Iman Ramli

Iman Ramli

KEINGINAN untuk dikenali dan dihargai kelihatan semakin membara dalam arus dunia digital. Pelbagai cara mempromosi diri dilakukan terutamanya menerusi media sosial, menggunakan kaedah ‘pemasaran diri’ terhormat mahu pun murahan. Bagi yang sudah mencapai kemasyhuran, keinginan agar diri diingati sampai bila-bila mungkin menjadi isu penting dalam diri mereka. Orang politik, orang bisnes, orang seni atau sesiapa sahaja pasti memahami perkara ini. Semua mahu meninggalkan legasi dan diingati kerana kebaikan, dan bukannya kesalahan yang dibuat semasa hidupnya.

Semasa hayatnya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mengatakan beliau akan hidup 1000 tahun lagi melalui filem-filem dan lagu-lagunya. Ia ternyata menjadi kenyataan, apabila beliau ‘tetap hidup’ dalam pelbagai peranti canggih dalam era digital 24 jam sehari, lebih meluas dari hanya panggung-panggung atau di piring-piring hitam yang ada dalam fikirannya ketika itu. Selagi ada sambungan Internet dan dunia belum kiamat, kemajuan teknologi digital mampu menawarkan ‘hidup selama-lamanya’ di Internet.

Hakikatnya, semua yang hidup pasti mengalami kematian. Namun ada golongan manusia tidak bertuhan begitu obses dengan sains dan mula mengikhtiarkan ‘penawar’ kepada mati, seperti para saintis tertentu yang mengusahakan muat-naik minda dan kesedaran manusia (mind uploading) ke internet dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI). Seperti dipaparkan dalam filem cereka sains ‘Transcendence’ (2014) dan ‘Chappie’ (2015), orang mati boleh terus hidup dalam bentuk digital di dunia siber, bahkan berkemampuan melakukan ‘keajaiban-keajaiban’ teknologikal tertentu persis Tuhan. Setakat ini, teknologi ini masih kekal dalam fiksyen sains. Jika berjaya dilakukan sekali pun, ia hanyalah salinan fizikal otak dan keadaan mental si mati, dan bukannya roh yang mana menjadi urusan Tuhan semata-mata.

Setakat kemajuan teknologi hari ini, orang yang sudah lama mati boleh ‘dihidupkan semula’ dengan wajah, suara dan karakter semasa hidupnya hasil janaan teknologi AI. Sebagai contoh, Metaverse yang sedang giat dibangunkan bakal memberi pengalaman dunia internet 3D di mana manusia boleh berinteraksi, berbisnes dan bersosial dalam bentuk ‘avatar’. Teknologi media sintetik ‘deepfake’ juga mampu menggantikan imej atau video seseorang ke atas imej dan video orang lain.

‘Hidup selamanya’ di alam siber tidak melibatkan roh seseorang berlegar di Internet, tetapi hanyalah kesan hidup atau legasinya dalam bentuk kandungan media digital. Apabila seseorang memuat-naik foto, video, artikel atau status ke media sosial, dia sedang kongsikan dirinya dengan ratusan atau mungkin ribuan kenalannya. Setelah meninggal dunia, kesemua bentuk data itu masih boleh diakses sekiranya akaun media sosialnya tidak dinyahaktif, atau kandungan digital itu sudah tular. Kandungan yang baik mampu menjadi punca amal jariah berpanjangan. Pun begitu, legasi kurang baik di Internet pula dikhuatiri menjadi punca dosa berterusan.

Jika kita ingin kekal diingati, dihargai atau ‘kekal selamanya’ di dunia digital, mungkin soalan perlu ditanyakan adalah kenapa kita menginginkannya? Jika kita menginginkan amal jariah berterusan terutamanya daripada aktiviti media sosial, maka seharusnya kita memilih untuk memuat-naik kandungan yang baik-baik semasa hayat, seperti perkongsian status, video atau audio yang mengajak ke arah kebaikan. Semestinya ia akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang punya akses kepada kandungan tersebut. Kita mencemburui tokoh-tokoh qari al-Quran dan muazzin yang telah meninggal dunia, tetapi alunan suara mereka masih boleh didengari dan dihayati dalam peranti-peranti moden, seolah-olah mereka masih hidup lagi.

Jika yang dimuat-naik adalah koleksi foto mengghairahkan, status menyesatkan, menghina, memfitnah atau video-video jelek sendiri atau orang lain, ia dikhuatiri akan menyalurkan dosa kepada si mati, selagi ada yang like, comment, share atau download. Sebelum memuat-naik sebarang kandungan ke Internet, mungkin kita perlu memikirkan sejauh mana kita berupaya menarik balik kandungan-kandungan tertentu dari dunia siber. Semakin tular, semakin pasti ia tidak dapat diundur atau ditarik balik dan akan kekal abadi di Internet.

Kita terdedah dengan pelbagai mehnah dunia digital dan ramai yang telah terpesona dengan ilusi yang ditawarkannya, sehingga secara sedar atau tidak, kita telah meninggalkan legasi dan jejak yang berterusan dosanya di sisi Tuhan. Facebook memiliki 2.9 bilion pengguna di seluruh dunia.

Instagram memiliki lebih kurang 1 bilion pengguna dengan 35 juta gambar swafoto dimuat-naik ke platformnya setiap hari, bermaksud lebih kurang 400 foto setiap saat. Twitter mempunyai 330 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia, dengan jumlah 400 juta ciapan sehari. Manakala jumlah pengguna aktif bulanan TikTok adalah lebih kurang 1 bilion, dengan sejuta tontonan video dalam sehari. YouTube mempunyai 122 juta pengguna aktif setiap hari, dengan jumlah tontonan kandungan videonya mencecah 1 bilion jam sehari. Angka beratus juta bahkan berbilion pengguna dan kandungan digital ini memberi gambaran betapa manusia sudah menyatukan dengan teknologi dalam sistem mega ‘Data Raya’ (Big Data). Meninggalkan kehidupan digital bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, walhal selepas mati.

Jika ditanya, sudah pasti kita mahu dikenang dan diingati kerana kebaikan selepas meninggal dunia. Apalah gunanya menginginkan kemasyhuran, tular dan ‘hidup selama-lamanya’ di alam digital, tetapi tidak membawa keuntungan, bahkan mendatangkan bencana di alam barzakh dan akhirat. Allah SWT berfirman bahawa setiap amalan dilakukan manusia akan dinilai dengan adil di sisi-Nya, tidak kira walau sebesar mana atau sekecil zarah sekali pun, seperti firman-Nya dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8. Justeru berhati-hatilah dengan apa yang kita kongsi atau tinggalkan di media sosial atau dunia digital amnya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Penulis adalah Eksekutif Persidangan, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Source: https://bebasnews.my/2022/04/25/waspada-dosa-berkekalan-dalam-dunia-digital

Tidak cukup dengan peperangan tidak berkesudahan melawan COVID-19, termasuk berdepan penolakan kumpulan antivaksin, rakyat terpaksa mengharungi juga pelbagai episod pertelagahan politik tidak berkesudahan.

Kebelakangan ini tercetus pula 'pertempuran' antara kelompok menyokong aliran dengan tokoh agama tertentu. Seperti pertelagahan politik, pertelagahan antara agamawan sebenarnya bersifat tradisional kerana sudah berlangsung sejak berkurun lalu.

Namun, ia tidak pernah sesengit di media sosial hari ini sehingga turut membabitkan rakyat biasa daripada pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, pendidikan dan usia.

 

Hari ini, maklumat sama ada yang benar atau palsu diperoleh dengan mudah dan murah melalui media digital. Pengaruh maklumat ini membentuk kumpulan warganet yang berpegang kepada pemahaman sendiri sehingga ada tanpa segan-silu memaki hamun dan santai meluahkan pendapat, tidak kira bernas atau mengarut.

Platform perjuangannya kini mengambil tempat di dunia maya, berlangsung 24 jam sehari selagi ada 'pejuang' tidak tutup mata. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Apakah pertempuran 'mencari kebenaran' ini sihat untuk rakyat dan ummah?

Daripada 32.75 juta rakyat Malaysia, 20.9 juta adalah pengguna telefon pintar. Berdasarkan statistik 2018 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), jumlah pengguna Facebook di negara ini sekitar 22 juta, manakala pengguna Twitter 7.2 juta.

