Displaying items by tag: conspiracy
Manipulasi data, suapan algoritma lahir fanatisme di media sosial (in Bahasa Malaysia)
Tidak cukup dengan peperangan tidak berkesudahan melawan COVID-19, termasuk berdepan penolakan kumpulan antivaksin, rakyat terpaksa mengharungi juga pelbagai episod pertelagahan politik tidak berkesudahan.
Kebelakangan ini tercetus pula 'pertempuran' antara kelompok menyokong aliran dengan tokoh agama tertentu. Seperti pertelagahan politik, pertelagahan antara agamawan sebenarnya bersifat tradisional kerana sudah berlangsung sejak berkurun lalu.
Namun, ia tidak pernah sesengit di media sosial hari ini sehingga turut membabitkan rakyat biasa daripada pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, pendidikan dan usia.
Hari ini, maklumat sama ada yang benar atau palsu diperoleh dengan mudah dan murah melalui media digital. Pengaruh maklumat ini membentuk kumpulan warganet yang berpegang kepada pemahaman sendiri sehingga ada tanpa segan-silu memaki hamun dan santai meluahkan pendapat, tidak kira bernas atau mengarut.
Platform perjuangannya kini mengambil tempat di dunia maya, berlangsung 24 jam sehari selagi ada 'pejuang' tidak tutup mata. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Apakah pertempuran 'mencari kebenaran' ini sihat untuk rakyat dan ummah?
Daripada 32.75 juta rakyat Malaysia, 20.9 juta adalah pengguna telefon pintar. Berdasarkan statistik 2018 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), jumlah pengguna Facebook di negara ini sekitar 22 juta, manakala pengguna Twitter 7.2 juta.
Purata jumlah masa dihabiskan rakyat Malaysia untuk menonton YouTube pula adalah 80 minit sehari. Statistik 2020 oleh Statista.com menunjukkan sehari, rakyat Malaysia menghabiskan 9.17 jam di internet dan 3.01 jam di media sosial.
Hal ini memberi gambaran betapa rakyat sudah begitu sebati dalam dunia digital dan meninggalkannya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Dunia seperti apa yang sedang kita alami ini?
Selamat datang ke 'dunia dipacu data' atau data driven world dengan dunia nyata begitu bergantung dan dipengaruhi sistem data raya. Data pengguna internet 'dilombong' dan dijana 24 jam sehari oleh pelbagai proses digital, sistem serta peranti penderia di sekeliling kita seperti aplikasi di media sosial, telefon serta jam pintar.
Contoh mudah, aplikasi seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube berkebolehan menjejak apa yang sering kita cari di internet atau di aplikasi itu sendiri.
Tanpa disedari, aplikasi itu menjana 'algoritma' menentukan apa akan muncul di suapan media sosial kita, biasanya untuk menyasarkan iklan (dan kadangkala penyasaran politik).
Algoritma mengambil kandungan yang pernah pengguna lawati atau cari di internet, kemudian mencipta lebih banyak suapan, berdasarkan interaksi dan aktiviti digital mereka seperti aktiviti like, share, hashtag dan comment.
Disebabkan minat atau benci, seseorang itu mungkin sering membuat carian mengenai 'Parti X' atau 'Ustaz Y' di Facebook atau YouTube. Algoritma akan mengenal pasti dan menggandakan suapan mengenai carian itu sehingga ia mendominasi suapan media sosialnya.
Menerusi suapan berulang, seseorang akan cenderung untuk menerima dan membaca cerita satu hala, kemudian berasa pemahamannya betul serta akhirnya menjadi fanatik tanpa disedari.
Sistem sebegini amat diperlukan individu atau kumpulan memburu populariti dan jana wang laman sosial, contohnya YouTube. Semakin ramai pengikut fanatik, semakin sengit pertempuran di ruang komen, manakala jumlah penonton dan pelanggan salurannya akan meningkat.
Semakin tular di alam maya, semakin banyak juga misalnya jemputan ceramah, jualan buku atau jumlah pengundinya. Betul atau tidak ilmu diajar atau janji ditabur sudah tidak penting. Apa yang penting adalah popular.
Hari ini, tokoh politik dianggap karismatik dan ahli agama tertentu dianggap mulia, bukan kerana jasa bakti atau kesahihan ilmunya, tetapi berapa ratus ribu penyokongnya di dunia maya.
Bakti tidak seberapa berbanding kerosakan, ajaran dan amalan aneh, begitu mudah dianggap sebagai kebenaran oleh penyokong fanatik.
Ramai tidak sedar, antara punca munculnya pengikut fanatik di dunia digital adalah kerana manipulasi data serta suapan berulang algoritma di media sosial.
