Friday, 17 September 2021 11:43

Teori konspirasi penghalang usaha melawan COVID-19 (in Bahasa Malaysia)

Written by
Teori konspirasi penghalang usaha melawan COVID-19 (in Bahasa Malaysia) pic - bebas news

DUNIA masih tidak mampu keluar dari belenggu COVID-19 walau pun pelbagai langkah pencegahan diambil hampir dua tahun. Daripada kaedah ‘lockdown’, penguatkuasaan SOP, sehinggalah kepada pemberian vaksin secara mega di seluruh dunia, semakin dilawan semakin bermutasi pula virus tersebut menjadi varian-varian baharu dan dikhabarkan lebih bahaya. Perkembangan ini menyemarakkan lagi pertembungan antara dua kelompok masyarakat era 2021 CE (Covid Era), iaitu golongan anti-vaksin dan pro-vaksin.

Wabak pandemik bukanlah fenomena baharu. Sekitar pertengahan kurun ke-14, wabak Black Death tercetus di Asia Tengah berpunca daripada bakteria bawaan tikus. Ia merebak begitu pantas di Asia, Eropah, Afrika Utara dan beberapa bahagian dunia lain. Masyarakat dunia ketika itu tidak mengetahui punca wabak tersebut, apatah lagi cara merawatnya. Yang terdaya mereka lakukan hanyalah berdoa dan berlindung di rumah-rumah ibadat, menyebabkan semakin ramai mangsa dijangkiti dan terkorban. Sebelum era kemajuan perubatan muncul, masyarakat Eropah misalnya menyalahkan kaum Yahudi kerana didakwa membawa sial. Amalan ilmu hitam serta kemurkaan Tuhan dan dewa-dewi juga didakwa sebagai penyebab wabak. Ia adalah penjelasan paling mudah untuk memahami punca sesuatu wabak.

Black Death membunuh sekitar 200-700 juta manusia dalam tempoh kurang 10 tahun, ketika era perhubungan dan pengangkutan masih di peringkat asas, dan populasi dunia tidak sesarat hari ini. Bermaksud dalam abad moden ini kita lebih berisiko tewas akibat pandemik. Justeru bagaimana caranya kita bangkit melawan?

Ketika COVID-19 muncul dua tahun lalu, kita begitu berharap supaya vaksin COVID-19 segera ditemukan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kini sudah ada beberapa pilihan vaksin, tetapi ramai pula yang menolaknya. Sekali lagi golongan Yahudi dan sekutu-sekutunya dipersalahkan.

Golongan anti-vaksin mendakwa vaksin-vaksin COVID-19 masih dalam peringkat eksperimen, dan manusia bukanlah tikus makmal. Vaksinasi didakwa usaha terancang ‘gerakan rahsia berpengaruh’ untuk mengurangkan populasi dunia secara mendadak, selain menguasai ekonomi dan politik global.

Idea sekumpulan saintis elitis berkonspirasi mencipta vaksin berbahaya untuk meranapkan 8 bilion umat manusia sebenarnya sukar diterima akal. Para saintis sebenarnya paling sukar untuk bersetuju sesama sendiri. Jika ujian-ujian membuktikan sesuatu vaksin itu membahayakan nyawa, saintis global akan sepakat menolak penggunaannya. Dunia moden pernah mengharungi wabak Spanish Flu, Ebola, SARS, AIDS dan sebagainya. Dalam tempoh krisis itu, masyarakat umum dunia lebih mempercayai sains berbanding teori-teori konspirasi.

Teori konspirasi menarik pengikut yang ramai kerana ia menawarkan penjelasan mudah mengenai isu-isu rumit kepada orang awam. Sejarah manusia diwarnai siri peperangan, krisis, revolusi dan pandemik yang rumit untuk dijelaskan. Dengan mempercayai teori-teori konspirasi, seseorang akan memiliki perasaan seolah-olah memahami segala-galanya. Sekiranya kepercayaan kepada teori konspirasi ini berkembang, usaha untuk membanteras COVID-19 akan menjadi sukar.