Purata jumlah masa dihabiskan rakyat Malaysia untuk menonton YouTube pula adalah 80 minit sehari. Statistik 2020 oleh Statista.com menunjukkan sehari, rakyat Malaysia menghabiskan 9.17 jam di internet dan 3.01 jam di media sosial.

Hal ini memberi gambaran betapa rakyat sudah begitu sebati dalam dunia digital dan meninggalkannya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Dunia seperti apa yang sedang kita alami ini?

Selamat datang ke 'dunia dipacu data' atau data driven world dengan dunia nyata begitu bergantung dan dipengaruhi sistem data raya. Data pengguna internet 'dilombong' dan dijana 24 jam sehari oleh pelbagai proses digital, sistem serta peranti penderia di sekeliling kita seperti aplikasi di media sosial, telefon serta jam pintar.

Contoh mudah, aplikasi seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube berkebolehan menjejak apa yang sering kita cari di internet atau di aplikasi itu sendiri.

Tanpa disedari, aplikasi itu menjana 'algoritma' menentukan apa akan muncul di suapan media sosial kita, biasanya untuk menyasarkan iklan (dan kadangkala penyasaran politik).

Algoritma mengambil kandungan yang pernah pengguna lawati atau cari di internet, kemudian mencipta lebih banyak suapan, berdasarkan interaksi dan aktiviti digital mereka seperti aktiviti likeshare, hashtag dan comment.

Disebabkan minat atau benci, seseorang itu mungkin sering membuat carian mengenai 'Parti X' atau 'Ustaz Y' di Facebook atau YouTube. Algoritma akan mengenal pasti dan menggandakan suapan mengenai carian itu sehingga ia mendominasi suapan media sosialnya.

Menerusi suapan berulang, seseorang akan cenderung untuk menerima dan membaca cerita satu hala, kemudian berasa pemahamannya betul serta akhirnya menjadi fanatik tanpa disedari.

Sistem sebegini amat diperlukan individu atau kumpulan memburu populariti dan jana wang laman sosial, contohnya YouTube. Semakin ramai pengikut fanatik, semakin sengit pertempuran di ruang komen, manakala jumlah penonton dan pelanggan salurannya akan meningkat.

Semakin tular di alam maya, semakin banyak juga misalnya jemputan ceramah, jualan buku atau jumlah pengundinya. Betul atau tidak ilmu diajar atau janji ditabur sudah tidak penting. Apa yang penting adalah popular.

Hari ini, tokoh politik dianggap karismatik dan ahli agama tertentu dianggap mulia, bukan kerana jasa bakti atau kesahihan ilmunya, tetapi berapa ratus ribu penyokongnya di dunia maya.

Bakti tidak seberapa berbanding kerosakan, ajaran dan amalan aneh, begitu mudah dianggap sebagai kebenaran oleh penyokong fanatik.

Ramai tidak sedar, antara punca munculnya pengikut fanatik di dunia digital adalah kerana manipulasi data serta suapan berulang algoritma di media sosial.

'Pendewaan' ahli politik dan ahli agama di dunia digital memberi kesan besar kepada sosiopolitik negara. Fanatisme mengakibatkan manusia terpesong pemikiran, akidah, menjauhi kebenaran dan membunuh demokrasi.

Kita menjadi 'hamba' teknologi algoritma dan kecerdasan buatan (AI), semakin celaru, penat dan sesat kerana kita berhenti menggunakan kecerdasan dan kewarasan akal fikiran.

Kita bergantung kepada media sosial dan watak diri tokoh tertentu, bukan menuntut ilmu melalui sumber sahih dan boleh dipercayai untuk mencari kebenaran.

Kita sudah sampai pada zaman yang kebenaran tampak batil dan batil tampak benar. Teknologi dijana AI lain seperti filterface app dan deep fake mencipta sosok tiruan, pura-pura, bahkan tidak wujud, tetapi dipuja di alam digital.

Ini ujian amat berat bagi umat era pasca-kebenaran yang permainan emosi digunakan untuk mengubah emosi dan pemikiran seseorang terhadap sesuatu dengan menyembunyikan apa yang benar. Belum lagi bicara soal dunia Metaverse, kebenaran kini sudah tidak penting lagi.

Sebagai manusia diberikan nikmat akal fikiran, kita seharusnya bijak memilih apa benar atau salah berdasarkan ilmu dan maklumat daripada sumber sahih. Algoritma adalah keperluan dunia moden kerana memudahkan pelbagai urusan harian manusia. Namun, jika tidak digunakan sebaiknya, ia 'senjata makan tuan'.

Penulis adalah Eksekutif Persidangan, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2022/02/924449/manipulasi-data-suapan-algoritma-lahir-fanatisme-di-media-sosial

DUNIA masih tidak mampu keluar dari belenggu COVID-19 walau pun pelbagai langkah pencegahan diambil hampir dua tahun. Daripada kaedah ‘lockdown’, penguatkuasaan SOP, sehinggalah kepada pemberian vaksin secara mega di seluruh dunia, semakin dilawan semakin bermutasi pula virus tersebut menjadi varian-varian baharu dan dikhabarkan lebih bahaya. Perkembangan ini menyemarakkan lagi pertembungan antara dua kelompok masyarakat era 2021 CE (Covid Era), iaitu golongan anti-vaksin dan pro-vaksin.

Wabak pandemik bukanlah fenomena baharu. Sekitar pertengahan kurun ke-14, wabak Black Death tercetus di Asia Tengah berpunca daripada bakteria bawaan tikus. Ia merebak begitu pantas di Asia, Eropah, Afrika Utara dan beberapa bahagian dunia lain. Masyarakat dunia ketika itu tidak mengetahui punca wabak tersebut, apatah lagi cara merawatnya. Yang terdaya mereka lakukan hanyalah berdoa dan berlindung di rumah-rumah ibadat, menyebabkan semakin ramai mangsa dijangkiti dan terkorban. Sebelum era kemajuan perubatan muncul, masyarakat Eropah misalnya menyalahkan kaum Yahudi kerana didakwa membawa sial. Amalan ilmu hitam serta kemurkaan Tuhan dan dewa-dewi juga didakwa sebagai penyebab wabak. Ia adalah penjelasan paling mudah untuk memahami punca sesuatu wabak.

Black Death membunuh sekitar 200-700 juta manusia dalam tempoh kurang 10 tahun, ketika era perhubungan dan pengangkutan masih di peringkat asas, dan populasi dunia tidak sesarat hari ini. Bermaksud dalam abad moden ini kita lebih berisiko tewas akibat pandemik. Justeru bagaimana caranya kita bangkit melawan?

Ketika COVID-19 muncul dua tahun lalu, kita begitu berharap supaya vaksin COVID-19 segera ditemukan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kini sudah ada beberapa pilihan vaksin, tetapi ramai pula yang menolaknya. Sekali lagi golongan Yahudi dan sekutu-sekutunya dipersalahkan.

Golongan anti-vaksin mendakwa vaksin-vaksin COVID-19 masih dalam peringkat eksperimen, dan manusia bukanlah tikus makmal. Vaksinasi didakwa usaha terancang ‘gerakan rahsia berpengaruh’ untuk mengurangkan populasi dunia secara mendadak, selain menguasai ekonomi dan politik global.

Idea sekumpulan saintis elitis berkonspirasi mencipta vaksin berbahaya untuk meranapkan 8 bilion umat manusia sebenarnya sukar diterima akal. Para saintis sebenarnya paling sukar untuk bersetuju sesama sendiri. Jika ujian-ujian membuktikan sesuatu vaksin itu membahayakan nyawa, saintis global akan sepakat menolak penggunaannya. Dunia moden pernah mengharungi wabak Spanish Flu, Ebola, SARS, AIDS dan sebagainya. Dalam tempoh krisis itu, masyarakat umum dunia lebih mempercayai sains berbanding teori-teori konspirasi.

Teori konspirasi menarik pengikut yang ramai kerana ia menawarkan penjelasan mudah mengenai isu-isu rumit kepada orang awam. Sejarah manusia diwarnai siri peperangan, krisis, revolusi dan pandemik yang rumit untuk dijelaskan. Dengan mempercayai teori-teori konspirasi, seseorang akan memiliki perasaan seolah-olah memahami segala-galanya. Sekiranya kepercayaan kepada teori konspirasi ini berkembang, usaha untuk membanteras COVID-19 akan menjadi sukar.