'Pendewaan' ahli politik dan ahli agama di dunia digital memberi kesan besar kepada sosiopolitik negara. Fanatisme mengakibatkan manusia terpesong pemikiran, akidah, menjauhi kebenaran dan membunuh demokrasi.
Kita menjadi 'hamba' teknologi algoritma dan kecerdasan buatan (AI), semakin celaru, penat dan sesat kerana kita berhenti menggunakan kecerdasan dan kewarasan akal fikiran.
Kita bergantung kepada media sosial dan watak diri tokoh tertentu, bukan menuntut ilmu melalui sumber sahih dan boleh dipercayai untuk mencari kebenaran.
Kita sudah sampai pada zaman yang kebenaran tampak batil dan batil tampak benar. Teknologi dijana AI lain seperti filter, face app dan deep fake mencipta sosok tiruan, pura-pura, bahkan tidak wujud, tetapi dipuja di alam digital.
Ini ujian amat berat bagi umat era pasca-kebenaran yang permainan emosi digunakan untuk mengubah emosi dan pemikiran seseorang terhadap sesuatu dengan menyembunyikan apa yang benar. Belum lagi bicara soal dunia Metaverse, kebenaran kini sudah tidak penting lagi.
Sebagai manusia diberikan nikmat akal fikiran, kita seharusnya bijak memilih apa benar atau salah berdasarkan ilmu dan maklumat daripada sumber sahih. Algoritma adalah keperluan dunia moden kerana memudahkan pelbagai urusan harian manusia. Namun, jika tidak digunakan sebaiknya, ia 'senjata makan tuan'.
Penulis adalah Eksekutif Persidangan, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia
Teori konspirasi penghalang usaha melawan COVID-19 (in Bahasa Malaysia)
DUNIA masih tidak mampu keluar dari belenggu COVID-19 walau pun pelbagai langkah pencegahan diambil hampir dua tahun. Daripada kaedah ‘lockdown’, penguatkuasaan SOP, sehinggalah kepada pemberian vaksin secara mega di seluruh dunia, semakin dilawan semakin bermutasi pula virus tersebut menjadi varian-varian baharu dan dikhabarkan lebih bahaya. Perkembangan ini menyemarakkan lagi pertembungan antara dua kelompok masyarakat era 2021 CE (Covid Era), iaitu golongan anti-vaksin dan pro-vaksin.
Wabak pandemik bukanlah fenomena baharu. Sekitar pertengahan kurun ke-14, wabak Black Death tercetus di Asia Tengah berpunca daripada bakteria bawaan tikus. Ia merebak begitu pantas di Asia, Eropah, Afrika Utara dan beberapa bahagian dunia lain. Masyarakat dunia ketika itu tidak mengetahui punca wabak tersebut, apatah lagi cara merawatnya. Yang terdaya mereka lakukan hanyalah berdoa dan berlindung di rumah-rumah ibadat, menyebabkan semakin ramai mangsa dijangkiti dan terkorban. Sebelum era kemajuan perubatan muncul, masyarakat Eropah misalnya menyalahkan kaum Yahudi kerana didakwa membawa sial. Amalan ilmu hitam serta kemurkaan Tuhan dan dewa-dewi juga didakwa sebagai penyebab wabak. Ia adalah penjelasan paling mudah untuk memahami punca sesuatu wabak.
Black Death membunuh sekitar 200-700 juta manusia dalam tempoh kurang 10 tahun, ketika era perhubungan dan pengangkutan masih di peringkat asas, dan populasi dunia tidak sesarat hari ini. Bermaksud dalam abad moden ini kita lebih berisiko tewas akibat pandemik. Justeru bagaimana caranya kita bangkit melawan?
Ketika COVID-19 muncul dua tahun lalu, kita begitu berharap supaya vaksin COVID-19 segera ditemukan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kini sudah ada beberapa pilihan vaksin, tetapi ramai pula yang menolaknya. Sekali lagi golongan Yahudi dan sekutu-sekutunya dipersalahkan.
Golongan anti-vaksin mendakwa vaksin-vaksin COVID-19 masih dalam peringkat eksperimen, dan manusia bukanlah tikus makmal. Vaksinasi didakwa usaha terancang ‘gerakan rahsia berpengaruh’ untuk mengurangkan populasi dunia secara mendadak, selain menguasai ekonomi dan politik global.
