Displaying items by tag: arak

Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras baru-baru ini, menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.

Di satu pihak, cadangan itu ditentang habis-habisan dengan alasan pelaksanaan kawalan berkenaan bakal menyekat kebebasan individu, terutama masyarakat bukan Islam.

Pihak lain pula menyambut baik hingga ada berpendapat penjualan arak sama sekali tidak wajar dibenarkan di Malaysia yang dianggap sebagai negara yang penduduk majoriti beragama Islam.

Dalam menanggapi polemik ini, kita perlu mengenal pasti beberapa isu yang menjadi landasan kepada permasalahan. Beberapa isu pokok perlu diselesaikan dan dijelaskan. Ia saling berkait dengan persoalan ini hingga berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Pertama, kedudukan hukum arak kepada masyarakat Muslim. Ia jelas perkara dilarang seperti ditegaskan berulang kali baik dalam al-Quran mahupun sunnah. Bahkan, larangan turut meliputi segala aspek berkaitan arak seperti terbabit dalam memproses, menjual, dan membawanya.

Namun, Islam turut bertoleransi dan bertolak ansur dalam menjamin hak kebebasan masyarakat bukan Muslim yang hidup di wilayah pentadbiran Islam.

Hal ini banyak dibincangkan ulama muktabar baik pada zaman klasik mahupun kontemporari dalam topik berkenaan Ahkam Ahl al-Dhimmah yang menyentuh tatacara mengurus hubungan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara Islam.

Majoriti ulama bersepakat masyarakat bukan Muslim perlu diberikan kebebasan mengamalkan kepercayaan dan gaya hidup mereka, termasuk meminum arak.

Justeru, mereka tidak akan dikenakan sebarang hukuman hudud mahupun takzir sekiranya didapati meminum arak seperti termaktub dalam undang-undang jenayah Islam.

Bahkan jaminan kebebasan ini sampai ke satu tahap terdapat ulama memberikan hak kepada orang bukan Islam untuk menuntut ganti rugi, sekiranya minuman araknya dirosakkan orang Islam.

Justeru, kita perlu membezakan antara persoalan status keharaman arak dalam Islam dengan kebenaran diberikan Islam kepada penganut agama lain.

Islam tidak memaksakan kepercayaannya kepada penganut agama lain. Namun, Islam meletakkan garis panduan jelas dalam menguruskan hak kebebasan masyarakat bukan Islam.

Ini dilakukan bagi menjamin kerukunan dan kesejahteraan hidup masyarakat berbilang agama terutama dalam masyarakat majoriti Muslim.

Oleh itu, kebenaran meminum arak hanya tertakluk kepada tempat persendirian mereka, bukannya di ruangan awam seperti pasar dan jalanan. Begitu juga kebenaran ini hanya khusus bagi masyarakat bukan Islam sahaja.

Mereka dilarang keras untuk menjual minuman keras kepada orang Islam, apatah lagi mempromosikannya kepada orang Islam untuk membelinya. Jika ini dilakukan, mereka dianggap melampaui batasan kebebasan diberikan Islam. Justeru akan dikenakan hukuman.

Dengan ini, kita dapat memahami letak duduk sebenar isu yang menjadi polemik ini. Isu yang sepatutnya menjadi fokus perbincangan ialah garis panduan dicadangkan kerajaan untuk mengawal proses penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam.

Jika dinilai daripada neraca pandang syariah, ini jelas termasuk dalam bab pentadbiran pemerintah (siyasah syariah) terhadap rakyatnya. Oleh itu, sebarang keputusan diambil perlu berdasarkan pertimbangan implikasi kemaslahatan dan kemudaratan kepada rakyat.

Kewibawaan diberikan kepada pemerintah untuk menghalang dan menyekat sesuatu perkara yang boleh membawa kepada bahaya serta malapetaka berlandaskan prinsip 'sadd al-zarai' (menutup jalan menuju kemudaratan) dalam hukum Islam.

Pada masa sama, skop perbahasan perlu diperluaskan meliputi keseluruhan masyarakat, tidak terhad kepada masyarakat Muslim semata-mata.

Masyarakat sivil di negara ini perlu mengambil bahagian dalam mencari penyelesaian bagi permasalahan ini yang membabitkan ancaman dan bahaya kepada ketenteraman ruang awam serta memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Hal ini sudah lama dipraktikkan di negara bukan Islam lain terutama di Barat yang mengambil langkah proaktif mengawal penjualan minuman keras seperti mengehadkan lesen penjualan, mengkhususkan premis tertentu sahaja serta menetapkan masa terhad bagi penjualannya.

Ini semua dilakukan atas dasar kesedaran bagi membendung gejala sosial dan melindungi masyarakat umum daripada bahaya yang timbul daripadanya tanpa memerlukan kepada sentimen agama.

Oleh itu, kita dapati amat wajar kerajaan meneruskan langkah mengetatkan garis panduan lesen jualan minuman keras di tempat awam. Bahkan, inisiatif ini perlu diperluaskan di kawasan lain serta merangkumi semua kategori minuman keras memabukkan.

Bukti ancaman kemudaratan perlu dicegah melalui tindakan ini amat jelas berdasarkan peningkatan berterusan statistik kes pemandu mabuk, keganasan domestik dan gangguan awam dilakukan pemabuk.

Pada masa sama, langkah ini perlu diambil dengan pendekatan lebih inklusif membabitkan keseluruhan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Penjelasan perlu dibuat bagi memberi kesedaran dan pencerahan berkenaan tujuan utama tindakan ini diambil kerajaan.

Cara ini ternyata pendekatan 'menang-menang' dengan masalah dapat diatasi dan stigma serta persepsi negatif seperti ancaman terhadap kebebasan masyarakat bukan Islam dapat dielakkan sama sekali.

Penulis adalah Penganalisis di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

BH, New Straits Times Press, 29 NOV 2020

Source: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/11/759575/had-lesen-jualan-arak-langkah-tepat-bendung-gejala-sosial