Displaying items by tag: conservation

SIMBOL kemegahan sesebuah negara adalah alat penyatuan seluruh rakyat jelata. Di bawah satu simbol, rakyat berkongsi semangat, patriotisme, aspirasi dan inspirasi bagi membentuk identiti, jati diri bangsa dan negara. Haiwan-haiwan kemegahan, misalnya helang di Amerika Syarikat, singa di United Kingdom, beruang perang di Rusia, biawak komodo di Indonesia; semuanya dihormati sejak sekian lama kerana melambangkan kemegahan negara. Dalam konteks Malaysia, harimau Malaya (panthera tigris) adalah haiwan simbolik yang menggambarkan kekuatan, keazaman dan keberanian bangsa Malaysia.

Harimau Malaya adalah simbol penting pada Jata Negara dan jata rasmi Yang di-Pertuan Agong. Imej kepala harimau Malaya tertera megah pada logo Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kereta nasional pertama Malaysia, PROTON, bank terkemuka negara, Maybank dan logo kelab bola sepak tersohor tanah air, Johor Darul Takzim (JDT). ‘Harimau Malaya’ juga menjadi nama jolokan pasukan bola sepak kebangsaan yang beberapa kali mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Ironinya, hidup atau mati harimau Malaya di hutan tidak begitu diberi perhatian. Melainkan Jabatan PERHILITAN dan pertubuhan-pertubuhan seperti WWF dan MyCat yang berhempas-pulas menyelamatkan harimau Malaya dari bahaya kepupusan, kita rakyat Malaysia hanya menjulang nama dan simbol, tetapi tidak tuan punya badan.

Hari Harimau Sedunia yang disambut pada 29 Julai 2021 lalu disambut dalam keadaan jumlah harimau Malaya makin kritikal di hutan-hutan Malaysia. Harimau Malaya adalah subspecies’ harimau belang yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia terutamanya di Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu. Berbanding 3000 ekor seperti yang direkodkan di hutan-hutan negara pada 1950an, hasil cerapan 1st National Tiger Survey (NTS) bermula tahun 2016 hingga 2018, di hampir 75% plot kajian habitat harimau mendapati bilangan harimau Malaya kini berkurang secara drastik kepada hanya 200 ekor! Sekiranya kita masih menganggap ini tidak serius, dalam lima ke sepuluh tahun lagi negara akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Degradasi hutan untuk pembangunan dan pembalakan menjadi penyebab utama yang menjejaskan sumber makanan, habitat dan pembiakan harimau Malaya. Namun tiada yang lebih durjana berbanding aktiviti pemburuan haram. Kita bercakap mengenai harimau Malaya, haiwan simbolik Malaysia yang diletak di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. Tetapi pemburu haram tempatan mahu pun asing tidak hairan dengan apa jua akta.

Tanpa perikemanusiaan, mereka menyeludup masuk ke hutan-hutan dan memasang jerat. Harimau Malaya yang dibunuh seterusnya dilapah untuk mendapatkan kulit, kuku, taring, tulang dan dagingnya. Kegilaan memakan dan mengguna-pakai bahagian-bahagian badan harimau sememangnya perbuatan zalim dan menjijikkan. Permintaan tinggi di luar negara membuatkan pemburu haram galak mengejar keuntungan, berbanding memikirkan kemusnahan ekosistem dan kepupusan spesies akibat perbuatan mereka.

Selain operasi bersama khas ‘Ops Bersatu Khazanah’ antara Jabatan PERHILITAN dengan pihak PDRM, perlu ada usaha untuk mewartakan harimau Malaya sebagai haiwan rasmi dan warisan negara. Puak pembunuh harimau Malaya seharusnya diisytiharkan sebagai ‘enemy-of-the-state’ yang patut diburu dan dikenakan hukuman berat kerana membunuh haiwan simbolik negara, seperti mana perbuatan membakar Jalur Gemilang, mempersenda lagu Negaraku atau mencacatkan Jata Negara. Operasi rondaan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan, terutamanya di kawasan ‘panas’ yang menjadi tumpuan pemburu haram. Sekiranya pupus haiwan kemegahan ini, maka sudah tiada lagi galang gantinya.

Pada Oktober 2019, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilihat antara pemerintah tertinggi negara yang terhadapan menzahirkan amaran keras terhadap kegiatan memburu harimau Malaya. Baginda memberi amaran, pemburu haram ‘akan diburu semula’ sekiranya meneruskan kegiatan haram membunuh harimau Malaya dalam jajahan takluk Johor. Mungkin sudah masanya, trend penyusutan jumlah harimau Malaya yang kian kritikal memerlukan perhatian dan campur tangan aktif pihak istana.

Di peringkat rakyat jelata, perjuangan menentang pemburu haram dan menyelamatkan harimau Malaya menuntut sikap patriotisme semua pihak, daripada individu, badan korporat, sehinggalah peringkat kepemimpinan negara. Namun patriotisme bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Patriotisme akan hadir sendiri sekiranya rakyat jelata berasa bangga terhadap negara. Selagi kita tidak berasa bangga menjadi rakyat Malaysia, selagi itulah simbol-simbol negara tidak membawa apa-apa makna.

Dari sudut pandangan Islam, membunuh dan menganiayai haiwan sangat bertentangan dengan ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW amat menyayangi haiwan. Oleh itu, sebarang usaha murni untuk memulihara haiwan, terutamanya yang sedang berdepan bahaya kepupusan adalah selari dengan tuntutan agama.

Antara usaha terakhir untuk menyelamatkan harimau Malaya adalah penubuhan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kampung Bolok Hulu, Lanchang, Pahang seluas 40 hektar, membabitkan peruntukan sebanyak RM20.8 juta. Ia bakal menjalankan penyelidikan, pengayaan habitat dan sumber makanan, serta program pembiakan harimau Malaya. Kita berharap agar harimau Malaya dapat diselamatkan dan dibiakkan di pusat pemuliharaan ini, sekali gus meningkatkan jumlahnya.

Sedar atau tidak, daripada sembilan subspecies’ harimau belang, tiga subspecies’ telah pupus. Sekiranya isu kepupusan harimau Malaya tidak diendahkan, dalam tempoh kurang dari sedekad, simbol keberanian dan kemegahan negara itu berpotensi menjadi sebahagian kenangan dan penyesalan nasional. Di negara tetangga Indonesia, harimau Bali dan harimau Jawa telah lenyap sepenuhnya akibat aktiviti pemburuan dan perdagangan haram. Setakat ini tiada jalan untuk menghidupkan semula spesies yang telah pupus. Amat sedih untuk memikirkan, kadang kala sesuatu itu perlu hilang atau pupus terlebih dahulu untuk dihormati dan disayangi.

Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.

– BebasNews

https://bebasnews.my/?p=67230