Makna Kibaran Bendera Putih Dalam Sejarah Manusia (in Bahasa Malaysia)
Written by Iman RamliPENGIBARAN bendera putih sangat sinonim dengan peperangan. Ia menjadi salah satu daripada sebilangan tradisi yang paling dihormati dalam dunia peperangan sepanjang sejarah manusia. Bendera berwarna putih menjadi pilihan berbanding warna lain kerana ia mudah dilihat dalam kekalutan perang dan latar belakang semula jadi.
Dikenali secara umumnya sebagai simbol menyerah diri, bendera putih dikibarkan buat kali pertama dalam sejarah perang, iaitu semasa pemerintahan Dinasti Han Timur (25-220 Masihi) di China. Masyarakat China mengaitkan warna putih dengan kematian dan upacara berkabung. Justeru apabila askarnya mengibarkan bendera putih, ia mewakili perasaan duka mereka berdepan kekalahan.
Sekitar kurun yang sama, empayar Rom turut dikatakan menggunakan kaedah tersebut buat pertama kali dalam ‘Perang Bedriacum Kedua’ antara maharaja Rom Vitellia dan pencabarnya Vespasian (69 Sebelum Masihi). Kemenangan berpihak kepada Vespasian, dan beliau ditabal sebagai maharaja Rom seterusnya. Peristiwa ini dirakam sejarawan Rom, Cornelius Tacitus dalam bukunya berjudul ‘Histories’ terbitan tahun 109 Masihi. Kibaran bendera putih telah menggantikan tradisi mengangkat baju besi di atas kepala sebagai tanda menyerah kalah yang amalkan sebelumnya. Tradisi ini diteruskan pada Zaman Pertengahan Eropah kurun ke-5 sehingga ke-15 Masihi.
Pada kurun ke-16, Gaspar Correia, sejarawan Portugis yang mati dibunuh di Melaka pada 1563, menulis dalam catatan beliau berjudul ‘Lendas da India’, bahawa semasa raja kerajaan Hindu Samoothiri di kota Calicut (selatan Malabar, India) mahu berdamai dengan Vasco da Gama pada tahun 1502, baginda menghantar wakilnya yang mengangkat bendera putih yang diikat pada sebatang kayu. Da Gama menuntut semua orang Islam dihalau keluar dari ‘kota rempah-ratus dunia’ itu, tetapi ditolak raja Samoothri. Natijahnya Portugis mengebom kota tersebut dan menakluk sejumlah kapal pengangkut beras, kemudian memotong hidung, telinga dan tangan para anak kapalnya.
Bendera putih tidak selalunya membawa maksud menyerah kalah. Kerajaan Khilafah Umayyah (661 – 750 Masihi) menggunakan bendera putih sebagai simbol rasmi kerajaan, sebagai tanda ingatan kepada kejayaan perang pertama Nabi Muhammad SAW, iaitu Perang Badar.
Istana DiRaja Brussels di Belgium mengibarkan bendera putih pada Mac 2020, untuk menyatakan penghargaan dan sokongan kepada para barisan hadapannya yang berkorban masa, tenaga dan nyawa dalam mengekang penularan Covid-19. Ia kemudiannya menjadi ikutan ramai rakyat Belgium.
Dalam dunia moden, kibaran bendera putih masih menjadi simbol menyerah kalah, keinginan melaksanakan gencatan senjata atau memulakan rundingan di medan perang. Dalam sesetengah keadaan, bendera putih dikibar oleh askar-askar sebagai isyarat mahu mengumpulkan rakan-rakan yang tercedera. Ia melambangkan para askar yang tidak bersenjata dan tidak boleh diserang. Konvensyen Hague menerusi Peraturan Artikel 32 tahun 1899 menegah tentera mana-mana negara menggunakan bendera putih bagi tujuan penipuan untuk menyerang musuh.
