Displaying items by tag: harmonisation

ISU pertembungan bidang kuasa antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Ini kerana Malaysia mengamalkan dwi sistem perundangan dan dua mahkamah yang berbeza.  Akibatnya, sering wujud pertembungan bidang kuasa antara dua undang-undang tersebut dan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Melihat kepada masalah konflik perundangan yang sering timbul, pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak–Sivil pada tahun 1988 oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dengan tujuan membantu JAKIM menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara. Di samping itu, ia juga membantu memperkemas dan memantapkan pentadbiran undang-undang Islam sedia ada. Salah satu tugas jawatankuasa tersebut ialah meneliti dan menerima pakai undang-undang sivil yang sesuai dengan syarak dan memansuhkan undang-undang sivil yang bertentangan dengan syarak. Inilah yang dinamakan harmonisasi undang-undang.

Perkataan “harmonisasi” berasal daripada bahasa Inggeris “harmonisation” yang merujuk kepada maksud “penyesuaian” dan “penerimaan” dari dua perkara yang berbeza. Ia juga membawa maksud penyelarasan. Dengan perkataan lain, harmonisasi boleh disifatkan sebagai mengambil satu ketetapan dari beberapa perkara yang berbeza dan menjadikannya sebagai penyelesaian. Ini termasuk dalam bidang undang-undang apabila membuat satu undang-undang yang difikirkan terbaik untuk negara.

Dalam konteks di Malaysia, ini termasuk dalam persoalan menggabung, mengolah dan menyesuaikan dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syarak yang bertembung dengan membuat pindaan supaya ia dapat diterima pakai dengan baik. Peruntukan dalam undang-undang sivil yang bercanggah dengan undang-undang Islam dimansuhkan atau dibuat pindaan agar selari dengan kehendak Syariah. Begitu juga, peruntukan dalam undang-undang sivil yang tidak bercanggah dengan undang-undang Syariah dimasukkan dalam akta/enakmen undang-undang Islam. Hasilnya, peruntukan undang-undang sivil tidak dibuang secara total selagi ia mematuhi prinsip dan selari dengan kehendak Syariah.

Meskipun begitu, pendekatan harmonisasi undang-undang di Malaysia hendaklah berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi. Ia tidak dapat lari daripada mencorakkan sesuatu undang-undang. Oleh yang demikian, acuan yang hendak dibentuk dalam proses pengharmonian undang-undang mestilah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, dalam pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia, ia tidak boleh terkeluar dari peruntukan yang diberi oleh Perlembagaan dan Parlimen. Undang-undang Islam hanya boleh dilaksanakan mengikut ketetapan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang memberi bidang kuasa yang terhad kepada Mahkamah Syariah dan hanya ke atas mereka yang menganut agama Islam dan setakat mana yang diberi oleh undang-undang Persekutuan yang meliputi undang-undang diri dan keluarga, termasuk mengenai perwarisan, wakaf, zakat, Baitulmal, masjid dan tempat sembahyang bagi orang Islam, dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam terhadap perintah agama tersebut.

Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang seperti yang terdapat dalam Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah Syariah hanya ke atas orang Islam dan hanya terhad kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengadakan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut. Ini termasuk kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam seperti mempersendakan ayat al-Quran dan Hadis, berjudi, minum arak, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan solat Jumaat bagi lelaki dan tidak membayar zakat atau fitrah.

Bagi kesalahan-kesalahan jenayah umum yang lain seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh, peruntukan bagi hukuman ini diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dan bidang kuasa mahkamah dianugerahkan kepada mahkamah sivil. Kesalahan-kesalahan ini telah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai I – Senarai Persekutuan.

Terdapat juga beberapa kesalahan yang diperuntukkan bersama dalam enakmen kesalahan jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Dalam keputusan Iki Putra baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berkenaan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah. Ini kerana DUN tidak boleh membuat undang-undang yang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan walaupun kesalahan tersebut adalah bercanggah dengan perintah agama Islam . Keputusan ini telah menafikan keputusan sebelum ini dalam kes Sukma di mana bidang kuasa ini diberi bersama (co-existence) kepada DUN bagi negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan.

Memandangkan hanya DUN yang kompeten untuk membuat undang-undang Islam kecuali bagi Wilayah-wilayah Persekutuan di mana Parlimen boleh membuat undang-undang Islam. Justeru itu, sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang Islam tetapi dengan tujuan untuk penyelarasan tidak boleh dibuat oleh Parlimen kecuali kerajaan sesuatu negeri itu memohon untuk memberi persetujuan untuk berbuat demikian atau atas permintaan dari DUN tersebut (Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan).

Oleh kerana undang-undang Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri, pentadbiran undang-undang Islam dan yang berkait dengannya adalah di bawah kuasa prerogatif Sultan/Raja dengan penyeliaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Oleh itu, DUN mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang Islam dan hanya untuk orang-orang Islam. Ia tidak boleh membuat undang-undang yang berlawanan dengan undang-undang Persekutuan. Ini kerana, mana-mana undang-undang negeri yang berlawanan dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan akan terpakai dan undang-undang negeri tersebut akan terbatal setakat mana ia berlawanan.

Untuk mengharmonisasikan undang-undang, prinsip undang-undang Islam yang terdapat dalam undang-undang sivil tidak perlu dibuat pindaan kerana ia telah diterima baik oleh semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam. Melihat kepada perdebatan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang meliputi hudud dan qisas, secara sedar atau tidak, peruntukan dalam Kanun Keseksaan secara relatifnya adalah 60-70% mematuhi Islam. Adalah lebih baik sekiranya peruntukan yang tidak mematuhi kehendak Syarak dipinda atau dimasukkan ke dalamnya, yang akhirnya, pemakaian “undang-undang jenayah Islam” dapat dilaksanakan dalam kerangka Kanun Keseksaan yang terpakai untuk orang Islam dan bukan Islam.

Selain dari itu, pendekatan tafsiran yang holistik perlu bagi memberi kuasa kepada DUN bagi negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan membuat undang-undang jenayah Syariah bagi orang Islam yang melakukan kesalahan menyalahi perintah agama Islam.

Dalam masa yang sama, demi untuk mengharmonisasikan bidang kuasa negeri dan persekutuan dalam membuat undang-undang jenayah, satu pindaan dengan memasukan “undang-undang jenayah” dalam Jadual Kesembilan Senarai III – Senarai Bersama perlu dibuat di Parlimen bagi memberi kuasa kepada DUN bagi negeri-negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan membuat undang-undang jenayah. Ia sebenarnya mengembalikan asas pembentukan negara Malaysia yang berkonsepkan federalisme di mana persekutuan tidak akan wujud tanpa persetujuan negeri-negeri dalam membentuk sebuah negara merdeka. Justeru itu, sebagai balasan, walaupun kuasa negeri adalah terhad berbanding kuasa persekutuan, undang-undang jenayah sepatutnya seiring antara negeri dan persekutuan.

-BebasNews

Source: https://bebasnews.my/?p=56822