Wednesday, 15 July 2020 15:52

Rukun negara tunjang perpaduan negara (in Bahasa Malaysia)

Written by
Rukun negara tunjang perpaduan negara (in Bahasa Malaysia) courtesy of bebasnews.my

Pelancaran Sambutan 50 tahun Rukun Negara oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Perdana Menteri pada 9 Julai 2020 yang lalu sangat tepat pada masanya. Ia kerana, 50 tahun yang lalu perisytiharan Rukun Negara dibuat oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong ke IV, Almarhum Sultan Terengganu pada 31 Ogos 1970 selepas setahun negara menyaksikan tragedi berdarah pada 13 Mei 1969. Sejarah hitam inilah yang menyebabkan Parlimen digantung dan sebuah kerajaan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk. 50 tahun perjalanan Rukun Negara ada pasang surutnya walaupun lima prinsipnya tertera di sekolah, pejabat kerajaan dan tempat awam.

Pentingnya Rukun Negara ini ialah kerana ia merupakan satu deklarasi yang membawa cita-cita Malaysia ke arah: 1) Mencapai perpaduan yang lebih erat; 2) Memelihara satu cara hidup demokratik; 3) Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; 4) Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak; dan 5) Membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains dan teknolgi moden.

Justeru bagi mencapai cita-cita tersebut, 5 prinsip Rukun Negara: 1) Kepercayaan kepada Tuhan; 2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara; 3) Keluhuran Perlembagaan; 4) Kedaulatan Undang-undang; dan 5) Kesopanan dan Kesusilaan, menjadi tunjang dan dasar negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Relevannya Rukun Negara sehingga hari ini ialah ia mendokong tiga cita-cita utama:

Pertama: perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat Malaysia. Ini penting kerana latar belakang sejarah pembentukan negara Malaysia yang melalui beberapa cabaran dan halangan. Penolakan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946 oleh Raja-raja Melayu dan etnik Melayu telah mengekalkan status quo pribumi walaupun ia tidak mendapat sambutan dari kalangan bukan pribumi. Hasilnya, ia diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Selepas itu, suara-suara tuntutan kepada kemerdekaan begitu kuat dan lantang tetapi penjajah memberi satu pra syarat bahawa kemerdekaan hanya akan diberi sekiranya semua etnik dapat ‘bekerjasama’ dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Dengan hubungan erat dan toleransi antara kaum yang menyaksikan semangat give and take, negara bebas dari penjajah Inggeris pada 31 Ogos 1957.

Pembentukan negara Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963 menyaksikan kewujudan lebih ramai etnik dan agama. Mungkin Singapura tidak berbeza dengan Pulau Pinang dan bandar-bandar besar di Barat Semenanjung Malaysia yang menyaksikan penduduk majoriti etnik Cina, tetapi pelbagai etnik dan suku datangnya dari Sabah dan Sarawak. Justeru kerana mahukan identiti dan hak negeri mereka dikekalkan, perjanjian 20 perkara untuk Sabah dan Sarawak telah dimetraikan dan sebahagian besarnya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kini Laut Cina Selatan yang memisahkan warga Semenanjung dan Sabah & Sarawak mesti dipadurapatkan untuk membentuk bangsa Malaysia. Maka Rukun Negara merupakan platform penting membentuk perpaduan erat yang dimaksudkan itu.

Kedua: Memandangkan jurang ekonomi yang agak jauh antara penduduk pribumi dan ‘pendatang’, timbul irihati dan prasangka buruk antara keduanya. Sehingga penduduk pribumi dipandang hina dan rendah oleh golongan ‘pendatang” menyebabkan berlaku rusuhan, kacaubilau dan pertumpahan darah pada 13 Mei 1969. Bagi mengurangkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin supaya kekayaan negara dapat dikecapi secara adil dan saksama, Dasar Ekonomi Baru (DEB) Pertama diperkenalkan bagi maksud ini.