Kerajaan didakwa tidak telus dan menyembunyikan fakta sedangkan semakin ramai rakyat jatuh sakit bahkan meninggal dunia selepas divaksin. Pelbagai ‘bukti’ kesan sampingan dan kematian akibat vaksin dikeluarkan. Penolakan dan propaganda seperti ini mencabar usaha kebangsaan melawan COVID-19, sekali gus membahayakan diri dan orang lain. Sedar atau tidak, apa yang lebih berbahaya daripada virus COVID-19 itu sendiri adalah keengganan untuk semua pihak bekerjasama dalam tempoh getir ini.

Sebenarnya, tidak semua yang menolak vaksinasi itu berpendirian anti-vaksin atau pentaksub teori konspirasi. Ada dalam kalangan mereka itu profesional bidang perubatan dan pakar vaksinasi sendiri. Justeru perlu ada dialog dan kerjasama dengan kumpulan profesional ini. Inisiatif YM Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk memahami kumpulan guru di Johor yang enggan divaksin juga boleh dijadikan contoh. Vaksin bukanlah segala-galanya, tetapi menolaknya bulat-bulat akan menyebabkan kesukaran tambahan kepada negara di peringkat nasional dan global.

Saranan menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba supaya negara mula menghasilkan vaksin buatan tempatan sepatutnya diterima secara serius, dan bukannya disambut dengan sindiran politik dan lelucon. Sekiranya vaksin luar negara menjadi kegusaran, justeru sudah masanya kita bersungguh mencipta penawar atau vaksin formula sendiri, yang kita tidak ragu dan buktikan sendiri keberkesanannya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober 2021. Kerajaan Malaysia tidak memaksa setiap rakyatnya untuk divaksinasi, tetapi ia terus digalakkan supaya pelbagai sektor dalam negara dapat dibuka dan kehidupan rakyat dipulihkan walau pun dalam norma baharu. Ia juga bagi mengelak sekatan-sekatan yang terpaksa dilakukan dalam urusan seharian demi kemaslahatan semua.

Sekiranya kesan jangka panjang vaksin terhadap kesihatan menjadi kekhuatiran, mungkin kita juga perlu memikirkan bahan-bahan yang kita ambil setiap hari. Makanan diubah secara genetik (GMO), makanan diproses seperti sosej dan daging burger, ikan diawet formalin, buah-buahan disalut lilin, sayur-sayuran disemburi racun serangga, perasa makanan tiruan, rokok dan vape, semuanya memberi kesan buruk jangka panjang kepada kesihatan, bahkan menyebabkan begitu banyak kematian. Bezanya, ia tidak disuntik masuk ke badan. Ia juga tidak ‘dipaksa’, tapi majoriti kita mengambilnya. Tidak ramai pula berjuang menolak pengambilan bahan-bahan tersebut.

Jika vaksinasi COVID-19 menjadi punca paranoia kerana didakwa usaha terancang mengurangkan populasi manusia di dunia, normalisasi homoseksualisme dan gaya hidup LGBTQ juga usaha halus yang ‘dicucuk’ ke dalam pemikiran masyarakat moden, supaya manusia tidak membiak. Ini jauh lebih berbahaya dan menjijikkan berbanding kaedah vaksinasi kerana berpotensi meruntuhkan institusi kekeluargaan, moral dan agama.

Dalam keadaan masih tiada penawar ampuh mencegah dan merawat COVID-19, kita memerlukan masyarakat yang tidak terlalu paranoid dengan teori-teori konspirasi, dan menerima hakikat vaksinasi sebagai kaedah paling berkesan setakat ini, jauh lebih baik daripada tiada vaksin langsung. Ia terbukti secara saintifik mengurangkan kes pesakit dimasukkan ke hospital. Sungguh pun tidak mampu mengelak individu daripada dijangkiti atau menjangkiti orang lain, apatah lagi mencegah kematian, vaksinasi COVID-19 tidak patut dipandang enteng dan serong.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=69974

HARI ini kita sudah mendengar golongan divaksin (vaccinated) dua dos lengkap bakal beransur-ansur diberikan kebebasan seperti yang dinikmati sebelum wujudnya COVID-19. Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan tambahan kemudahan kepada penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19, yang antaranya melibatkan aktiviti ‘dine-in’ di premis-premis jualan makanan yang kini dibenarkan bagi negeri-negeri fasa 1 PPN.

Manakala golongan tidak divaksin (unvaccinated) akan mula sedar mereka bakal berdepan pelbagai sekatan, walau pun untuk melakukan aktiviti semudah masuk ke pasar raya, apatah lagi untuk ke luar negara. Golongan tidak divaksin ini mungkin terdiri daripada mereka yang mahu divaksin, tetapi belum mendapat atau membuat janji temu vaksinasi atas sebab-sebab tertentu. Ada juga yang tidak mahu terus divaksin atas alasan seperti fobia terhadap jarum (trypanophobia) atau lebih membimbangkan, terkeliru dengan teori-teori konspirasi seperti golongan anti-vaksin.

Pada 19 Ogos 2021, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengeluarkan kenyataan, sebanyak 50.2%, daripada populasi dewasa negara telah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-1. Manakala 75.3% daripadanya pula menerima sekurang-kurangnya satu dos. Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab, golongan lengkap divaksin dua dos dilihat masih berhati-hati untuk menjalankan aktiviti di luar rumah kerana kes harian masih tinggi.

Semua data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan pengambilan vaksin mampu mengekang jangkitan COVID-19. Mereka yang enggan divaksin, terutamanya golongan anti-vaksin mendedahkan diri kepada risiko besar dan berbahaya. Virus memerlukan manusia untuk dijangkiti supaya ia dapat membiak. Semakin ramai kelompok manusia yang lemah dan terdedah kepada jangkitan, lebih mudah untuk virus bermutasi.

Golongan ini juga didapati tidak begitu gerun dengan apa jua virus, justeru tidak berminat untuk mengambil sebarang jenis vaksin. Apa yang dibimbangkan adalah mereka tidak serius mengambil langkah berjaga-jaga pula, kerana tidak percaya akan bahaya virus COVID-19 itu sendiri.

Memang benar, tiada kesalahan dalam peruntukan Akta 342 akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi individu yang tidak mahu mengambil suntikan vaksin COVID-19. Vaksin diambil secara sukarela oleh rakyat Malaysia atas kesedaran dan tanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Walau pun tidak boleh dipaksa, kita berharap golongan enggan divaksin tidak terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka masih boleh menyumbang kepada usaha menurunkan kes penularan COVID-19, dengan cara mengamalkan sikap seperti mereka yang divaksin – jaga SOP dan hormati orang lain.

Walau apa jua dakyah golongan anti-vaksin, contohnya mengatakan betapa gerunnya jika vaksin-vaksin diragui disuntik ke dalam tubuh, kita khuatir suatu masa nanti mereka pula akan menjadi golongan yang ‘digeruni dan dihindari.’ Apa jadi sekiranya kita sudah hampir kepada sifar kes jangkitan, tetapi golongan enggan divaksin ‘merosakkan’ semuanya?

Oleh itu, akan wujud pelbagai sekatan untuk tidak membiarkan golongan tidak divaksin bergerak secara berleluasa. Keadaan tidak akan menjadi lebih mudah kepada golongan tersebut. Sebelum sebarang urusan harian biasa menjadi lebih ‘sukar, lambat dan mahal’, maka sebaiknya mereka mula memikirkan kepayahan yang lebih besar jika tidak divaksin, bukan hanya kepada diri sendiri, bahkan insan yang di bawah tanggungan mereka.

Seperti mana golongan anti-vaksin mahukan kebebasan menolak vaksinasi dan dilindungi undang-undang anti-diskriminasi, begitu jugalah golongan divaksin mahukan kebebasan daripada ancaman COVID-19, supaya mereka bebas semula mencari rezeki, bebas pulang menjenguk ibu bapa di kampung, dan bebas daripada ketakutan kehilangan nyawa sendiri dan keluarga angkara COVID-19.

