Displaying items by tag: malaysia day

PADA 16 September 2020 genap 57 tahun pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Meskipun begitu, Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965 dengan alasan tertentu. Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menambah 20 perkara khusus yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, antaranya mengenai bidang kuasa undang-undang adat termasuk hal ehwal yang terkandung dalam undang-undang keluarga termasuk Mahkamah Adat; hal ehwal berkaitan imigresen; perkapalan, pelabuhan dan keretapi; pembayaran 10% royalti hasil mineral; air dan letrik; pertanian dan perhutanan; panggung, filem sinematografi dan tempat hiburan awam; pengecualian penyeragaman undang-undang mengenai tanah dan kerajaan tempatan; Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi; kuasa meminjam di bawah kuasa undang-undang negeri dengan persetujuan Bank Negara; dan lain-lain (Jadual Kesembilan, Senarai IIA,IIIA; Jadual Kesepuluh, Bahagian IV dan V, Perlembagaan Persekutuan). Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan dan mana-nama dari dua Kerajaan Negeri Sabah/Sarawak boleh menyemak semula pemberian khas ini (Perkara 112D).

Sebenarnya bukan mudah untuk membentuk Malaysia yang kita lihat pada hari ini. Rancangan pembentukan Malaysia mendapat tentangan hebat daripada negara-negara jiran. Filipina menuntut Sabah yang menganggap ia sebahagian dari wilayahnya. Rancangan untuk membawa masuk Sabah menjadi sebahagian wilayah Malaysia mengakibatkan Filipina memutus hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Indonesia juga tidak kurang hebatnya dalam menentang pembentukan Malaysia. Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia terjadi dengan adanya slogan Ganyang Malaysia oleh Indonesia pada 20 Januari 1963.Ini kerana Indonesia menganggap bahawa Malaysia membelakangkannya dalam perbincangan penubuhan Malaysia. Keadaan yang begitu getir sehingga Indonesia meletakkan tenteranya di sempadan Sabah dan Sarawak. Bahkan Indonesia membuat intipan dii Johor bagi mengikuti perkembangan perbincangan kemasukan Singapura ke Malaysia.

Melihat kepada sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, terdapat sekurang-kurangnya lima faktor yang menyumbang ke arah tersebut:

Pertama: Mengelak ancaman dan pengaruh komunis kerana pada masa itu Singapura merupakan sarang kegiatan parti komunis. British khuatir Singapura akan jatuh kepada komunis yang didalangi oleh Cina komunis dari tanah besar Cina. Kemasukan Singapura bersama Sabah dan Sarawak dalam membentuk negara Malaysia akan mematikan usaha komunis dalam menguasai Singapura.

Kedua: Memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Keempat-empat negeri ini masih di bawah naungan British walaupun Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957. Beberapa rundingan dibuat dengan Sultan Brunei untuk Brunei menjadi sebahagian wilayah Malaysia dengan pembentukan Malaysia. Tetapi Brunei menarik diri dari pembentukan tersebut. Akhirnya, hanya tinggal Sabah, Sarawak dan Singapura yang bersetuju dengan pembentukan negara Malaysia.

Ketiga: Perkongsian ekonomi. Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dapat merancakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara tiga wilayah baru dengan semenanjung.Tambahan pula negeri-negeri yang kaya dapat membantu negeri-negeri yang kurang sumber ekonomi terutama dari dua negeri Borneo. Tanah Melayu yang kaya dengan sumber bahan mentah dan Singapura yang kaya dari segi perdagangan import dan eksport bahan mentah dapat membantu dua negeri Borneo.

Keempat: Membela masyarakat bumiputra di Sabah dan Sarawak. Sebelum kemasukan Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian Malaysia, kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di dua negeri Borneo ini dikuasai oleh orang asing terutama dari bangsa Inggeris. Melihat kepada sebahagian besar penduduk yang terlibat dalam sector pertanian dengan kadar 3% sahaja, penggabungan dua negeri Borneo ini akan meningkatkan penglibatan penduduk tempatan dalam aktiviti pertanian.

Kelima: Menjaga kepentingan dan hak bumiputera. Kemasukan Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian Malaysia mensyaratkan bahawa peribumi dari dua negeri Borneo ini terpelihara dari segi hak keistimewaan mereka seperti orang Melayu di semenanjung yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana golongan ini masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi walaupun mereka adalah penduduk asal.

Catatan sejarah menyatakan bahawa idea untuk menggabungakan negeri-negeri Tanah Melayu, Singapura dan wilayah-wilayah Borneo pernah diutarakan oleh Lord Brassy, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1887 tetapi tidak mendapat perhatian. Setelah Perang Dunid Kedua tamat, cadangan ini dikemukakan sekali lagi oleh Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, namun ia sekali lagi tidak menjadi kenyataan kerana ketiga-tiga wilayah di Borneo tidak berminat menyokong hasrat tersebut.

Hanya setelah dizahirkan oleh Al-Marhum Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 untuk memasukkan dua wilayah Borneo ini disambut baik oleh Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura dan Harold MacMillan, Perdan Menteri British. Terdapat beberapa persidangan dan jawatankuasa yang dibentuk dalam membincangkan cadangan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Association – CPA) merupakan satu platform terawal membincangkan penggabungan tiga wilayah tersebut. Ia diikuti dengan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Committee -MSCC). Donald Stephens telah dipilih mempengerusi jawatankuasa ini. Cadangannya ialah menggabungkan kelima-lima wilayah, Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei di bawah nama The Malaysia Plan. Hasil dari perbincangan, MSCC telah merumuskan empat keputusan penting: Pertama, peribumi di dua negeri Borneo diberi kedudukan istimewa seperti orang Melayu di semenanjung. Kedua, satu suruhanjaya siasatan hendaklah dibentuk bagi mengumpul pandangan penduduk dua negeri Borneo. Ketiga, Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Keempat, Agama Islam dijadikan agama rasmi persekutuan serta hak kebebasan beragama dijamin di seluruh persekutuan.