Ketiga: Perlembagaan Persekutuan yang merupakan dokumen dan undang-undang tertinggi negara seperti yang termaktub dalam Perkara 4(1) tidak akan bermakna kalau keluhuran Perlembagaan itu tidak diamati. Ia perlu dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia bagi mencegah sesetengah pihak yang mengambil sikap pilih kasih dalam pelaksaan undang-undang. Ini bertepatan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kesamarataan kepada setiap individu.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa sambutan 50 tahun Rukun Negara diadakan. Ini kerana masih ramai lagi warga Malaysia yang tidak kuat jatidirinya. Peristiwa yang kurang enak didengar seperti mengebarkan jalur gemilang secara terbalik, pengubahsuaian Jata Negara dan beberapa isu lain mencerminkan rendahnya semangat patriotisme sesetengah warga Malaysia.

Justeru itu, terdapat usaha oleh beberapa pertubuhan dan organisasi yang mencadangkan agar Rukun Negara dimasukkan sebagai mukaddimah Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya, usul ini pernah diutarakan oleh Allahyarham Prof Syed Hussein Al-Attas pada Februari 1971 dan dihidup kembali beberapa tahun yang lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga kini.

Bagi mereka yang menyokong Rukun Negara dimasukkan sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan kerana buat masa ini, Perlembagaan kita tidak mempunyai mukadimah walaupun majoriti Perlembagaan negeri-negeri mempunyainya. Hakikatnya, dunia menyaksikan 160 dari 193 negara mempunyai mukadimah atau dikenali sebagai preamble dalam perlembagaan mereka. Malah Sahifah Madinah yang merupakan Perlembagaan Bertulis pertama dalam sejarah dunia pun mempunyai mukadimah. Sahifah Madinah yang mempunyai 47 fasal bukanlah wahyu yang diturunkan oleh Allah tetapi kandungannnya bersifat universal dan relevan sehingga hari ini. Masyarakat Madinah tanpa mengira latar belakang kabilah dan agama sama-sama bersatu padu memastikan negara Madinah selamat, maju, makmur dan aman damai.

Walaupun begitu, ada pihak yang berhujah menolak keperluan memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah kerana kekaburan sifat yang hendak diterima pakai. Justeru terdapat tiga sifat mukadimah: sifat ideal yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai etnik dan agama; sifat tafsiran yang membantu mentafsir perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan; dan sifat substantif yang mengesahkan undang-undang.

Bagi yang menyokong kemasukkan Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan berhujah bahawa ia tidak akan mengurangkan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan. Ini kerana semua Perkara yang terkandung di dalamnya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Membaca peruntukan dalam Perlembagaan tidak boleh dibuat secara berasingan kerana ia bersifat menyeluruh. Ia tidak akan menghapuskan beberapa Perkara penting seperti Perkara 3(1) yang memberi keutamaan kepada agama Islam. Ia juga tidak akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perkara 153, Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perkara 152, hak dan keistimewaan Raja-raja Melayu melalui Majlis Raja-raja dalam Perkara 38.

Mukadimah dalam Perlembagaan lazimnya menekankan nilai–nilai sejagat dan unsur-unsur tempatan. Kerana itu, ia tidak akan merungkai inti pati kandungan dalam Perlembagaan itu sendiri. Keutamaan kepada nilai-nilai dan unsur-unsur tempatan tetap kekal dan tidak akan luntur dengan kemasukan Rukun Negara sebagai mukadimahnya.

Meskipun begitu, ia memerlukan kepada perbincangan lanjut supaya semua pihak dapat memahami tujuan sebenarnya. Apapun keputusannya, natijah asal Rukun Negara perlu dikembalikan kerana falsafah yang terkandung di dalamnya merupakan tunjang perpaduan kaum dan keharmonian sosial yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

-BebasNews

PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia pada 1 April 2013.

Source: https://bebasnews.my/?p=40123

 

 

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil was Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia from 2013-2022.

[email protected]

https://azamadil.com