Palestin tanpa Al-Aqsa? (in Bahasa Malaysia)
Written by Muhamad Sayuti MansorBARU-BARU INI, umat Islam sekali lagi dikejutkan oleh operasi pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa yang dilakukan lebih daripada seribu orang penjajah ultranasionalis Israel dan diketuai oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir pada 27 Julai 2023.
Pencerobohan ini merupakan kali ketiga yang seumpamanya dilakukan oleh Ben-Gvir pada tahun ini, sebagai provokasi terhadap status quo kedaulatan Jerusalem dan Masjid al-Aqsa. Status quo ini merujuk kepada persetujuan antara kedua pihak bahawa kuasa pentadbiran terhadap kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa berada di bawah kuasa umat Islam yang diwakili oleh Wakaf Islam Jordan. Justeru, hanya umat Islam yang dibenarkan untuk melaksanakan ibadat di dalamnya, manakala penganut Yahudi dibenarkan masuk secara terhad ke perkarangan berkenaan hanya sebagai pelancong dan dilarang daripada menunaikan sebarang upacara agama. Namun, status quo ini sering dicabar dan dilanggar oleh pihak Israel walaupun berhadapan dengan kecaman masyarakat antarabangsa.
Selain itu, projek penggalian ekskavasi yang semakin giat dijalankan di sekitar perkarangan al-Aqsa turut mengancam tanah suci ketiga umat Islam ini. Projek yang telah dimulakan seawal tahun 1967 ini bertujuan sebagai projek ekskavasi bagi mencari tapak warisan silam Yahudi, terutamanya tinggalan daripada Kuil Kedua (Second Temple) bagi mengukuhkan lagi tuntutan Israel terhadap Jerusalem dan al-Aqsa. Justeru, pada tahun 1996, Benyamin Nentanyahu yang baru terpilih sebagai Perdana Menteri Israel telah membuka pintu masuk terowong penggalian di Tembok Ratapan yang bersambung dengan perkarangan al-Aqsa. Manakala pada tahun 2018, kerajaan Israel telah mengumumkan komitmen untuk menggiatkan lagi projek penggalian ini dengan memperuntukkan sebanyak 16.6 juta USD. Dan yang terkini, Israel pada tahun ini telah meluluskan undang-undang baru yang memberikan Israel hak penguasaan terhadap tapak-tapak arkeologi di wilayah Palestin yang dijajah.
Pelaksanaan projek penggalian berskala besar ini telah menimbulkan kebimbangan dan kemarahan umat Islam kerana dikhuatiri mampu merosakkan struktur asas Masjid al-Aqsa yang terletak diatasnya. Misalnya, Azzam al-Khatib Ketua Pengarah Wakaf Jerusalem dan Hal-ehwal Masjid al-Aqsa telah melaporkan bahawa terdapat retakan dan kerosakan lain terhadap struktur masjid akibat projek ini. Beliau turut memberikan amaran bahawa al-Aqsa berada dalam bahaya dan berisiko untuk runtuh sekiranya projek penggalian ini diteruskan. Selain itu, dalam masa yang sama projek penggalian ini giat dijalankan, pihak berkuasa Israel turut menghalang Jawatankuasa Rekonstruksi al-Aqsa daripada menjalankan sebarang kerja-kerja baikpulih terhadap kerosakan struktur masjid berkenaan.
Kesemua perkembangan ini berlaku didorong oleh fenomena kebangkitan golongan garis keras dan pelampau kanan dalam arena politik Israel. Benjamin Nentanyahu sejak mula berkuasa buat kali pertama pada 1996 dan seterusnya pada 2015 sememangnya mewakili politik berhaluan kanan. Sebagai contoh, pada tahun 2018 kerajaan pimpinan beliau telah meluluskan Undang-undang Asas yang mendefiniskan Israel sebagai sebuah negara hanya untuk bangsa Yahudi. Keadaan ini tambah serius selepas Israel terjerumus kedalam krisis politik sejak 2018 yang menyaksikan tiada parti memperolehi majoriti di parlimen. Dalam usaha terdesak Netanyahu untuk kembali berkuasa dan melepaskan diri dari dakwaan-dakwaan korupsi yang sedang berlangsung di mahkamah, beliau telah membentuk pakatan dengan figura-figura politik pelampau kanan.
Antara individu tersebut ialah Itamar Ben-Gvir, seorang rasis yang pernah mengetuai parti pro-keganasan yang telah dilantik Netanyahu sebagai Menteri Keselamatan. Selain itu, Bezalel Smotrich, pemimpin pelampau Yahudi di penempatan haram Tebing Barat telah diangkat menjadi Menteri Kewangan. Walhasil, kerajaan baharu pimpinan Netanyahu ini dilihat semakin giat merealisasikan cita-cita golongan pelampau kanan Yahudi yang ingin menjajah sepenuhnya bumi Palestin. Hal ini dilakukan antaranya melalui usaha giat meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dengan merampas semakin banyak tanah milik rakyat Palestin. Malahan baru-baru ini satu kertas cadangan telah diserahkan oleh Yossi Dagan, ketua penempatan haram di Tebing Barat kepada Netanyahu untuk meningkatkan jumlah mereka daripada 170 ribu menjadi satu juta orang menjelang tahun 2050.