Bagi mengambil pendapat rakyat di kedua negeri ini, satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada bulan November 1961. Dalam bulan Februari 1962 Suruhanjaya ini telah melawat Borneo Utara dan Sarawak bertemu orang ramai, ketua-ketua kaum dan parti-parti politik. Tugas Suruhanjaya Cobbold selesai pada April 1962. Hasilnya Penyata Suruhanjaya Cobbold diterbitkan pada Jun 1962 dengan satu ketetapan bahawa pembentukan Malaysia amat penting bagi negeri Sabah dan Sarawak. Ini kerana, Suruhanjaya ini telah menerima 2,200 surat dan memorandum. Malah seramai empat ribu orang telah berjumpa Suruhanjaya Cobbold bagi memberi pandangan mereka mengenai penyatuan Sabah dan Sarawk dalam membentuk Malaysia dengan 29 item untuk diterima pakai.

Satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee –IGC) telah diwujudkan pada bulan Ogos 1962 setelah dapatan diperolehi dari Suruhanjaya Cobbold. Lord Landsdowne, Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan British telah dipilih menjadi pengerusi IGC. Mesyuarat IGC telah berlangsung sebanyak 12 kali dan akhirnya satu kompromi telah tercapai. Hasilnya 20 Perkara telah dipinda tetapi prinsipnya kekal. Laporan IGC mencadangkan 53 item penting. Antara perkara utama ialah: Pertama, Islam adalah agama rasmi bagi Perseketuan kecuali bagi Sabah dan Sarawak. Kedua, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan persekutuan tetapi Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi bagi Sabah dan Sarawak. Ketiga, sistem pendidikan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan kecuali bagi Sabah dan Sarawak sehinggalah dibuat pindaan. Keempat, bagi pengisian Dewan Rakyat, 16 kerusi hendaklah diberi kepada Sabah, 24 kerusi kepada Sarawak dan 15 kerusi kepada Singapura. Kelima, bidang kuasa imigresen terletak ke atas Kerajaan Persekutuan namun kuasa autonomi ini hendaklah diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Di samping 20 Perkara, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil kontrak sosial yang menggagaskan penetapan bentuk kerajaan dan penggubalan undang-undang. Dua aspek ini telah merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia mengikut asas  dan kerangka yang telah dipersetujui bersama oleh British, Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Sejak kebelakangan ini timbul perbahasan hebat mengenai MA63 yang didokong oleh ahli-ahli politik tanpa menjelaskan kedudukan sebenar. Ini membawa kepada kekeliruan dan menyimpang dari tujuan asal perjanjian tersebut. Maka penerangan yang tepat harus diusahakan demi kepentingan masyarakat di Sabah, Sarawak dan semenanjung. MA 63 telah dimetrai pada 9 Julai 1962 di London. Mengikut undang-undang antrabangsa, ia dianggap sebagai sebuah triti.

MA63 mengandungi 11 perkara dan 11 lampiran tidak termasuk lampiran baharu berkait dengan kuatkuasa perjanjian dari 31 Ogos 2020 kepada 16 September 1963. Perjanjian tambahan telah dimetrai oleh lima wakil dalam MA63 pada 28 Ogos 1963 di Singapura.

Terdapat 5 perkara asas dalam MA63 yang meliputi Perkara I: tiga wilayah akan bergabung bersama negeri-negeri lain membentuk Persekutuan Malaysia; Perkara II: merealisasikan pembentukan Malaysia secara rasmi; Perkara III: kerajaan United Kingdom menyerahkan kepada Ratu British perintah-perintah dalam Majlis yang memberi kuatkuasa undang-undang kepada perlembagaan Sabah, Sarawak dan Singapura  sebagai negeri-negeri dalam Malaysia; Perkara IV: pihak British dikehendaki menggubal Malaysian Act 1963 Chapter 35 di Parlimen United Kingdom bagi memberi kuat kuasa undang-undang untuk melepaskan  kedaulatan dan bidang kuasa Ratu British terhadap Borneo Utara, Sarawak dan Singapura; dan Perkara VIII: tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk mengambil tindakan berbentuk perundangan, eksekutif dan tindakan lain yang diperlukan untuk melaksanakan jaminan-jaminan, perakuan-perakuan dan syor-syor yang terkandung dalam Bab 3 Lampiran A dan B oleh IGC yang dimetrai pada 27 Februari 1963.

Sesungguhnya pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 banyak membawa kebaikan kepada negara terutama bagi Sabah dan Sarawak. Walaupun tidak semua tuntutan dalam MA63 dapat ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan, hakikatnya, MA63 merupakan dokumen yang memuktamadkan proses pembentukan Malaysia. Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan digesa untuk melihat kembali tuntutan dalam MA63 bagi merealisasikan hak warga Sabah dan Sarawak sebagai balasan menyertai pembentukan negara Malaysia.


PROFESOR Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia pada 1 April 2013. Bidang kepakaran beliau ialah Undang-undang Perlembagaan, Konflik Undang-undang Syariah-Sivil, Hak-Asasi Manusia, Undang-undang Jenayah Islam dan Undang-undang Transaksi Islam (Muamalah).

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1990, Sarjana Undang-undang (LLM) pada tahun 1992-1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London dan PhD dalam undang-undang di universiti yang sama pada tahun 2001-2005.

Bebas News : 15.09.2020

Source: https://bebasnews.my/?p=43334