimen sesuai dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Cadangan ini melihat kepada dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang bagi mengawal sumbangan politik seperti yang dinyatakan dalam 1.2.5 NACP. Malah usaha ini diteruskan oleh PAC Parlimen bagi menyediakan laporan berkaitan dengan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum mesyuarat kedua Penggal ketiga Parlimen ke-14.

Keperluan kepada undang-undang kawal dana politik perlu diwujudkan segera kerana buat masa ini tiada peraturan sebegini diperuntukkan bagi ahli-ahli politik termasuk parti politik dalam mengawal selia sumbangan politik. Ketiadaan undang-undang ini boleh menyebabkan salah laku kuasa dan tiada kawalan terhadap apa yang disebut sebagai hadiah politik.

Perbelanjaan seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya telah ditentukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Seksyen 19 (1) Akta 5  menghadkan perbelanjaan RM200 ribu bagi Parlimen dan RM100 ribu bagi Dewan Undangan Negeri. Seksyen 27 (1) Akta 5 memperuntukkan hukuman ke atas mereka yang menyalahi undang-undang ini apabila disabitkan oleh Mahkamah Sesyen didenda tidak melebihi RM5 ribu dan tidak boleh didaftarkan dan disenaraikan sebagai seorang pemilih dan pengundi dalam mana-mana pilihan raya di bawah Akta 5 atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh 5 tahun dari sabitan itu. Sekiranya pada tarikh sabitan itu dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu.

Memandangkan Indeks Persepsi Rasuah ke-23 bagi tahun 2020 (2020 CPI) akan diketahui pada 28 Januari 2021, Malaysia menduduki tangga ke 51 dengan skor 53 mata pada tahun 2019 naik 10 tangga pada tangga  61 daripada 180 negara pada tahun 2018 dengan skor 47 mata. Perkiraan CPI ini ialah semakin kecil tangga yang diduduki semakin kurang amalan rasuah dalam negara tersebut. Negara yang kedudukan tangganya tinggi menunjukkan amalan rasuah sangat berleluasa di negara tersebut. Antara kriteria pengiraan indeks ini melihat kepada persoalan yang berkaitan dengan rasuah sektor awam ialah amalan rasuah, penyalahgunaan dana awam, penggunaan pejabat kerajaan untuk tujuan peribadi, amalan nepotisme dalam perkhidmatan awam, kemampuan kerajaan menguatkuasakan mekanisme integriti, kewujudan undang-undang perisytiharan kewangan, konflik kepentingan diri dan peruntukan undang-undang yang mencukupi kepada pemberi maklumat, wartawan dan penyiasat.

Denmark dan New Zealand menduduki tangga tertinggi CPI pada tahun 2019 kerana rendahnya amalan rasuah di dua negara itu. Skor yang diberi ialah 87 daripada 100.Kedua-dua negara ini memang terkenal dengan reputasi yang sedikit amalan rasuah di sektor awam dan swasta. Malangnya, negara yang dikatakan sebuah negara Islam, Somalia menduduki tangga terendah dengan menduduki tangga ke 180 dengan skor hanya 9 mata.  Sudan Selatan pula merupakan negara kedua terendah menduduki tangga ke-179 dengan skor 12 mata.

Ramalan bagi negara Malaysia untuk CPI 2020 akan jatuh kerana faktor ketidakstabilan politik, ekonomi yang lemah dan kurangnya governan yang baik.

Maka usaha kerajaan dalam membasmi rasuah musuh utama negara dengan pengenalan beberapa undang-udang termasuk rang undang-undang kawal dana politik amat-amat dialu-alukan. Ini kerana amalan rasuah adalah salah guna kuasa. Adalah menjadi kewajipan kerajaan dan orang awam meningkat usaha bagi mencegah amalan yang tidak sihat ini. Justeru itu, rakyat Malaysia terutamanya ahli politik dan pegawai perkhidmatan awam mestilah bertindak lebih kuat bagi mengekang amalan rasuah, musuh utama negara.

PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Bebas News 27 Jan 2021: https://bebasnews.my/?p=52771

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: [email protected]

www.iais.org.my/azam