Di sebalik perkembangan ini, timbul persoalan berkenaan motif sebenar Israel serta apakah “grand design” yang cuba dicapai mereka. Dalam hal ini, pihak Israel sebenarnya tidak pernah menyembunyikan hasrat mereka untuk membina semula Kuil Sulaiman (Solomon’s Temple) di Jerusalem yang menurut kepercayaan agama Yahudi merupakan Kuil Ketiga (The Third Temple) bagi mewarisi dua binaan sebelumnya yang telah musnah. Sebenarnya, menurut ajaran Yahudi Ortodoks, pembinaan semula kuil ini bukan merupakan keutamaan yang mendesak bahkan ianya hanya boleh dibangun kembali setelah kedatangan “Messiah” di akhir zaman. Dalam masa yang sama, terdapat golongan minoriti Yahudi yang mendesak supaya usaha pembinaan semula kuil suci ini dilakukan dengan segera. Golongan ini yang hari ini diwakili kumpulan ultranasionalis dan pelampau Zionis seperti Temple Movement telah menjadi semakin berpengaruh dan mendapat sokongan kerajaan Israel.
Halangan nyata bagi merealisasikan projek ini ialah lokasi kedudukan tapak kuil tersebut yang didakwa berada di bawah tapak perkarangan Masjid al-Aqsa yang menjadi tempat suci ketiga bagi umat Islam itu. Begitu juga keadaan status quo yang meletakkan kuasa pentadbiran al-Aqsa di bawah kuasa umat Islam. Dalam masa yang sama, kerajaan Israel selama ini turut terikat dengan sentimen keagamaan dalam ajaran Yahudi yang melarang keras penganut agama berkenaan daripada memasuki perkarangan al-Aqsa yang dipanggil penganut Yahudi sebagai Temple Mount. Hal ini kerana, perkarangan berkenaan dianggap amat suci dan tidak boleh dimasuki oleh mereka yang berada dalam keadaan tidak suci. Ini memerlukan kepada ritual penyucian yang khusus yang tidak dapat dilaksanakan pada hari ini. Pendirian ini masih lagi menjadi pendirian rasmi Chief Rabbinate Israel sebagai autoriti tertinggi dalam agama Yahudi. Bahkan, tindakan pencerobohan masuk ke dalam perkarangan al-Aqsa seperti yang dilakukan sesetengah golongan pelampau Yahudi dianggap sebagai perbuatan terlarang yang amat dikecam.
Namun begitu, persepsi umum terhadap larangan berkenaan semakin menurun akibat pengaruh sentimen nasionalisme dan zionisme yang semakin menebal di Israel. Golongan ini melihat kejayaan Gerakan Zionis menubuhkan negara Israel pasca Deklarasi Balfour sebagai satu titik tolak penting dalam perjalanan masyarakat Yahudi, dan ianya perlu disempurnakan melalui pembinaan semula kuil suci berkenaan. Perjanjian Oslo 1993 kemudiannya menimbulkan situasi panik kepada golongan ini kerana hasil kompromi supaya Israel melepaskan Jerusalem dianggap sebagai batu penghalang kepada usaha menyempurnakan pembinaan Kuil Ketiga. Justeru itu, pada Januari 1997 golongan ini telah menubuhkan Yesha Council dan mengeluarkan deklarasi rasmi menyeru supaya semua masyarakat Yahudi agar memasuki perkarangan Temple Mount dan mengabaikan larangan tersebut bagi menghalang kerajaan Israel daripada melepaskan Jerusalem.
Hasilnya, kejadian pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa semakin berleluasa bahkan turut melibatkan menteri dan ahli parlimen Israel. Statistik turut menunjukkan peningkatan ketara jumlah kemasukan. Sebagai contohnya, pada tahun 2022 sejumlah 48,238 orang Yahudi telah memasuki perkarangan al-Aqsa, peningkatan yang ketara berbanding sebanyak 34,779 pada tahun 2021 dan 19,814 pada tahun 2020. Malahan pengunjung yang memasuki perkarangan suci al-Aqsa kini bukan lagi semata-mata terdiri daripada golongan nasionalis zionis, bahkan turut melibatkan golongan Yahudi ultra-ortodoks yang selama ini berpegang teguh kepada pengharamannya. Perubahan ketara ini dapat dilihat melalui tinjauan yang dilakukan pada tahun 2014 yang menunjukkan sebanyak 75.4 peratus masyarakat Yahudi menyokong kemasukan ke perkarangan al-Aqsa, manakala sejumlah 19.6 peratus telah pun pernah memasukinya sebelum ini. Oleh itu, ideologi pelampau kanan yang hanya merupakan pandangan minoriti kira-kira dua dekad lalu telah menjadi pandangan majoriti dalam kalangan masyarakat Yahudi Israel hari ini. Malahan sejak Ogos 2023 Mahkamah Majistret Israel telah memutuskan bahawa pengunjung Yahudi yang memasuki al-Aqsa kini mempunyai hak untuk turut mengerjakan ibadat mereka di situ.