Timbul persoalan, adakah akan munculnya era ‘kasta’ bentuk baharu yang akan mengasingkan atau mendiskriminasikan golongan tidak divaksin daripada yang divaksin? Mungkin ada yang bakal merungut apabila tempat-tempat tumpuan awam bakal memperkenalkan tempat duduk atau laluan VIP sahaja kepada golongan divaksin. Untuk menikmati kemudahan lorong hijau (green-lane), seseorang yang mahu ke luar negara mungkin akan diminta untuk mempamerkan sijil vaksinasi digital. Dengan itu, golongan tidak divaksin akan mendapati diri mereka semakin terpinggir dalam gerak usaha negara dan juga dunia, yang mahu segera keluar dari cengkaman COVID-19.

Untuk mengatakan ia suatu bentuk kasta baharu mungkin agak keras. Mana-mana pihak sekali pun tidak patut secara melulu mengambil sebarang langkah mendiskriminasikan golongan yang masih belum atau menolak vaksinasi. Penerangan dan pendidikan mengenai manfaat vaksinasi perlu diteruskan. Hak dan kebebasan setiap individu perlu dihormati dan dilindungi pada setiap masa.

Tetapi sekatan-sekatan mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya negara mahu mencapai pemulihan maksimum. Mudah untuk mengenal pasti golongan perokok sejurus mereka menyalakan rokok. Yang tahu tanggungjawab dan menghormati orang lain akan terus menuju ke ruang merokok disediakan. Bagaimana pula kaedah mengenal pasti orang yang tidak divaksin sekiranya tiada sekatan dan pengasingan?

Kita masih belum merdeka dari cengkaman COVID-19. Dalam kehidupan ‘separa normal’ ini, norma-norma biasa yang kita anggap tidaklah begitu bermakna suatu masa dulu kini dirasakan begitu berharga. Nikmat kebebasan tersebut ‘dirampas’ sudah hampir dua tahun. Sempena Bulan Kemerdekaan ini, sebarang usaha untuk membebaskan negara dari COVID-19 seperti program vaksinasi seharusnya disambut baik seluruh rakyat Malaysia.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=68176

SIMBOL kemegahan sesebuah negara adalah alat penyatuan seluruh rakyat jelata. Di bawah satu simbol, rakyat berkongsi semangat, patriotisme, aspirasi dan inspirasi bagi membentuk identiti, jati diri bangsa dan negara. Haiwan-haiwan kemegahan, misalnya helang di Amerika Syarikat, singa di United Kingdom, beruang perang di Rusia, biawak komodo di Indonesia; semuanya dihormati sejak sekian lama kerana melambangkan kemegahan negara. Dalam konteks Malaysia, harimau Malaya (panthera tigris) adalah haiwan simbolik yang menggambarkan kekuatan, keazaman dan keberanian bangsa Malaysia.

Harimau Malaya adalah simbol penting pada Jata Negara dan jata rasmi Yang di-Pertuan Agong. Imej kepala harimau Malaya tertera megah pada logo Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kereta nasional pertama Malaysia, PROTON, bank terkemuka negara, Maybank dan logo kelab bola sepak tersohor tanah air, Johor Darul Takzim (JDT). ‘Harimau Malaya’ juga menjadi nama jolokan pasukan bola sepak kebangsaan yang beberapa kali mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Ironinya, hidup atau mati harimau Malaya di hutan tidak begitu diberi perhatian. Melainkan Jabatan PERHILITAN dan pertubuhan-pertubuhan seperti WWF dan MyCat yang berhempas-pulas menyelamatkan harimau Malaya dari bahaya kepupusan, kita rakyat Malaysia hanya menjulang nama dan simbol, tetapi tidak tuan punya badan.

Hari Harimau Sedunia yang disambut pada 29 Julai 2021 lalu disambut dalam keadaan jumlah harimau Malaya makin kritikal di hutan-hutan Malaysia. Harimau Malaya adalah subspecies’ harimau belang yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia terutamanya di Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu. Berbanding 3000 ekor seperti yang direkodkan di hutan-hutan negara pada 1950an, hasil cerapan 1st National Tiger Survey (NTS) bermula tahun 2016 hingga 2018, di hampir 75% plot kajian habitat harimau mendapati bilangan harimau Malaya kini berkurang secara drastik kepada hanya 200 ekor! Sekiranya kita masih menganggap ini tidak serius, dalam lima ke sepuluh tahun lagi negara akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Degradasi hutan untuk pembangunan dan pembalakan menjadi penyebab utama yang menjejaskan sumber makanan, habitat dan pembiakan harimau Malaya. Namun tiada yang lebih durjana berbanding aktiviti pemburuan haram. Kita bercakap mengenai harimau Malaya, haiwan simbolik Malaysia yang diletak di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. Tetapi pemburu haram tempatan mahu pun asing tidak hairan dengan apa jua akta.

Tanpa perikemanusiaan, mereka menyeludup masuk ke hutan-hutan dan memasang jerat. Harimau Malaya yang dibunuh seterusnya dilapah untuk mendapatkan kulit, kuku, taring, tulang dan dagingnya. Kegilaan memakan dan mengguna-pakai bahagian-bahagian badan harimau sememangnya perbuatan zalim dan menjijikkan. Permintaan tinggi di luar negara membuatkan pemburu haram galak mengejar keuntungan, berbanding memikirkan kemusnahan ekosistem dan kepupusan spesies akibat perbuatan mereka.

Selain operasi bersama khas ‘Ops Bersatu Khazanah’ antara Jabatan PERHILITAN dengan pihak PDRM, perlu ada usaha untuk mewartakan harimau Malaya sebagai haiwan rasmi dan warisan negara. Puak pembunuh harimau Malaya seharusnya diisytiharkan sebagai ‘enemy-of-the-state’ yang patut diburu dan dikenakan hukuman berat kerana membunuh haiwan simbolik negara, seperti mana perbuatan membakar Jalur Gemilang, mempersenda lagu Negaraku atau mencacatkan Jata Negara. Operasi rondaan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan, terutamanya di kawasan ‘panas’ yang menjadi tumpuan pemburu haram. Sekiranya pupus haiwan kemegahan ini, maka sudah tiada lagi galang gantinya.

Pada Oktober 2019, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilihat antara pemerintah tertinggi negara yang terhadapan menzahirkan amaran keras terhadap kegiatan memburu harimau Malaya. Baginda memberi amaran, pemburu haram ‘akan diburu semula’ sekiranya meneruskan kegiatan haram membunuh harimau Malaya dalam jajahan takluk Johor. Mungkin sudah masanya, trend penyusutan jumlah harimau Malaya yang kian kritikal memerlukan perhatian dan campur tangan aktif pihak istana.

Di peringkat rakyat jelata, perjuangan menentang pemburu haram dan menyelamatkan harimau Malaya menuntut sikap patriotisme semua pihak, daripada individu, badan korporat, sehinggalah peringkat kepemimpinan negara. Namun patriotisme bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Patriotisme akan hadir sendiri sekiranya rakyat jelata berasa bangga terhadap negara. Selagi kita tidak berasa bangga menjadi rakyat Malaysia, selagi itulah simbol-simbol negara tidak membawa apa-apa makna.

Dari sudut pandangan Islam, membunuh dan menganiayai haiwan sangat bertentangan dengan ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW amat menyayangi haiwan. Oleh itu, sebarang usaha murni untuk memulihara haiwan, terutamanya yang sedang berdepan bahaya kepupusan adalah selari dengan tuntutan agama.

Antara usaha terakhir untuk menyelamatkan harimau Malaya adalah penubuhan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kampung Bolok Hulu, Lanchang, Pahang seluas 40 hektar, membabitkan peruntukan sebanyak RM20.8 juta. Ia bakal menjalankan penyelidikan, pengayaan habitat dan sumber makanan, serta program pembiakan harimau Malaya. Kita berharap agar harimau Malaya dapat diselamatkan dan dibiakkan di pusat pemuliharaan ini, sekali gus meningkatkan jumlahnya.

