Displaying items by tag: rasuah
Tingkatkan usaha perbaiki persepsi rasuah negara (in Bahasa Malaysia)
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi 2020 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, turun enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Negara mencatatkan skor 51 daripada 100 untuk 2020 berbanding 53 pada 2019. Pada 2018, kedudukan CPI Malaysia naik 10 anak tangga pada kedudukan ke-61 dengan skor 47 daripada 100 mata.
Antara kriteria pengiraan indeks ini melihat kepada persoalan berkaitan rasuah sektor awam ialah amalan rasuah, penyalahgunaan dana awam, penggunaan pejabat kerajaan untuk tujuan peribadi, amalan nepotisme dalam perkhidmatan awam, kemampuan kerajaan menguatkuasakan mekanisme integriti, kewujudan undang-undang perisytiharan kewangan, konflik kepentingan diri dan peruntukan undang-undang yang mencukupi kepada pemberi maklumat, wartawan dan penyiasat.
Seperti 2019, New Zealand dan Denmark menduduki tangga tertinggi CPI pada 2020 kerana rendahnya amalan rasuah di dua negara itu dengan skor 88 daripada 100.
Pada 2019, kedua-dua negara berkenaan memperoleh skor 87 mata.
Dalam kalangan 10 negara ASEAN, Malaysia disenarai ketiga selepas Singapura (85 mata) dan Brunei (60 mata). Malah Singapura berada pada tangga ketiga dunia berkongsi kedudukan dengan Finland dan Switzerland.
Dalam kalangan negara Islam pula, Malaysia ketinggalan di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) (tangga ke-21 dengan 71 mata), Qatar (tangga ke-30 dengan 63 mata) dan Arab Saudi (tangga ke-52 dengan 53 mata).
Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar memaklumkan ada banyak faktor kejatuhan Malaysia dalam CPI kali ini.
Antaranya berleluasanya amalan rasuah, ketidakstabilan politik negara, krisis dalam demokrasi, ekonomi yang lemah, kurangnya governan yang baik dan ketidaktentuan masa depan negara.
Hakikatnya, amalan rasuah masih berleluasa di Malaysia. Walaupun dalam keadaan negara dilanda pandemik, sejumlah 998 kes tangkapan membabitkan jenayah itu direkodkan tahun lalu.
Meskipun begitu, jumlah itu menurun berbanding 2019 dengan 1,101 kes, tetapi naik sedikit berbanding 2018 dengan 894 kes.
Memandangkan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam agak tinggi, kerajaan mengeluarkan pekeliling bagi menjelaskan definisi pemberian dan penerimaan 'hadiah' yang boleh membawa maksud rasuah.
Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 1998 menetapkan, "hadiah meliputi wang, harta alih dan tak alih, kenderaan, tambang percuma, tiket loteri, saham, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata atau apa-apa benda bernilai yang diberi kepada atau diterima pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang dengan tiada balasan atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi atau mencukupi".
Menurut Pekeliling itu, larangan menerima atau memberi hadiah kepada pegawai awam jika ia berkait dengan tugas awamnya, manakala bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah yang diberi.
Larangan ini merujuk kepada subperaturan 8(1)(a) dan (b) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A) 395/1993).
Hasilnya, kementerian menetapkan dasar mengenai pemberian dan penerimaan hadiah dalam kalangan staf. Ini ditambah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan 29 Januari 2019 bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan.
Ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdapat satu rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik sepatutnya dibentangkan pada 2020, tetapi kerajaan PH jatuh pada hujung Februari tahun sama.
Dalam memastikan amalan rasuah dalam kalangan orang politik juga dibendung, semasa zaman pemerintahan PH, beberapa bekas pemimpin negara didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah yang dikategorikan di bawah pemberian dan penerimaan hadiah untuk tujuan sendiri walaupun dikatakan ia bagi tujuan parti politik.
Langkah memerangi rasuah dalam kalangan orang politik juga digerakkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui penerusan usaha kerajaan terdahulu, supaya RUU kawal dana politik dapat dibentangkan di Parlimen sesuai NACP 2019-2023.
Cadangan ini melihat kepada dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang bagi mengawal sumbangan politik seperti dinyatakan dalam 1.2.5 NACP.
Malah, usaha ini diteruskan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menyediakan laporan berkaitan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-14.
Bagi memastikan kedudukan Malaysia dalam CPI bertambah baik, usaha digerakkan kerajaan hendaklah disahut seluruh warga Malaysia.
