Friday, 04 September 2020 15:31

Perlembagaan, Rukun Negara satukan rakyat pelbagai kaum (in Bahasa Malaysia)

Written by
Perlembagaan, Rukun Negara satukan rakyat pelbagai kaum (in Bahasa Malaysia) bharian.com.my

SEBELUM merdeka, Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) mempunyai pelbagai budaya. Demografi Melayu secara tradisi menyaksikan perubahan drastik ketika zaman penjajahan Inggeris, ketika ratusan ribu pekerja imigran Cina dan India dibawa masuk.

Mereka membawa masuk budaya dan agama yang begitu asing. Orang Cina tertumpu di sektor perlombongan bijih timah, sementara orang India bekerja di ladang getah. Orang Cina pada umumnya penganut Buddha dan Taoisme, sementara majoriti kaum India penganut Hindu.

Dari semasa ke semasa, wujud interaksi antara etnik secara beransur-ansur walaupun anak Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan India di SJK Tamil.

Kebebasan beragama wujud dengan terdirinya kuil Buddha dan Hindu, malah di sesetengah tempat terletak bersebelahan masjid dan surau. Hubungan antara etnik di Malaysia diwarisi dengan semangat toleransi tinggi walaupun dalam tempoh singkat.

Kontrak sosial memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan keharmonian. Walaupun tidak termeterai secara bertulis, perkara dipersetujui dalam kontrak sosial dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia dipersetujui, difahami dan dihormati tiga majoriti etnik.

Maka pada dasarnya, Perlembagaan dilihat seolah-olah cenderung mendukung hak orang Melayu. Ini dapat dilihat dalam beberapa peruntukan khas iaitu (1) kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3); (2) kedudukan istimewa orang Melayu, termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak apabila dua negeri ini membentuk Malaysia pada 16 September 1963 (Perkara 153); (3) bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152) dan (4) kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 38).

Empat peruntukan ini sangat penting dan dipersetujui antara tiga parti politik terbesar mewakili Melayu, Cina dan India dalam kontrak sosial.

Sebagai balasan termaktubnya peruntukan khas kepada bangsa Melayu, masyarakat bukan Melayu diberi hak kewarganegaraan di samping hak penting lain seperti kebebasan beragama, hak berbudaya, hak pendidikan dan hak ekonomi.

Dari segi politik, pemerintah yang berkuasa terdiri gabungan tiga kumpulan etnik terbesar (sekarang termasuk kumpulan etnik lain yang kecil). Secara ringkas, masyarakat majmuk di Malaysia dapat digambarkan sebagai pelangi terdiri pelbagai warna.

Dengan kata lain, perpaduan dapat dicapai tanpa mengorbankan identiti etnik, agama dan budaya. Pendekatan di Malaysia lebih kepada integrasi nasional berbanding asimilasi yang menghapuskan budaya etnik yang sedia wujud.

Inilah sebabnya mengapa Perlembagaan terus dianggap dokumen seimbang dan diterima baik rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, jurang ekonomi meluas antara Melayu dan bukan Melayu menjadi permasalahan besar negara. Ketidaksamaan ekonomi berpanjangan merentasi etnik, menimbulkan prasangka dan perpecahan masyarakat.

Tambahan pula, kemenangan 25 kerusi oleh parti berasaskan kaum Cina dan 12 kerusi oleh PAS, kerajaan Perikatan hilang dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969. Satu perarakan besar menyambut kemenangan di Kuala Lumpur yang melalui kawasan Kampung Baru yang majoritinya penduduk Melayu bertukar menjadi tegang antara dua etnik ini.

Pada 13 Mei 1969, berlaku rusuhan, serangan dan pertumpahan darah antara Melayu dan Cina. Episod sejarah hitam Malaysia ini menyaksikan Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibentuk sebagai pemerintah sementara untuk memulihkan ketenteraman dan keamanan.

Akibatnya, Rukun Negara diperkenalkan sebagai satu falsafah kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-4.

Objektif utama Rukun Negara diperkenalkan untuk merealisasikan cita-cita Malaysia ke arah: (1) mencapai perpaduan yang lebih erat; (2) memelihara satu cara hidup demokratik; (3) mencipta satu masyarakat adil dengan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; (4) menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan (5) membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains serta teknologi moden.

Dalam memenuhi cita-cita di atas, Rukun Negara menggariskan lima prinsip utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Sejak itu, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi dua dokumen penting negara.

Meskipun begitu, kedua-dua dokumen ini tidak dapat lari daripada kritikan. Contohnya, sesetengah pihak sewenang-wenangnya menolak kewujudan kontrak sosial. Antara hujah mereka ialah istilah 'kontrak sosial' tidak wujud dalam Perlembagaan.

Kalau dilihat peruntukan dalam Perlembagaan itu sendiri, ia tidak menyebut mengenai demokrasi, kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman. Namun, ini tidak bermaksud falsafah, prinsip dan konsep itu tidak terdapat dalam Perlembagaan.

Membaca peruntukan dalam Perlembagaan tidak semestinya dalam bentuk tekstual dan tersurat, tetapi perlu kepada pembacaan holistik dan tersirat.

Ada juga suara berpendapat kontrak sosial dibentuk pada 1957 sudah usang dan tidak sesuai tuntutan masyarakat moden. Justeru, golongan ini menuntut peruntukan asas seperti kedudukan Islam, keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu perlu dipinda.

Hakikatnya, tuntutan seperti itu sendiri berlawanan dengan Perlembagaan dan bertentangan semangat perpaduan serta saling menghormati sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Hakikatnya, Perlembagaan satu dokumen yang lahir daripada semangat kesederhanaan, keseimbangan dan give and take antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Maka, ideologi melampau dan tuntutan yang boleh membawa ketegangan antara etnik perlu dinyahkan sama sekali.

Hasrat nenek moyang kita dan Suruhanjaya Reid dalam merangka Perlembagaan agar semua rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan baik serta aman dan damai. Pendekatan kesederhanaan termaktub dalam kontrak sosial dapat memupuk semangat toleransi dan semangat give and take dapat dihayati semua masyarakat berbilang etnik.

Justeru, Perlembagaan adalah dokumen tertinggi yang menyatupadukan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Tambahan pula, prinsip didukung Rukun Negara penting dan dapat dilihat dalam tiga dimensi.

Pertama, ia menyatupadukan kepelbagaian etnik di Malaysia. Kedua, ia berfungsi sebagai panduan dalam mentafsirkan peruntukan perlembagaan. Ketiga, ia memberikan pengesahan substantif terhadap undang-undang.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/09/727791/perlembagaan-rukun-negara-satukan-rakyat-pelbagai-kaum

 

 

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: [email protected]

www.iais.org.my/azam