Selain itu, terdapat juga usaha untuk mengatasi kekangan dari sudut keagamaan dengan mengusahakan cara untuk melakukan ritual penyucian terhadap penganut Yahudi yang ingin memasuki Temple Mount. Hal ini dilakukan menerusi “Projek Red Heifer,” iaitu projek pencarian seekor lembu merah istimewa bagi dikorbankan dan dibakar untuk diambil abunya bagi upacara penyucian berkenaan. Namun, terdapat prasyarat yang amat ketat telah ditetapkan dalam ajaran Yahudi bagi menentukan lembu tersebut adalah layak dan sesuai seperti warnanya yang merah tanpa sebarat cacat cela, bebas daripada sebarat kecacatan fizikal, dan lain-lain lagi. Justeru, Temple Institute, satu organisasi khusus yang ditubuhkan untuk mempersiapkan usaha pembinaan semula Kuil Ketiga telah melancarkan program untuk mengenalpasti “Red Heifer” yang memenuhi syarat-syarat berkenaan. Sejak lebih 30 tahun yang lalu, beberapa pengumuman telah dilakukan seperti pada tahun 1997, 2002, 2014 dan 2018 bahawa calon lembu yang sesuai telah pun ditemui, namun kesemuanya berakhir dengan kegagalan.
Oleh itu, Temple Institute telah melancarkan inisiatif untuk memanfaatkan kecanggihan bioteknologi moden bagi menghasilkan baka lembu yang sesuai. Hasilnya, pada September 2022 yang lalu, dunia dikejutkan dengan pengumuman bahawa sebanyak lima ekor “Red Heifer” yang sempurna telah berjaya dibiakkan di sebuah ladang di Texas, Amerika Syarikat. Kesemua lembu tersebut kemudiannya telah diterbangkan ke Israel dalam satu majlis sambutan khusus dan seterusnya dipindahkan ke ladang ternakan di situ untuk menjalani proses pemeriksaan lanjut oleh autoriti keagamaan Yahudi. Seterusnya pada 8 Ogos 2023, terdapat laporan menyatakan bahawa latihan awal bagi upacara penyucian berkenaan telah pun dilakukan di Shiloh, Israel. Hal ini kerana salah seekor daripada “Red Heifer” berkenaan kini telah menghampiri usia yang sesuai bagi upacara berkenaan.
Sebagai kesimpulannya, nyata bahawa tanah suci ketiga umat Islam ini sekarang berada dalam situasi yang amat getir. Menerusi kebangkitan golongan ektremis pelampau kanan yang kini menguasai kepimpinan Israel, mereka kini tidak lagi berusaha menyembunyikan niat jahat mereka untuk memusnahkan al-Aqsa bagi memberi laluan kepada usaha pembinaan semula kuil suci mereka. Menerusi siri operasi pencerobohan terancang yang telah menjadi gerakan arus perdana di Israel serta projek penggalian bawah tanah berskala besar di sekitar al-Aqsa, kini langkah persiapan terakhir kearah pembinaan Kuil Ketiga sedang berlangsung melalui Projek Red Heifer. Melihat kepada arus normalisasi hubungan dengan Israel yang sedang melanda sesetengah negara Islam pada hari ini, timbul persoalan yang membimbangkan: Adakah perasaan umat Islam akan turut cuba dinormalisasikan untuk menerima hakikat Palestin tanpa al-Aqsa?
Muhamad Sayuti Mansor adalah Felo Penyelidik di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.
- BebasNews
https://bebasnews.my/2023/09/11/palestin-tanpa-al-aqsa/
Latest from Muhamad Sayuti Mansor
- Crackdown on Muslim Democrats a setback for Tunisian democracy
- Beri perhatian isu data peribadi ketika fasa peralihan ke endemik (in Bahasa Malaysia)
- Kemiskinan ruang, 'terpenjara' antara punca langgar SOP (in Bahasa Malaysia)
- Price of digital nomad culture to employer, employee
- Jangan zahirkan dosa, kesalahan pelanggaran SOP (in Bahasa Malaysia)