Perancangan rapi harus dilakukan bagi menaikkan kedudukan tangga CPI bagi menarik pelaburan asing.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2020 dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia berkurangan dengan hanya jumlah pelaburan bernilai AS$2.5 bilion (jatuh 68 peratus).
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia dengan jumlah pelaburan AS$18 bilion (jatuh 24 peratus).
Singapura berada pada tangga teratas dengan jumlah pelaburan AS$58 bilion (jatuh 37 peratus), Vietnam AS$14 bilion (jatuh 10 peratus), Thailand AS$11.4 bilion (jatuh 50 peratus) dan Filipina AS$6.4 bilion (jatuh 29 peratus).
Usaha kerajaan membasmi rasuah dengan pengenalan beberapa undang-udang termasuk RUU kawal dana politik amat dialu-alukan.
Peningkatan tangkapan kes rasuah membabitkan penjawat awam, orang awam dan ahli politik menunjukkan betapa seriusnya kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani isu ini.
Adalah menjadi kewajipan kerajaan, orang awam dan ahli politik meningkatkan usaha bagi mencegah amalan tidak sihat ini.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia sama ada penjawat awam, orang awam dan ahli politik mesti menjauhi amalan rasuah, musuh utama negara.
Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia
Source: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/02/781783/tingkatkan-usaha-perbaiki-persepsi-rasuah-negara
Perlunya undang-undang kawal dana politik (in Bahasa Malaysia)
Isu pemberian dan penerimaan hadiah kepada penjawat awam dan ahli politik sering dibahaskan. Ia berkait rapat dengan “pulangan yang tidak sepatutnya”. Bagi penjawat awam, ia menjejaskan integriti seseorang sama ada ia bertindak berseorangan atau berkumpulan.
Kartel daging import yang kesahihan halalnya masih disangsikan kerana penipuan mereka dalam industri ini mungkin tidak berlaku sekiranya pegawai yang terlibat mengamalkan sifat integriti. Jutaan ringgit nilai kartel daging import itu menunjukkan betapa tinggi nilai sogokan “hadiah” atau rasuah mengikut kamus Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah bertahun-tahun bersekongkol di kalangan mereka yang terlibat. Mereka ini bukan sahaja hina di kaca mata agama malah duri dalam daging yang merosakkan keseluruhan sistem kehidupan manusia. Masakan tidak, ribuan malah jutaan orang Islam tertipu yang kononnya daging tersebut halal tetapi hakikatnya tidak.
Maka persoalannya apakah pemberian dan penerimaan “hadiah” ini juga satu amalan yang tidak menjahanamkan sesebuah institusi termasuk parti politik? Apakah “hadiah” ini tidak sama dengan “hadiah” yang dimaksudkan dalam Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 1998?
Menurut Pekeliling Bilangan 3 1998 tersebut, “hadiah meliputi wang, harta alih dan tak alih, kenderaan, tambang percuma, tiket loteri, saham, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisyen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata, atau apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada atau diterima pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya dari mana-mana orang dengan tiada balasan (without consideration) atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi atau mencukupi”.
Menurut Pekeliling tersebut, larangan daripada menerima atau memberi hadiah kepada pegawai awam sekiranya ia berkait dengan tugas awamnya. Manakala bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah yang diberi. Larangan ini merujuk kepada subperaturan 8(1)(a) dan (b) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993(P.U.(A) 395/1993. Hasilnya, kementeri-kementerian membuat polisi mengenai pemberian dan penerimaan hadiah di kalangan staf .
Ini ditambah lagi dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Malah semasa zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdapat satu Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik yang sepatutnya dibentangkan pada tahun 2020 tetapi kerajaan PH jatuh pada hujung Februari 2020.
Semasa zaman pemerintahan kerajaan PH, beberapa bekas pemimpin negara didakwa di Mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah yang dikategorikan di bawah pemberian dan penerimaan hadiah untuk tujuan sendiri walaupun dikatakan untuk tujuan parti politik.
Bagi mengelak amalan ini, menurut Profesor Dr Azizuddin Sani, metod untuk mendapat dana politik boleh diadaptasi dari negara lain supaya parti politik berkenaan tidak ketandusan dana. Mengambil contoh negara Jerman, Akta Parti-parti Politik memperuntukkan bahawa setiap parti politik berhak menerima dana kerajaan mengikut pecahan tertentu berdasarkan kepada jumlah undi yang diperolehi dalam pilihan raya. Dr Ainul Adzallie Hasnul pula mengambil contoh di Amerika Syarikat di mana sumbangan dana daripada mana-mana pihak termasuk dari swasta merupakan satu pendekatan yang bagus tetapi ia perlu telus supaya tiada salah laku. Pendekatan ini boleh dimajukan ke Parlimen agar satu undang-undang khusus mengenai sumbangan dana politik dapat digariskan.
