‘Poverty Porn’ vs Misi Kebajikan & Kemanusiaan: Membangunkan Integriti & Profesionalisme NGO Islam Bertaraf Antarabangsa
Muqadimah
Dunia tidak pernah sunyi daripada pelbagai krisis dan pergolakan seperti bencana alam, tragedi peperangan, cabaran sosio-ekonomi seperti kemiskinan, serta wabak penyakit yang mengancam nyawa. Ia mengakibatkan masalah-masalah seperti kebuluran, kematian, kehilangan harta benda, kemusnahan pelbagai fasiliti seperti tempat tinggal, sekolah dan rumah ibadah, serta krisis pelarian.
Masalah-masalah yang disebutkan tadi bukan hanya menguji mereka yang terkesan secara langsung dalam krisis-krisis tersebut, bahkan juga menguji sifat kemanusiaan, empati dan cakna kita terhadap mereka yang ditimpa kesusahan, seperti disebutkan dalam sebuah hadith:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ
Dari Ibnu Abas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan” (HR Al-Tabrani No: 12579).
Untuk meringankan beban mereka yang terkesan dengan krisis-krisis tersebut, pelbagai inisiatif seperti misi bantuan kebajikan dan kemanusiaan dicetuskan. Pelbagai NGO dan badan kebajikan ditubuhkan bertujuan memungut sumbangan daripada masyarakat dalam bentuk tabungan mahupun sumbangan secara maya. Melalui kaedah pengiklanan di dada akhbar, paparan papan iklan, pemasaran di platform media sosial dan sebagainya, bantuan diterima daripada masyarakat prihatin dalam pelbagai bentuk seperti infaq atau sedekah, zakat, wakaf, qurban, aqiqah dan lain-lain. Dana yang dikumpul oleh NGO dan pertubuhan kebajikan ini bukanlah sedikit. Ia mampu mencecah ratusan ribu bahkan jutaan ringgit, hasil sikap dermawan rakyat Malaysia.
Namun baru-baru ini, kita diperkenalkan dengan istilah ‘poverty porn’. Ia menjadikan kemiskinan dan kesusahan yang dirakamkan melalui kaedah penulisan, fotografi atau video untuk dieksploitasi demi meraih simpati, sekaligus meningkatkan sumbangan dan kutipan daripada masyarakat. Pihak yang mengeksploitasi itu meraih populariti dan sanjungan, bahkan mengaut keuntungan, atas nama misi kebajikan dan kemanusiaan
Masyarakat kita yang mempunyai sifat pemurah dan husnus-zhon (sangka baik) yang tinggi dilihat mudah dipengaruhi dengan kisah-kisah menyayat hati dan dramatik yang dipaparkan di media, tanpa terlintas kemungkinan berlakunya penyelewengan, khianat atau sebarang niat tidak baik.
Menyedari wujudnya isu ‘poverty porn’ ini, beberapa soalan penting bakal dijawab dalam sesi webinar ini. Antaranya, bagaimana cara untuk menilai kejujuran NGO dan pertubuhan amal dalam menjalankan misi kemanusiaan dan kebajikan? Bagaimana kaedah mengekang ‘poverty porn’ dan penyelewengan dana sumbangan awam daripada berleluasa? Serta apakah yang perlu dilaksanakan bagi memperkasa tahap integriti dan profesionalisme NGO Islam di Malaysia, agar mencapai tahap kualiti dan piawaian bertaraf antarabangsa?
----------------------------
Tonton webinar ini di IAIS Malaysia Facebook