Syarahan Umum: Peranan Ulama dalam Memperkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia Melalui Fahaman Kesederhanaan Dalam Islam

Syarahan Umum: Peranan Ulama dalam Memperkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia Melalui Fahaman Kesederhanaan Dalam Islam

Peranan para ulama sangat penting dalam mengukuhkan pembinaan Malaysia yang madani. Hal ini diperakui oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekan pendapat bahawa sinergi dalam kalangan ulama amat perlu dalam pencitraan Islam yang lebih dinamik. Betapa signifikannya golongan yang tinggi ilmu agamanya itu juga berfungsi menjadi jambatan di antara pemerintah dan masyarakat, serta penghubung antara negara-negara.

Menyedari kepentingan peranan ulama dalam usaha-usaha tersebut, IAIS Malaysia dengan kerjasama Sekretariat Festival Turath Islami Selangor berganding bahu untuk menganjurkan sebuah program Syarahan Umum dengan tajuk “Peranan Ulama dalam Memperkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia Melalui Fahaman Kesederhanaan Dalam Islam”, yang akan disampaikan oleh KH Said Aqil Siraj, mantan Ketua Umum Nahdlatul Ulama Indonesia. Maklumat lanjut program tersebut adalah seperti ketetapan berikut:

Tarikh: 30 Mei 2024 (Khamis)
Jam: 11:00 pagi – 1:00 tengah hari
Tempat: Dewan Persidangan, IAIS Malaysia

Penganjuran program ini selari dengan usaha memberi kefahaman tentang maksud Malaysia Madani yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri kepada masyarakat di Malaysia dan di seluruh dunia amnya. Hal ini kerana ia melibatkan nilai asas pembentukan negara Madani iaitu akidah yang kukuh, akhlak baik serta pembentukan sahsiah maknawiyah bersama impian membina tamadun yang gemilang.

Mengenai KH Said Aqil Siraj:

KH Said Aqil Siraj adalah seorang ulama yang dihormati dan diakui atas sumbangannya dalam mempromosikan pendekatan kesederhanaan dalam Islam, yang menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Indonesia, dua negara yang berkongsi banyak persamaan dari segi budaya, bahasa, dan sejarah.

Objektif Syarahan:

Memperkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia: Dengan latar belakang sejarah dan budaya yang kaya dan pelbagai, hubungan antara Malaysia dan Indonesia sering diwarnai dengan kerjasama dan juga perbezaan. Syarahan ini akan menyoroti bagaimana melalui fahaman kesederhanaan dalam Islam, kedua-dua negara dapat memperkukuh hubungan diplomatik dan sosial mereka, seterusnya menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

Memahami Konsep Kesederhanaan dalam Islam: Syarahan ini akan memperincikan konsep kesederhanaan atau "wasatiyyah" dalam Islam yang menekankan keseimbangan, keadilan, dan toleransi. Konsep ini sangat penting dalam menangani pelbagai cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Peranan Ulama dalam Masyarakat: Ulama bukan sahaja berperanan sebagai pendidik dan pemimpin rohani, tetapi juga sebagai agen perubahan sosial yang boleh mempengaruhi dan memandu masyarakat ke arah kebaikan, penyatuan dan kemakmuran. Syarahan ini akan membincangkan bagaimana ulama dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Usaha Menangani Ektremisme: Agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk mengkaji dan menelaah secara mendalam segala bentuk pendapat, ijtihad dan khilaf pandangan. Perkara sebegini dapat mengelakkan masyarakat daripada sifat taksub dan memegang sesuatu kepercayaan berlandaskan nas dan dalil yang betul. Masyarakat mempunyai kekuatan untuk menafikan fahaman ekstrimisme, melalui pendekatan penerangan oleh kelompok ulama Nusantara, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Mengapa Hadir ke Syarahan Ini?

Pencerahan Ilmiah: Mendapatkan pencerahan daripada seorang ulama terkemuka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam.

Interaksi dan Jaringan: Berpeluang untuk berinteraksi dengan para peserta lain yang terdiri daripada ulama, akademik, dan pemimpin masyarakat dari kedua-dua negara.

Pemahaman Mendalam: Memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang peranan ulama dalam konteks hubungan antarabangsa dan bagaimana prinsip kesederhanaan dalam Islam boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

youtube video
 

CONTACT INFORMATION

International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Jalan Ilmu, Off Jalan Prof Diraja Ungku Aziz (formely Jalan Universiti), 59100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Tel: +603-79569188
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.