Dalam hal ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa beliau komited untuk memerangi rasuah dan akan meneruskan usaha yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini agar rang undang-undang kawal dana politik dapat dibentangkan di Parlimen sesuai dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Cadangan ini melihat kepada dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang bagi mengawal sumbangan politik seperti yang dinyatakan dalam 1.2.5 NACP. Malah usaha ini diteruskan oleh PAC Parlimen bagi menyediakan laporan berkaitan dengan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum mesyuarat kedua Penggal ketiga Parlimen ke-14.
Keperluan kepada undang-undang kawal dana politik perlu diwujudkan segera kerana buat masa ini tiada peraturan sebegini diperuntukkan bagi ahli-ahli politik termasuk parti politik dalam mengawal selia sumbangan politik. Ketiadaan undang-undang ini boleh menyebabkan salah laku kuasa dan tiada kawalan terhadap apa yang disebut sebagai hadiah politik.
Perbelanjaan seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya telah ditentukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Seksyen 19 (1) Akta 5 menghadkan perbelanjaan RM200 ribu bagi Parlimen dan RM100 ribu bagi Dewan Undangan Negeri. Seksyen 27 (1) Akta 5 memperuntukkan hukuman ke atas mereka yang menyalahi undang-undang ini apabila disabitkan oleh Mahkamah Sesyen didenda tidak melebihi RM5 ribu dan tidak boleh didaftarkan dan disenaraikan sebagai seorang pemilih dan pengundi dalam mana-mana pilihan raya di bawah Akta 5 atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh 5 tahun dari sabitan itu. Sekiranya pada tarikh sabitan itu dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu.
Memandangkan Indeks Persepsi Rasuah ke-23 bagi tahun 2020 (2020 CPI) akan diketahui pada 28 Januari 2021, Malaysia menduduki tangga ke 51 dengan skor 53 mata pada tahun 2019 naik 10 tangga pada tangga 61 daripada 180 negara pada tahun 2018 dengan skor 47 mata. Perkiraan CPI ini ialah semakin kecil tangga yang diduduki semakin kurang amalan rasuah dalam negara tersebut. Negara yang kedudukan tangganya tinggi menunjukkan amalan rasuah sangat berleluasa di negara tersebut. Antara kriteria pengiraan indeks ini melihat kepada persoalan yang berkaitan dengan rasuah sektor awam ialah amalan rasuah, penyalahgunaan dana awam, penggunaan pejabat kerajaan untuk tujuan peribadi, amalan nepotisme dalam perkhidmatan awam, kemampuan kerajaan menguatkuasakan mekanisme integriti, kewujudan undang-undang perisytiharan kewangan, konflik kepentingan diri dan peruntukan undang-undang yang mencukupi kepada pemberi maklumat, wartawan dan penyiasat.
Denmark dan New Zealand menduduki tangga tertinggi CPI pada tahun 2019 kerana rendahnya amalan rasuah di dua negara itu. Skor yang diberi ialah 87 daripada 100.Kedua-dua negara ini memang terkenal dengan reputasi yang sedikit amalan rasuah di sektor awam dan swasta. Malangnya, negara yang dikatakan sebuah negara Islam, Somalia menduduki tangga terendah dengan menduduki tangga ke 180 dengan skor hanya 9 mata. Sudan Selatan pula merupakan negara kedua terendah menduduki tangga ke-179 dengan skor 12 mata.
Ramalan bagi negara Malaysia untuk CPI 2020 akan jatuh kerana faktor ketidakstabilan politik, ekonomi yang lemah dan kurangnya governan yang baik.
Maka usaha kerajaan dalam membasmi rasuah musuh utama negara dengan pengenalan beberapa undang-udang termasuk rang undang-undang kawal dana politik amat-amat dialu-alukan. Ini kerana amalan rasuah adalah salah guna kuasa. Adalah menjadi kewajipan kerajaan dan orang awam meningkat usaha bagi mencegah amalan yang tidak sihat ini. Justeru itu, rakyat Malaysia terutamanya ahli politik dan pegawai perkhidmatan awam mestilah bertindak lebih kuat bagi mengekang amalan rasuah, musuh utama negara.
PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia
Bebas News 27 Jan 2021: https://bebasnews.my/?p=52771