Sedar atau tidak, daripada sembilan subspecies’ harimau belang, tiga subspecies’ telah pupus. Sekiranya isu kepupusan harimau Malaya tidak diendahkan, dalam tempoh kurang dari sedekad, simbol keberanian dan kemegahan negara itu berpotensi menjadi sebahagian kenangan dan penyesalan nasional. Di negara tetangga Indonesia, harimau Bali dan harimau Jawa telah lenyap sepenuhnya akibat aktiviti pemburuan dan perdagangan haram. Setakat ini tiada jalan untuk menghidupkan semula spesies yang telah pupus. Amat sedih untuk memikirkan, kadang kala sesuatu itu perlu hilang atau pupus terlebih dahulu untuk dihormati dan disayangi.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=67230

SEPERTINYA sudah tiada peristiwa penting di negara ini yang melibatkan golongan pemimpin muda. Melainkan peristiwa YB Syed Sadiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai menteri termuda, generasi muda seolah tiada tempat istimewa dalam sejarah dan politik Malaysia.

Kesenjangan generasi dalam politik Malaysia hari ini mula terasa apabila kumpulan ahli politik berumur dilihat sudah tidak mampu menyantuni aspirasi generasi muda. Golongan pemimpin lama berhasrat mewariskan pusaka perjuangan kepada pemimpin muda, sehingga pemuda terpaksa berakomodasi dengan semua pusaka yang ada, sama ada yang baik atau sebaliknya.

Kemurungan politik negara hari ini memerlukan campur tangan golongan pemimpin muda. Persoalannya, bagaimana mereka menempatkan diri dalam pekupan politik tradisional yang didominasi oleh kelompok pemimpin generasi ‘boomer’? Sejak era 80an, Malaysia diterajui wajah-wajah sama dan tiada tanda-tanda mereka mahu berundur. Mantera lama mengatakan ‘pemuda adalah harapan masa depan negara’ begitu dipatuhi generasi muda.

Romantisasi ini mencadangkan seolah tanggungjawab mentadbir negara itu begitu berat, sehingga ia perlu digalas orang tua terlebih dahulu. Orang muda tunggu dulu, perlu lebih latihan (atau kawalan) supaya tidak lari dari aspirasi orang lama. Sampai bila ‘harapan’ itu harus dipanjangkan, dan bagaimana kalau ‘masa depan’ itu adalah sekarang?

Maka para pemimpin muda yang sudah berada di arenanya, sama ada dalam parti-parti politik dan gerakan NGO perlu berpakat dan reaktif memikirkan jalan keluar dari kemurungan politik tadi.

Apalah risikonya kepada negara sekiranya golongan muda diberi peluang memimpin sekarang, sedangkan mereka jugalah yang akan mewarisi negara ini nanti. Kita sudah ambil pelbagai risiko sebelum ini, dan lihatlah bagaimana keadaan kita di Malaysia sekarang.

Golongan pemimpin lama mungkin tidak perasan adanya ‘zeitgeist’ (sebut ‘zaitgaist’, bermaksud semangat zaman) yang membentuk ciri-ciri setiap generasi. Golongan muda, yakni pemilik kepada era ini semestinya punya formula tersendiri untuk memakmurkan negara, lebih-lebih lagi dalam era pandemik global.

Persepsi bahawa orang muda tiada pengalaman memimpin sangat patut ditinggalkan. Pemimpin lama dahulu pun diberi laluan untuk mentadir negara, maka begitulah seharusnya laluan diberi kepada generasi muda.

Mana kita tahu mereka tidak mampu mentadbir negara, sedangkan peluang belum pun diberi selayaknya kepada mereka. Tenaga mereka kuat, idea mereka kreatif dan bernas. Mereka mahir menggunakan teknologi untuk mengumpul pengikut. Ini adalah sejumlah kualiti yang sangat penting dan selari dengan ‘zeitgeist’ era ini.

Kabilah-kabilah Arab era Jahiliyyah suatu masa dahulu penat berperang sesama sendiri, lalu mencari formula perubahan melalui keperibadian pemimpin muda mulia bernama Muhammad Bin Abdullah. Akhirnya bangsa Arab yang sebelum itu hanyalah jaguh kampung, berubah menjadi bangsa penguasa dunia. Rasulullah (SAW) diangkat menjadi nabi dan pemimpin kaum Muslimin pada umur 40 tahun.

Para pengganti Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar, Umar dan Ali (RA) dilantik sebagai khalifah pada usia 50an. Hanya Khalifah Uthman Bin Affan (RA) yang menjadi khalifah pada usia 68 tahun. Disebabkan faktor usia dan peribadi lembutnya, beliau dikatakan tidak berdaya mengawal huru-hara pada zamannya. Pada usia 80 tahun, Khalifah Uthman dibunuh kejam oleh kumpulan pemberontak.

Pada pertengahan kurun ke-8 Masihi, Khalifah al-Mansur menjadi pengasas kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada usia 40 tahun, manakala Abdul Rahman I ‘al-Dakhil’ mengambil alih pemerintahan Andalusia di Sepanyol pada usia 25 tahun. Sultan Turki Uthmaiyyah, Mehmet II pula berumur 21 tahun ketika menakluk Kota Constantinople (1453). Daya kepimpinan mereka membuahkan sumbangan besar kepada ketamadunan Islam dan dunia.

Di peringkat antarabangsa, tiga orang presiden Amerika Syarikat paling berpengaruh juga dilantik ke jawatan tersebut pada usia muda, iaitu John F. Kennedy (43), Bill Clinton (46) dan Barack Hussein Obama (47). Di seberang Tambak Johor, Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pertama dan pengasas Singapura pada usia 40. New Zealand memilih Jacinda Adern (37) sebagai perdana menteri, manakala Perancis memilih Emmanuel Macron (39) sebagai presiden.

Berkaitan usia perdana menteri Malaysia semasa lantikan, Tun Abdul Razak Hussein adalah PM paling muda (48), diikuti Tun Hussein Onn (54), Tun Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Najib Tun Razak (56), Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (60), Tun Abdullah Ahmad Badawi (64) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (73). Paling menarik apabila Tun Mahathir dilantik kali kedua sebagai PM pada usia 93 tahun.

Setiap pakatan politik di Malaysia perlu mula mengetengahkan barisan calon pemimpin muda yang lebih segar, berpengaruh, matang dan sopan, yang berkerja keras menyantuni rakyat majmuk, serta serius memikirkan soal membangunkan negara. Rakyat Malaysia perlu memahami keperluan melangkaui isu hierarki, dengan mengutamakan kualiti berbanding senioriti. Covid-19 tidak kunjung reda, dan ini menuntut kepimpinan muda yang jujur, kreatif dan berani mengambil risiko.

Kita ada nama-nama besar pemimpin muda yang selayaknya diberi peluang. Sekadar menyebut beberapa nama, antaranya Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Shahril Hamdan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Dr. Maszlee Malik dan Rafizi Ramli. Tidak boleh diketepikan juga bakat dan pengalaman para pemimpin NGO belia seperti Jufitri Joha (presiden MBM) dan Muhammad Faisal Abdul Aziz (presiden ABIM). Malaysia tidak ketandusan stok pemimpin muda.

Pergelutan politik semasa yang berpanjangan, dan zeitgeist zaman ini sedang bergerak menuntut penerimaan terhadap golongan muda sebagai pemimpin bagi menggalas pelbagai tanggungjawab besar seperti memegang jawatan tertinggi dalam parti-parti politik, jabatan kerajaan dan kementerian, bahkan kerusi perdana menteri. Sistem politik tradisional tidak bersedia menerima gerakan sebegini.

Muhd. Nur Iman Ramli merupakan Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=65827

PENGIBARAN bendera putih sangat sinonim dengan peperangan. Ia menjadi salah satu daripada sebilangan tradisi yang paling dihormati dalam dunia peperangan sepanjang sejarah manusia. Bendera berwarna putih menjadi pilihan berbanding warna lain kerana ia mudah dilihat dalam kekalutan perang dan latar belakang semula jadi.

Dikenali secara umumnya sebagai simbol menyerah diri, bendera putih dikibarkan buat kali pertama dalam sejarah perang, iaitu semasa pemerintahan Dinasti Han Timur (25-220 Masihi) di China. Masyarakat China mengaitkan warna putih dengan kematian dan upacara berkabung. Justeru apabila askarnya mengibarkan bendera putih, ia mewakili perasaan duka mereka berdepan kekalahan.

