Tuesday, 03 November 2020 13:48

Kebebasan bersuara persenda agama wajar dipertikai (in Bahasa Malaysia)

Written by
Kebebasan bersuara persenda agama wajar dipertikai (in Bahasa Malaysia) BH

Konflik berterusan antara Perancis dan masyarakat Muslim memasuki episod baharu.

Ia rentetan tragedi pembunuhan Samuel Paty, seorang guru sekolah di Paris gara-gara menayangkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dalam sebuah kelas berkenaan kebebasan bersuara.

Tambah mengeruhkan keadaan ini apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memilih untuk mempertahankan tindakan penyiaran karikatur itu oleh Charlie Hebdo, sebuah majalah satira kontroversi yang sedia terkenal menyiarkan karikatur yang mempersendakan dan menghina agama lain, terutama Islam.

Tidak lama sebelum itu, beliau turut mengeluarkan beberapa kenyataan negatif terhadap Islam yang mengkritiknya sebagai agama yang sedang berada dalam krisis di seluruh dunia.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan masyarakat Muslim seluruh dunia dengan beberapa pemimpin dunia Islam seperti Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoan dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, mengecam tindakan itu. Turut digerakkan kempen boikot produk Perancis di negara Islam.

Provokasi dan penyebaran kebencian terhadap Islam dan masyarakat Muslim ini bukan baru di Perancis. Charlie Hebdo sebagai contoh berulang kali menyiarkan pelbagai karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

Namun, semua ini berterusan dilakukan atas nama kebebasan bersuara, sebuah prinsip yang dijulang tinggi sejak sekian lama dalam budaya dan masyarakat Perancis.

Hal ini terbukti melalui Declaration of Human and Civic Rights pada 1789 yang meletakkan kebebasan bersuara sebagai prinsip kebebasan asasi dan utama dalam masyarakat Perancis.

Justeru, perbuatan mengkritik, mempersenda dan melakukan satira terhadap agama sering dilihat sebagai sebahagian penting daripada prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Perancis.

Pada masa sama, limitasi terhadap pengamalan prinsip ini dilihat terlalu longgar serta terbuka untuk dimanipulasi. Di atas kertas, kebebasan bersuara ini hanya boleh dihadkan serta dihalang apabila pelakunya melampaui batasan seperti menyokong keganasan secara terang-terangan, mencetuskan fitnah dan menyebarkan kebencian.

Namun demikian, secara realitinya larangan ini kurang terpakai apatah lagi apabila membabitkan perbuatan mempersenda dan memperolok agama, terutama terhadap masyarakat Muslim.

Hal ini didorong sejarah panjang kon?ik antara negara dan agama di Perancis yang menatijahkan persepsi negatif terhadap agama. Sebagai kesannya, Perancis hari ini mengamalkan dasar sekularisme garis keras atau dikenali sebagai laïcité.

Ia membezakan antara urusan agama dan negara, mengehadkan agama kepada ruang peribadi semata-mata, seterusnya mena?kan peranan dan sumbangan agama dalam ruang awam.

Sejarah kolonialisme Perancis terhadap dunia Islam pada abad ke-19 dan ke-20 menyaksikan penentangan sengit oleh masyarakat Muslim. Ia seterusnya membawa kemunculan masyarakat minoriti Muslim di Perancis, turut menyumbang kepada imej negatif Muslim dalam kalangan sesetengah masyarakat negara itu.

Hal ini mendorong kemunculan golongan pelampau kanan yang memandang imigran luar terutama komuniti Muslim di Perancis sebagai satu bentuk ancaman kepada negara mereka.

Masyarakat Muslim yang mempunyai identiti berbeza serta teguh mengamalkan agama, dilihat tidak akan mampu untuk berintegrasi sepenuhnya ke dalam negara yang sekular itu.

Justeru, prinsip kebebasan bersuara tanpa panduan dan limitasi yang jelas disertakan dengan persepsi negatif sedia ada terhadap minoriti Muslim Perancis ini menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada penindasan, tekanan dan diskriminasi yang dilakukan atas nama kebebasan bersuara.

Kebebasan bersuara kini bertukar menjadi alat tunggangan bagi menjustifikasikan perbuatan mempersendakan Islam yang menjurus kepada Islamophobia.

Hal ini jelas berbeza dengan prinsip kebebasan bersuara menurut perspektif Islam. Islam sejak awal lagi meletakkan tujuan yang jelas bagi penggunaan prinsip kebebasan bersuara ini.

Manusia diberikan kebebasan untuk bersuara dalam rangka untuk mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada orang lain, serta menjauhkan mereka daripada mudarat dan keburukan.

Oleh itu, kebebasan bersuara perlu disertakan dengan tanggungjawab untuk melakukan kebaikan seperti bagi tujuan menasihati, perbincangan (syura), melakukan inovasi (ijtihad), melakukan kritikan dan semak imbang (mu‘aradhah) serta mencegah salah laku (hisbah).

Kebebasan ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan yang sia-sia, apatah lagi menjurus kepada keburukan dan mudarat.

Lantaran itu, Islam meletakkan had sempadan jelas terhadap pengaplikasian prinsip ini. Terdapat larangan keras terhadap perbuatan jahat yang dilakukan atas nama kebebasan bersuara seperti menyakiti orang lain dengan kata-kata, menghasut dan mem?tnah, mencaci, menyumpah seranah serta mempersendakan agama.

Dengan itu, jelas bahawa prinsip kebebasan bersuara perlu dipandu dengan tujuan yang jelas bagi mendatangkan manfaat kepada orang lain, serta tidak boleh melampaui batasan sehingga memudaratkan orang lain.

Tindakan Perancis yang menggunakan alasan kebebasan bersuara bagi membenarkan kebebasan mempersenda dan memperolokkan agama lain, wajar kita tentang dan pertikaikan.

Apatah lagi, terdapat hipokrasi jelas dalam tindakan ini, bila mana kebebasan bersuara dilindungi dengan begitu bersungguh-sungguh, namun pada masa sama, hak kebebasan yang lain terus ditindas dan disekat, terutamanya hak kebebasan mengamalkan agama, seperti yang berlaku dalam kes pengharaman hijab di sekolah dan tempat awam di Perancis.

Sesuatu yang ironi apabila hak kebebasan Muslim untuk beragama terus ditekan dan dihadkan kepada ruang peribadi semata-mata, namun ruang kebebasan untuk melakukan penghinaan dan provokasi terhadap Islam itu sendiri dibuka seluas-luasnya di ruangan awam.

Oleh yang demikian, kita perlu menyampaikan mesej lantang dan jelas kebebasan bersuara ada hadnya!

Prinsip kebebasan bersuara perlu dipandu dengan tujuan yang jelas bagi mendatangkan manfaat kepada orang lain, serta tidak boleh melampaui batasan sehingga memudaratkan orang lain.

 

Penulis adalah Penganalisis Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Berita Harian 29 Oct 2020