Forum Kemerdekaan Malaysia & Indonesia 2022

Generasi Penamat Budaya Rasuah & Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia & Indonesia
29 Ogos 2022 (Isnin)
09:00mlm - 11:00mlm (Malaysian Standard Time UTC +8)
08:00mlm - 10:00mlm (Indonesian Time)
 

UpdatedPosterForumKemerdekaan2022 

Genap 31 Ogos 2022 yang bakal tiba nanti, Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-65 kemerdekaannya. Perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara diwarnai pelbagai pencapaian membanggakan, kejayaan-kejayaan yang gemilang, dan tidak kurang juga cabaran-cabaran yang sungguh berliku. 

Dalam kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia, negara tetangga kita Indonesia juga sedang meraikan bulan kemerdekaan mereka yang ke-77, setelah mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Kedua-dua negara sahabat ini disegani di persada dunia kerana kerana keharmonian dalam kepelbagaian kaum dan agamanya, selain kedua-keduanya sedang rancak membangunkan masyarakat dan negara masing-masing. Suara Malaysia dan Indonesia juga lantang di persada dunia, mewakili suara-suara masyarakat dunia yang sekian lama ditimpa musibah dan penindasan. 

Di sebalik segala kejayaan dan pencapaian, termasuk melawan penularan COVID-19 selama dua tahun, kedua-dua negara kini sedang dilanda ‘penyakit’ yang sudah sekian lama menular dalam masyarakat kita, bahkan sudah menjadi budaya. Penyakit tersebut adalah budaya rasuah dan salah guna kuasa, yang berleluasa dalam semua peringkat masyarakat, yang tidak mengenal latar belakang, pangkat dan kedudukan. Rasuah dan salah guna kuasa ini begitu membarah, sehingga ia memberi kesan buruk kepada usaha pembangunan masyarakat dan negara, selain mencalarkan imej baik negara di peringkat nasional dan antarabangsa juga.

Sebagai keluarga besar dalam negara yang penuh dengan potensi dan harapan, semua pihak perlu mencari jalan keluar segera daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa ini. Hal ini menuntut kerjasama semua pihak, terutamanya dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepada generasi muda negara, supaya menolak budaya negatif tersebut dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pucuk pimpinan negara. Kita perlu menggerakkan inisiatif Generasi Penamat (Generational End Game) terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa ini, supaya ia tidak terus membelenggu hidup, jiwa dan semangat generasi negara akan datang.

Selagi kita terbelenggu dengan budaya negatif ini, rakyat kedua-dua negara tidak mampu bergerak maju dan pantas ke hadapan, apatah lagi untuk bersaing dengan negara-negara membangun dan maju yang lain. Belenggu penghalang kemajuan ini tidak ubah seperti yang dirasai ketika era penjajahan beratus tahun dahulu. Bezanya, hari ini kita terjajah oleh rasuah dan salah guna kuasa, yang berpunca daripada masyarakat kita sendiri. Sehingga belenggu masyarakat ini tidak dihapuskan, kita belum benar-benar merdeka dalam erti kata sebenarnya.

 

Watch FB Recording >> IAIS Malaysia's Facebook Page  

 

CONTACT INFORMATION

International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Jalan Ilmu, Off Jalan Prof Diraja Ungku Aziz (formely Jalan Universiti), 59100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Tel: +603-7956 9188
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Read 149 times