8:30mlm-10:45mlm (Waktu Malaysia)
7:30mlm-9:45mlm (Waktu Indonesia Barat)
PENGENALAN
Tanggal 31 Ogos 2022 yang bakal tiba nanti, Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-66 kemerdekaannya. Perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara diwarnai pelbagai pencapaian membanggakan, kejayaan-kejayaan yang gemilang, dan tidak kurang juga cabaran-cabaran yang amat berliku. Dalam kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia, negara tetangga kita Indonesia juga sedang meraikan bulan kemerdekaan mereka yang ke-78, setelah mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.
Malaysia dan Indonesia telah sekian lama menjalinkan hubungan diplomatik yang erat. Selain faktor geografi sebagai ahli keluarga Nusantara, kedua-dua negara ini turut mempunyai banyak persamaan dari sudut bahasa, budaya, adat resam dan ketamadunan, Kedua-dua negara sahabat ini disegani di persada dunia kerana kerana keharmonian dalam kepelbagaian kaum dan agamanya, selain kedua-keduanya sedang rancak membangunkan masyarakat dan negara masing-masing.
Keakraban dua negara ini semakin kukuh apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Hal ini terzahir apabila beliau memilih Indonesia untuk lawatan pertama ke luar negara setelah dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022. Indonesia menurut Dato’ Seri Anwar adalah ‘sahabat sejati’.
Setelah dilantik sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar telah memperkenalkan konsep ‘Malaysia Madani’, bermatlamat untuk mengangkat semula martabat negara berteraskan kemampanan budaya bangsa, daya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan. Hal ini bagi memastikan negara dan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan, dan memiliki semangat perpaduan yang tinggi, aman, sejahtera, dan dihormati seantero dunia sebagai negara adil dan makmur.
Kami di IAIS Malaysia berharap agar konsep murni Madani ini dapat dihayati dengan lebih meluas merentasi sempadan kenegaraan. Sebagai negara sahabat serumpun, Malaysia dan Indonesia diyakini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai ‘negara-negara Madani’, yang mampu menjadi contoh kepada negara-negara lain di seluruh dunia.
OBJEKTIF FORUM
- Memupuk sifat patriotik dengan penghayatan mendalam konsep ‘Negara Madani’ dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda di Malaysia dan Indonesia,
- Mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara dua negara serumpun yang berkongsi begitu banyak persamaan dari sudut bahasa, budaya, adat resam dan ketamadunan,
- Menjadi wadah perbincangan dan perkongsian idea bagi mengangkat martabat negara berteraskan kemampanan budaya bangsa, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.
Watch the recording at >> IAIS Malaysia's Facebook page.
CONTACT INFORMATION
International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.
Jalan Ilmu, Off Jalan Prof Diraja Ungku Aziz (formely Jalan Universiti), 59100 Kuala Lumpur, Malaysia.