Pengibaran bendera putih adalah suatu perkara serius. Mengibarkannya dalam peperangan tanpa persetujuan daripada para pegawai atasan tentera adalah satu kesalahan besar. Dalam Perang Teluk 1991, para pegawai tentera Iraq mengarahkan askar-askarnya menyerahkan semua jenis fabrik putih seperti baju singlet dan stokin agar tidak disalahgunakan bagi tujuan menyerah diri.
Beberapa hari ini, pengibaran bendera putih oleh rakyat yang terdesak memerlukan bantuan segera menjadi isu hangat di Malaysia. Pelbagai pihak termasuk golongan agama, ahli politik, pakar ekonomi dan semestinya rakyat jelata yang amat terkesan dengan Covid-19, hangat memperkatakan sama ada wajar atau tidak wajar inisiatif tersebut dilakukan.
Pengibaran bendera putih di rumah-rumah bukan bererti ada rakyat Malaysia mengaku kalah dan tidak mahu lagi berusaha. Kali ini, ia bermaksud ‘kecemasan’. Ramai kehilangan mata pencarian manakala simpanan pula kian merosot. Ada yang malu, tapi akhirnya terpaksa juga angkat bendera. Kerana meminta-minta bukanlah kelakuan biasa, terutamanya yang pernah hidup senang.
Inisiatif ini dicetuskan supaya rakyat yang terdesak dan malu tidak mengambil tindakan merugikan diri sendiri dan keluarga. Paling digeruni, rakyat yang sudah putus harapan akan memilih jalan bunuh diri. Kes-kes bunuh diri ini sudah dibuat secara terang-terangan, tidak lagi senyap-senyap dan sedang meningkat. Tanpa disedari, ia adalah tanda protes paling dahsyat seseorang terhadap masyarakat sekeliling dan pihak berwajib. Tidak wajar untuk mengatakan semua yang bunuh diri itu pasti dihumban ke neraka, tanpa mengetahui apa dan siapa punca mereka melakukannya.
Tidak dinafikan, berdoa agar dikeluarkan dari kesempitan hidup adalah amat dianjurkan. Tetapi mengibarkan bendera putih itu juga termasuk dalam usaha terkini membantu diri sendiri dan keluarga. Ujian seseorang tidaklah sama. Yang sentiasa cukup mungkin tidak akan faham. Bahasa orang kenyang tidaklah sama dengan bahasa orang lapar. Berdoa kena selalu, supaya Allah SWT membuka pintu rezeki ‘satu masa nanti’, tetapi kelaparan adalah ‘sekarang’. Sekiranya semua masalah boleh selesai dengan doa, tiada rakyat meminta-minta dan mengikat perut sekarang.
Kita tahu kerajaan sudah melakukan apa yang terdaya untuk membantu rakyat dalam keterbatasan dan kekurangan pada era pandemik ini. Justeru, apabila rakyat melancarkan inisiatif kibar bendera putih sebegini, ianya adalah ‘dari rakyat, untuk rakyat’. Sesetengah pemimpin contohnya, tidak wajar berasa tercabar dan melenting dengan inisiatif tersebut. Mereka seharusnya berlapang dada dan berjiwa besar, dengan menganggap ia menjadi pemudah cara mereka atau penambahbaikan kaedah agihan bantuan kepada yang terdesak. Dengan itu, bendera-bendera putih pun boleh diturunkan. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang beriman jika dia kenyang, sedangkan jiran bersebelahannya lapar” (Hadis riwayat Bukhari, Al-Adab Al-Mufrad).
Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.
– BebasNews
Latest from Iman Ramli
- Waspada dosa berkekalan dalam dunia digital (in Bahasa Malaysia)
- Manipulasi data, suapan algoritma lahir fanatisme di media sosial (in Bahasa Malaysia)
- Teori konspirasi penghalang usaha melawan COVID-19 (in Bahasa Malaysia)
- Menuju era pengasingan golongan ‘divaksin’ dan ‘tidak divaksin’ (in Bahasa Malaysia)
- Isytihar pembunuh Harimau Malaya sebagai musuh negara (in Bahasa Malaysia)