Kerajaan didakwa tidak telus dan menyembunyikan fakta sedangkan semakin ramai rakyat jatuh sakit bahkan meninggal dunia selepas divaksin. Pelbagai ‘bukti’ kesan sampingan dan kematian akibat vaksin dikeluarkan. Penolakan dan propaganda seperti ini mencabar usaha kebangsaan melawan COVID-19, sekali gus membahayakan diri dan orang lain. Sedar atau tidak, apa yang lebih berbahaya daripada virus COVID-19 itu sendiri adalah keengganan untuk semua pihak bekerjasama dalam tempoh getir ini.

Sebenarnya, tidak semua yang menolak vaksinasi itu berpendirian anti-vaksin atau pentaksub teori konspirasi. Ada dalam kalangan mereka itu profesional bidang perubatan dan pakar vaksinasi sendiri. Justeru perlu ada dialog dan kerjasama dengan kumpulan profesional ini. Inisiatif YM Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk memahami kumpulan guru di Johor yang enggan divaksin juga boleh dijadikan contoh. Vaksin bukanlah segala-galanya, tetapi menolaknya bulat-bulat akan menyebabkan kesukaran tambahan kepada negara di peringkat nasional dan global.

Saranan menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba supaya negara mula menghasilkan vaksin buatan tempatan sepatutnya diterima secara serius, dan bukannya disambut dengan sindiran politik dan lelucon. Sekiranya vaksin luar negara menjadi kegusaran, justeru sudah masanya kita bersungguh mencipta penawar atau vaksin formula sendiri, yang kita tidak ragu dan buktikan sendiri keberkesanannya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober 2021. Kerajaan Malaysia tidak memaksa setiap rakyatnya untuk divaksinasi, tetapi ia terus digalakkan supaya pelbagai sektor dalam negara dapat dibuka dan kehidupan rakyat dipulihkan walau pun dalam norma baharu. Ia juga bagi mengelak sekatan-sekatan yang terpaksa dilakukan dalam urusan seharian demi kemaslahatan semua.

Sekiranya kesan jangka panjang vaksin terhadap kesihatan menjadi kekhuatiran, mungkin kita juga perlu memikirkan bahan-bahan yang kita ambil setiap hari. Makanan diubah secara genetik (GMO), makanan diproses seperti sosej dan daging burger, ikan diawet formalin, buah-buahan disalut lilin, sayur-sayuran disemburi racun serangga, perasa makanan tiruan, rokok dan vape, semuanya memberi kesan buruk jangka panjang kepada kesihatan, bahkan menyebabkan begitu banyak kematian. Bezanya, ia tidak disuntik masuk ke badan. Ia juga tidak ‘dipaksa’, tapi majoriti kita mengambilnya. Tidak ramai pula berjuang menolak pengambilan bahan-bahan tersebut.

Jika vaksinasi COVID-19 menjadi punca paranoia kerana didakwa usaha terancang mengurangkan populasi manusia di dunia, normalisasi homoseksualisme dan gaya hidup LGBTQ juga usaha halus yang ‘dicucuk’ ke dalam pemikiran masyarakat moden, supaya manusia tidak membiak. Ini jauh lebih berbahaya dan menjijikkan berbanding kaedah vaksinasi kerana berpotensi meruntuhkan institusi kekeluargaan, moral dan agama.

Dalam keadaan masih tiada penawar ampuh mencegah dan merawat COVID-19, kita memerlukan masyarakat yang tidak terlalu paranoid dengan teori-teori konspirasi, dan menerima hakikat vaksinasi sebagai kaedah paling berkesan setakat ini, jauh lebih baik daripada tiada vaksin langsung. Ia terbukti secara saintifik mengurangkan kes pesakit dimasukkan ke hospital. Sungguh pun tidak mampu mengelak individu daripada dijangkiti atau menjangkiti orang lain, apatah lagi mencegah kematian, vaksinasi COVID-19 tidak patut dipandang enteng dan serong.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=69974