Sekitar kurun yang sama, empayar Rom turut dikatakan menggunakan kaedah tersebut buat pertama kali dalam ‘Perang Bedriacum Kedua’ antara maharaja Rom Vitellia dan pencabarnya Vespasian (69 Sebelum Masihi). Kemenangan berpihak kepada Vespasian, dan beliau ditabal sebagai maharaja Rom seterusnya. Peristiwa ini dirakam sejarawan Rom, Cornelius Tacitus dalam bukunya berjudul ‘Histories’ terbitan tahun 109 Masihi. Kibaran bendera putih telah menggantikan tradisi mengangkat baju besi di atas kepala sebagai tanda menyerah kalah yang amalkan sebelumnya. Tradisi ini diteruskan pada Zaman Pertengahan Eropah kurun ke-5 sehingga ke-15 Masihi.

Pada kurun ke-16, Gaspar Correia, sejarawan Portugis yang mati dibunuh di Melaka pada 1563, menulis dalam catatan beliau berjudul ‘Lendas da India’, bahawa semasa raja kerajaan Hindu Samoothiri di kota Calicut (selatan Malabar, India) mahu berdamai dengan Vasco da Gama pada tahun 1502, baginda menghantar wakilnya yang mengangkat bendera putih yang diikat pada sebatang kayu. Da Gama menuntut semua orang Islam dihalau keluar dari ‘kota rempah-ratus dunia’ itu, tetapi ditolak raja Samoothri. Natijahnya Portugis mengebom kota tersebut dan menakluk sejumlah kapal pengangkut beras, kemudian memotong hidung, telinga dan tangan para anak kapalnya.

Bendera putih tidak selalunya membawa maksud menyerah kalah. Kerajaan Khilafah Umayyah (661 – 750 Masihi) menggunakan bendera putih sebagai simbol rasmi kerajaan, sebagai tanda ingatan kepada kejayaan perang pertama Nabi Muhammad SAW, iaitu Perang Badar.

Istana DiRaja Brussels di Belgium mengibarkan bendera putih pada Mac 2020, untuk menyatakan penghargaan dan sokongan kepada para barisan hadapannya yang berkorban masa, tenaga dan nyawa dalam mengekang penularan Covid-19. Ia kemudiannya menjadi ikutan ramai rakyat Belgium.

Dalam dunia moden, kibaran bendera putih masih menjadi simbol menyerah kalah, keinginan melaksanakan gencatan senjata atau memulakan rundingan di medan perang. Dalam sesetengah keadaan, bendera putih dikibar oleh askar-askar sebagai isyarat mahu mengumpulkan rakan-rakan yang tercedera. Ia melambangkan para askar yang tidak bersenjata dan tidak boleh diserang. Konvensyen Hague menerusi Peraturan Artikel 32 tahun 1899 menegah tentera mana-mana negara menggunakan bendera putih bagi tujuan penipuan untuk menyerang musuh.

Pengibaran bendera putih adalah suatu perkara serius. Mengibarkannya dalam peperangan tanpa persetujuan daripada para pegawai atasan tentera adalah satu kesalahan besar. Dalam Perang Teluk 1991, para pegawai tentera Iraq mengarahkan askar-askarnya menyerahkan semua jenis fabrik putih seperti baju singlet dan stokin agar tidak disalahgunakan bagi tujuan menyerah diri.

Beberapa hari ini, pengibaran bendera putih oleh rakyat yang terdesak memerlukan bantuan segera menjadi isu hangat di Malaysia. Pelbagai pihak termasuk golongan agama, ahli politik, pakar ekonomi dan semestinya rakyat jelata yang amat terkesan dengan Covid-19, hangat memperkatakan sama ada wajar atau tidak wajar inisiatif tersebut dilakukan.

Pengibaran bendera putih di rumah-rumah bukan bererti ada rakyat Malaysia mengaku kalah dan tidak mahu lagi berusaha. Kali ini, ia bermaksud ‘kecemasan’. Ramai kehilangan mata pencarian manakala simpanan pula kian merosot. Ada yang malu, tapi akhirnya terpaksa juga angkat bendera. Kerana meminta-minta bukanlah kelakuan biasa, terutamanya yang pernah hidup senang.

Inisiatif ini dicetuskan supaya rakyat yang terdesak dan malu tidak mengambil tindakan merugikan diri sendiri dan keluarga. Paling digeruni, rakyat yang sudah putus harapan akan memilih jalan bunuh diri. Kes-kes bunuh diri ini sudah dibuat secara terang-terangan, tidak lagi senyap-senyap dan sedang meningkat. Tanpa disedari, ia adalah tanda protes paling dahsyat seseorang terhadap masyarakat sekeliling dan pihak berwajib. Tidak wajar untuk mengatakan semua yang bunuh diri itu pasti dihumban ke neraka, tanpa mengetahui apa dan siapa punca mereka melakukannya.

Tidak dinafikan, berdoa agar dikeluarkan dari kesempitan hidup adalah amat dianjurkan. Tetapi mengibarkan bendera putih itu juga termasuk dalam usaha terkini membantu diri sendiri dan keluarga. Ujian seseorang tidaklah sama. Yang sentiasa cukup mungkin tidak akan faham. Bahasa orang kenyang tidaklah sama dengan bahasa orang lapar. Berdoa kena selalu, supaya Allah SWT membuka pintu rezeki ‘satu masa nanti’, tetapi kelaparan adalah ‘sekarang’. Sekiranya semua masalah boleh selesai dengan doa, tiada rakyat meminta-minta dan mengikat perut sekarang.

Kita tahu kerajaan sudah melakukan apa yang terdaya untuk membantu rakyat dalam keterbatasan dan kekurangan pada era pandemik ini. Justeru, apabila rakyat melancarkan inisiatif kibar bendera putih sebegini, ianya adalah ‘dari rakyat, untuk rakyat’. Sesetengah pemimpin contohnya, tidak wajar berasa tercabar dan melenting dengan inisiatif tersebut. Mereka seharusnya berlapang dada dan berjiwa besar, dengan menganggap ia menjadi pemudah cara mereka atau penambahbaikan kaedah agihan bantuan kepada yang terdesak. Dengan itu, bendera-bendera putih pun boleh diturunkan. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang beriman jika dia kenyang, sedangkan jiran bersebelahannya lapar” (Hadis riwayat Bukhari, Al-Adab Al-Mufrad).

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=64275

SEPANJANG dua ribu tahun bangsa Yahudi hidup dalam buangan (exile) akibat dosa-dosa mereka, ribuan ulama ‘Chazal’ yang mahir tentang Taurat telah dilahirkan. Mereka menghasilkan ribuan catatan hukum-hukum agama yang diwarisi setiap generasi. Apa yang menarik, tidak pernah sekali golongan ini mencadangkan penubuhan sebuah negara untuk melindungi bangsa Yahudi yang hidup sengsara di luar tanah Palestin. Yang ada hanyalah amaran mengenai bahaya menubuhkannya.

Mereka hari ini dikenali sebagai Yahudi Haredi, Yahudi Ortodoks dan juga Ultra-Ortodoks. Mereka percaya satu-satunya era bangsa Yahudi dibenarkan untuk memiliki negara sendiri adalah pada dua ribu tahun lampau, pada masa Tuhan meredai mereka. Apabila masanya sudah tiba nanti, walau tanpa bantuan manusia mahu pun kuasa tentera, mereka bakal dikurniakan sebuah kerajaan yang diasaskan atas pengabdian dan keadilan, dan seluruh dunia akan mengakui kekuasaan-Nya.

Menurut ulasan Talmud (Ketubot 111A) dan ayat-ayat Taurat seperti Exodus 2:22, sebarang usaha mewujudkan sebuah negara Yahudi setelah berlakunya ‘exile’ kedua atau sebelum kedatangan Messiah adalah perbuatan melawan Tuhan dan haram hukumnya. Ianya tetap ditegah walaupun negara itu ditadbir mengikut ajaran Taurat. Tuhan masih menetapkan bangsa Yahudi terus tinggal di bawah kekuasaan bangsa-bangsa lain. Sekiranya larangan ini dilanggar, Tuhan akan menimpakan kecelakaan lebih besar ke atas mereka.

Kitab Taurat dan Talmud adalah panduan utama kaum Yahudi Ortodoks. Tanpa keimanan terhadap kedua-duanya, bangsa Yahudi tidak akan wujud sehingga ke hari ini. Bangsa Yahudi percaya mereka adalah ‘bangsa pilihan Tuhan’ untuk membawa keamanan dan keadilan kepada seluruh bangsa. Hanya dengan memenuhi tugas-tugas itu, mereka akan mendapat kejayaan di akhirat kelak. Mana-mana Yahudi yang menolak ajaran Taurat akan terkeluar dari konsep ‘People of Israel’. ‘Israel’ di sini bukan merujuk kepada sebuah negara, tetapi bangsa.

Yang ‘degil’ menubuhkan Israel di Palestin adalah golongan pemimpin Zionis, yang muncul hanya seratus tahun lalu. Zionis menolak ajaran Taurat, bersifat materialistik dan kesemuanya atheis. Sejurus kemunculannya, mereka ditentang para rabbi Haredi ortodoks, yang yakin Zionisme akan hanya membawa kerosakan dan kemusnahan.

Dakwaan Zionis, bangsa Yahudi harus memiliki sebuah negara dan tentera yang kuat. Mereka melaung seolah merekalah bangsa Israel sebenar. Zionislah yang memulakan fahaman anti-Semitisme pada penghujung kurun ke-19, sehingga kaum Yahudi dibenci oleh setiap negara yang didiami mereka. Zionislah yang menyemarakkan kebencian Nazi Jerman terhadap bangsa Yahudi. Melalui penipuan Zionis, bangsa Yahudi diseksa dan dihambat dari negara kelahiran mereka. Kemudian Zionis menampakkan diri mereka sebagai ‘penyelamat’.

Zionis adalah ibarat ‘kanser dalam tubuh’ bangsa Yahudi, yang berusaha melumpuhkan agama Yahudi dengan penipuan bahkan kekerasan. Jika diimbas semula, masyarakat Yahudi mengalami lebih banyak kesengsaraan dan pertumpahan darah dalam era Zionis. Banyak sekali kesengsaraan di sana-sini berpunca oleh tangan-tangan Zionis. Sedangkan menurut Taurat, jalan menuju keamanan adalah dengan berbaik-baik, dan bukannya memulakan perbalahan dengan bangsa lain.

Kumpulan Yahudi Haredi ortodoks seperti Satmar, Shomer Emunim, Toldos Aharon, Toldos Avrohom Yitzchok, Mishkenos Horoim, Dushinsky, Edah Hachareidis dan Naturei Karta menggelarkan Zionis sebagai ‘shandah’, istilah Yiddish (Yahudi Eropah) yang merujuk kepada ‘individu atau kumpulan Yahudi yang memalukan Yahudi, bukan hanya dengan berbuat kejahatan, bahkan mengesahkan ketakutan dan kebencian masyarakat bukan-Yahudi terhadap Yahudi’. Golongan ini konsisten dalam perjuangan menentang negara Israel, kerana khuatir Zionis akan menggantikan kedudukan agama Yahudi, termasuk nilai-nilai dan cara hidup bangsanya.

Terdapat juga golongan Yahudi sekular yang mengutuk idea-idea Zionisme seperti Yevsektsiya dan Matzpen. Kedua-duanya pro-Komunis dan beberapa kali mengambil nama lain setelah dibubarkan di Soviet Russia, Mesir dan Israel. Bagi Zionis dan para penyokongnya, golongan Yahudi anti-Israel ditohmah sebagai ‘self-hating Jews’, dan pembelot bangsa.

Yahudi ortodoks tetap konsisten menuntut negara Israel dibubarkan. Memandangkan hal itu hampir mustahil, mereka kemudiannya mendesak Zionis berhenti mengguna-pakai nama ‘Israel’ kerana Zionisme tidak mencerminkan bangsa Israel yang sebenar, dan tidak berhak mewakili dan menjadi jurucakap bagi pihak mereka.

Pengaruh besar Zionis ke atas media Barat bukan lagi satu rahsia. Zionis akan memastikan hanya berita menyebelahi mereka yang akan didengar. Propaganda Zionis memperlihatkan seolah semua masyarakat dan ulama Yahudi adalah Zionis. Memang terdapat kumpulan Yahudi yang menyokong dan berkerjasama dengan Zionis, seperti golongan Hasidik, Sephardim, Ortodoks Moden, Religious Zionists dan lain-lain, namun pegangan mereka tidak didasarkan kepada pendapat asal Taurat. Mereka keluar dengan tafsiran Taurat dan Talmud yang memanfaatkan Zionis. Suara golongan rabbi Haredi dan majoriti masyarakat Yahudi ortodoks sentiasa ditekan oleh kumpulan-kumpulan pro-Zionis ini.

Pelbagai usaha dibuat oleh Zionis untuk menarik lebih ramai Yahudi berpindah ke Israel. Antaranya dengan menjanjikan kesenangan kepada keluarga Yahudi yang hidup miskin di negara-negara asing. Pun begitu sambutannya masih tidak menggalakkan. Ironinya, Israel sendiri pun bergantung kepada sokongan ekonomi dari Yahudi di luar. Sekiranya negara Israel begitu bermanfaat kepada bangsa Yahudi, mereka tidak perlu diajak berhijrah ke Israel. Masyarakat Yahudi yang hidup aman damai di luar Palestin hakikatnya tidak ‘selera’ untuk tinggal di Israel. Hal ini kerana Israel sentiasa diancam perang dan pergolakan. Demi kepentingan politik, Zionis sanggup meletuskan perang yang membahayakan nyawa rakyatnya. Ramai yang dahulunya ‘terpesona’ dengan janji Zionis telah berpindah ke negara lain yang lebih aman.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=63902

BANGSA Yahudi pernah diberi tanah percuma untuk mereka bina negara sendiri. Tanah atau wilayah yang dimaksudkan ini umurnya 14 tahun lebih tua daripada negara haram Israel, bahkan ia masih wujud. Justeru apa sebab Zionis masih mahu renggut tanah Palestin?

Wilayah yang dimaksudkan ini adalah ‘Israel’ yang tidak ditubuhkan dengan merampas tanah sesiapa, dan memang ditubuhkan untuk menempatkan kaum Yahudi seramai mungkin dalam sebuah wilayah. Ia dikenali sebagai ‘Jewish Autonomous Oblast’ (Wilayah Autonomi Yahudi) di wilayah Birobidzhan, Rusia. Letaknya di bahagian paling timur (Russian Far East) bersempadan dengan Republik Rakyat China (PRC). Oblast bermaksud ‘wilayah, zon atau provinsi’ dalam bahasa Rusia. Keluasan tanah yang indah dan aman ini adalah 36,000 km persegi, hampir seluas negeri Pahang Darul Makmur dan 14,000 km persegi lebih besar dari Israel.

Ditubuhkan secara rasmi pada 6 Mei 1934, JOA masih satu-satunya wilayah autonomi di Rusia sejak zaman Kesatuan Soviet lagi. Bandar Birobidzhan (sebut Birobijan) menjadi bandar pentadbiran JOA sehingga ke hari ini.

Individu yang mencetuskan idea penubuhan JAO ini adalah Vladimir Lenin, pemimpin parti Bolshevik yang memperkenalkan polisi ateisme. Idea Lenin mahu beri ‘homeland’ untuk bangsa Yahudi kedengaran agak ganjil. Tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan kerajaan Bolshevik pimpinannya mengamalkan sikap toleransi. Lenin sebenarnya mahu meraih sokongan kaum Yahudi dan mengekang pengembangan ideologi Zionis Sosialis dalam kalangan Yahudi haluan kiri, yang dilihat mampu menyaingi Marxisme di Rusia.

Lenin juga dikatakan berimpian memajukan wilayah paling timur Rusia itu dengan mengumpulkan kaum Yahudi (dan lain-lain etnik Rusia). Beliau mahu mewujudkan sebuah penempatan Yahudi yang menurutnya ‘berjiwa sosialis dalam tubuh nasionalis’. Setelah kematiannya pada 1924, idea penubuhan wilayah Yahudi di Rusia diteruskan pemimpin baharu Bolshevik, iaitu Joseph Stalin.

Mungkin juga niat asal penubuhan JAO ini tidak lain hanya bertujuan untuk menyingkirkan kaum Yahudi nun jauh di hujung timur Rusia. Wilayah tersebut sering dicerobohi tentera China dan pemberontak anti-Bolshevik. Sekurang-kurangnya bila ada sejumlah kaum Yahudi di situ, bolehlah mereka ‘menampan’ pencerobohan di perbatasan Soviet ketika itu. Ringkas kata, ini kerja serampang dua mata.

Tiada negara yang mengalu-alukan bangsa Yahudi di Eropah ketika itu. Kaum Yahudi Rusia terkenal dengan kekayaan hasil daripada menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Selepas kejatuhan Tsar, Rusia dipaksa menganut Marxisme dan sektor perniagaan milikan peribadi diharamkan. Kaum Yahudi yang dahulunya kaya-raya, tiba-tiba jatuh miskin. Pada 1924, kadar pengangguran dalam masyarakat Yahudi Rusia adalah 30%. Antara penyebabnya adalah tindakan ‘pogrom’ (pembersihan etnik) yang menyasarkan kaum Yahudi dalam Empayar Rusia. Zaman sebelum Bolshevik pun, Tsar Rusia memang tidak suka dengan kaum Yahudi.

Justeru, bagi memastikan kaum Yahudi kembali menyumbang kepada ekonomi Soviet, kerajaan menubuhkan ‘Komzet’, jawatankuasa untuk penempatan pertanian kaum Yahudi.

Untuk mendapat kepastian sama ada wilayah JAO itu sesuai untuk didiami, Stalin telah menghantar kumpulan jawatankuasa pengkaji untuk menilai keadaan cuaca dan tanah di wilayah tersebut. Jawatankuasa itu mendapati tanah di wilayah sekitar Birobidzhan agak berbatu, hutan oak, cedar dan painnya agak tebal, banyak juga kawasan berpaya dan pada musim panas, serangan serangga perosak agak teruk, justeru tidak sesuai untuk tanaman mahu pun ternakan. Pun begitu, bagi Kesatuan Soviet, tiada apa yang tidak boleh dibuat atau dicipta. Idea JAO tetap dilaksanakan.

Sebenarnya semasa kajian tersebut dibuat, wilayah Birobidzhan sudah dihuni 30,000 masyarakat etnik Cossak, Korea, Kazakh dan beberapa etnik lain, termasuk golongan bekas pengikut Tsar Rusia.

Dipendekkan cerita, kumpulan pertama Yahudi Rusia yang berpindah ke JAO adalah seramai 654 orang pada 1928. Untuk menggalakkan lebih ramai kaum Yahudi memulakan hidup di JAO, kerajaan Soviet menghadiahkan tanah ladang, haiwan ternakan dan alatan pertanian. Idea berpindah ke JAO disambut baik dengan penuh kesyukuran oleh Yahudi Rusia, kerana Yahudi adalah satu-satunya bangsa di dunia yang tak punya tanah mahu pun negara.

Sekitar tahun 1930an, tauke-tauke besar Yahudi dari USA dan Brazil pun turut berpindah ke JAO. Pada 1932, keluarga perisik terkenal Rusia di kemudian hari, George Koval tiba di Birobidzhan. 1,200 Yahudi non-Soviet memilih untuk memulakan hidup baharu di situ.

Kaum Yahudi di JAO bertambah kepada 20,000 orang pada tahun 1937. Idea penubuhan JAO itu nampaknya menjadi dan berjalan lancar. Kedai-kedai dan perusahaan milik Yahudi tumbuh, kuil Yahudi didirikan, akhbar berbahasa Yiddish juga diterbitkan, manakala sekolah Yiddish juga dibuka untuk anak-anak kaum Yahudi.

Namun populasi Yahudi di JAO ada kalanya menaik dan menurun. Disebabkan cuaca dan faktor bumi JAO yang begitu ekstrem, penduduk Yahudi dan etnik-etnik lain mula menurun. Kerajaan Soviet juga tidak sepenuhnya menepati janji untuk membantu golongan Yahudi membina hidup baharu di JAO. Bagi yang berkemampuan, mereka angkat kaki keluar ke negara baharu. Yang tak mampu, terpaksalah teruskan hidup di situ. Faktor lain yang menyebabkan penurunan jumlah masyarakat Yahudi JAO adalah dasar ‘Red Terror’ Joseph Stalin antara 1936-1938 yang ironinya turut menjadikan kaum Yahudi sebagai sasaran.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada 1945, idea untuk menempatkan pelarian Yahudi Eropah di JAO mula dilaksanakan. Pada 1948, populasi Yahudi meningkat kepada 46,000 ke 50,000 orang, yakni 25% daripada populasi keseluruhan JAO ketika itu.

Pada 1958, lebih kurang 50% masyarakat Yahudi meninggalkan JAO. Ada yang berpindah semula ke USA dan juga ke Israel. Hari ini, jumlah kaum Yahudi yang menetap di JAO hanyalah 1% daripada lebih kurang 162,000 keseluruhan penduduk JOA. Majoriti penduduk JAO adalah penganut Kristian pelbagai aliran, diikuti penganut ateisme, manakala terdapat juga 1% masyarakat Muslim di JAO.

Ada ura-ura di Moscow untuk menutup JAO dan diserap ke dalam wilayah lain sekitarnya, namun idea itu mendapat tentangan dari masyakat JAO, terutama kaum Yahudinya. Sungguh pun jumlah penganut Yahudinya kecil, terbukti JAO tetap menjadi ‘safe heaven’ kepada mereka berbanding jika mereka tinggal di Israel, atau mana-mana negara lain.

Di JAO mereka bebas mengamalkan Judaisme dan mengekalkan budaya tradisi Yiddish. KeYahudian wilayah JAO bagi mereka harus terus dikekalkan dan dipertahankan. Bandar Birobidzhan kini indah dengan binaan-binaan asal dan baharu, arca-arca artistik dan sekiranya Moscow menyokong pembangunan di situ, JAO mungkin akan terus berkembang pesat. Dengan penggunaan teknologi, sektor perindustrian dan pertanian juga semakin berkembang di JOA.

Hari ini, semakin ramai penduduk Yahudi yang pernah berpindah ke Israel pulang semula ke JAO. Jelas sekali hidup mereka lebih aman di JAO berbanding di Israel.

Presiden Vladimir Putin juga amat mengalu-alukan kaum Yahudi untuk kembali ke Rusia. Pada Januari 2016, Putin berkata di hadapan Kongres Yahudi Eropah: “Mereka (Yahudi) meninggalkan Rusia pada zaman Soviet, tapi kini mereka boleh kembali”.

Jadi bolehlah Yahudi sama ada Ortodoks mahu pun Zionis Sekular pergi menetap dan bina negara sendiri di JAO. Wilayah ini bersempadan dengan China, ada harapan tempias kemakmuran ekonomi di China akan turut masuk ke JAO. Potensi JAO lebih besar dari Israel di Palestin. Jiran-jiran JAO pun ‘mesra Yahudi’ belaka, tak macam negara-negara Arab. Tanahnya kini subur. Cuaca yang tidak menentu bukan lagi faktor penghalang untuk memajukan sesebuah negara. Teknologi canggih memungkinkan padang pasir pun menghijau dengan pelbagai pokok dan tanaman dalam abad moden ini. Tiada yang mustahil.

Di JAO, hidup masyarakat Yahudi lebih aman sentosa. Keindahan seni bina dan alam semula jadi di Birobidzhan dan daerah-daerah dalam JAO kini sekali lagi menjadi magnet kepada keluarga dan masyarakat Yahudi yang mahukan hidup dan masa hadapan yang lebih terjamin berbanding jika terus tinggal di Israel.

Jadi apa yang menghalang bangsa Yahudi Zionis dari memakmurkan JAO dan memilih untuk merampas tanah Palestin? Zionis ini majoritinya bukan dari keturunan asal penduduk Yahudi Palestin, tapi pendatang Yahudi dari Eropah, India, China, Afrika, Amerika Selatan dan lain-lain. Mereka itu bukan Bani Israel asal dan hanya menunggang agama Yahudi. ‘The Law of Return’ yang mereka laungkan itu hanyalah berdasarkan khayalan semata-mata.

Nur Iman ialah Conference Executive, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=61107