Idea sekumpulan saintis elitis berkonspirasi mencipta vaksin berbahaya untuk meranapkan 8 bilion umat manusia sebenarnya sukar diterima akal. Para saintis sebenarnya paling sukar untuk bersetuju sesama sendiri. Jika ujian-ujian membuktikan sesuatu vaksin itu membahayakan nyawa, saintis global akan sepakat menolak penggunaannya. Dunia moden pernah mengharungi wabak Spanish Flu, Ebola, SARS, AIDS dan sebagainya. Dalam tempoh krisis itu, masyarakat umum dunia lebih mempercayai sains berbanding teori-teori konspirasi.
Teori konspirasi menarik pengikut yang ramai kerana ia menawarkan penjelasan mudah mengenai isu-isu rumit kepada orang awam. Sejarah manusia diwarnai siri peperangan, krisis, revolusi dan pandemik yang rumit untuk dijelaskan. Dengan mempercayai teori-teori konspirasi, seseorang akan memiliki perasaan seolah-olah memahami segala-galanya. Sekiranya kepercayaan kepada teori konspirasi ini berkembang, usaha untuk membanteras COVID-19 akan menjadi sukar.
Kerajaan didakwa tidak telus dan menyembunyikan fakta sedangkan semakin ramai rakyat jatuh sakit bahkan meninggal dunia selepas divaksin. Pelbagai ‘bukti’ kesan sampingan dan kematian akibat vaksin dikeluarkan. Penolakan dan propaganda seperti ini mencabar usaha kebangsaan melawan COVID-19, sekali gus membahayakan diri dan orang lain. Sedar atau tidak, apa yang lebih berbahaya daripada virus COVID-19 itu sendiri adalah keengganan untuk semua pihak bekerjasama dalam tempoh getir ini.
Sebenarnya, tidak semua yang menolak vaksinasi itu berpendirian anti-vaksin atau pentaksub teori konspirasi. Ada dalam kalangan mereka itu profesional bidang perubatan dan pakar vaksinasi sendiri. Justeru perlu ada dialog dan kerjasama dengan kumpulan profesional ini. Inisiatif YM Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk memahami kumpulan guru di Johor yang enggan divaksin juga boleh dijadikan contoh. Vaksin bukanlah segala-galanya, tetapi menolaknya bulat-bulat akan menyebabkan kesukaran tambahan kepada negara di peringkat nasional dan global.
Saranan menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba supaya negara mula menghasilkan vaksin buatan tempatan sepatutnya diterima secara serius, dan bukannya disambut dengan sindiran politik dan lelucon. Sekiranya vaksin luar negara menjadi kegusaran, justeru sudah masanya kita bersungguh mencipta penawar atau vaksin formula sendiri, yang kita tidak ragu dan buktikan sendiri keberkesanannya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober 2021. Kerajaan Malaysia tidak memaksa setiap rakyatnya untuk divaksinasi, tetapi ia terus digalakkan supaya pelbagai sektor dalam negara dapat dibuka dan kehidupan rakyat dipulihkan walau pun dalam norma baharu. Ia juga bagi mengelak sekatan-sekatan yang terpaksa dilakukan dalam urusan seharian demi kemaslahatan semua.
Sekiranya kesan jangka panjang vaksin terhadap kesihatan menjadi kekhuatiran, mungkin kita juga perlu memikirkan bahan-bahan yang kita ambil setiap hari. Makanan diubah secara genetik (GMO), makanan diproses seperti sosej dan daging burger, ikan diawet formalin, buah-buahan disalut lilin, sayur-sayuran disemburi racun serangga, perasa makanan tiruan, rokok dan vape, semuanya memberi kesan buruk jangka panjang kepada kesihatan, bahkan menyebabkan begitu banyak kematian. Bezanya, ia tidak disuntik masuk ke badan. Ia juga tidak ‘dipaksa’, tapi majoriti kita mengambilnya. Tidak ramai pula berjuang menolak pengambilan bahan-bahan tersebut.
Jika vaksinasi COVID-19 menjadi punca paranoia kerana didakwa usaha terancang mengurangkan populasi manusia di dunia, normalisasi homoseksualisme dan gaya hidup LGBTQ juga usaha halus yang ‘dicucuk’ ke dalam pemikiran masyarakat moden, supaya manusia tidak membiak. Ini jauh lebih berbahaya dan menjijikkan berbanding kaedah vaksinasi kerana berpotensi meruntuhkan institusi kekeluargaan, moral dan agama.
Dalam keadaan masih tiada penawar ampuh mencegah dan merawat COVID-19, kita memerlukan masyarakat yang tidak terlalu paranoid dengan teori-teori konspirasi, dan menerima hakikat vaksinasi sebagai kaedah paling berkesan setakat ini, jauh lebih baik daripada tiada vaksin langsung. Ia terbukti secara saintifik mengurangkan kes pesakit dimasukkan ke hospital. Sungguh pun tidak mampu mengelak individu daripada dijangkiti atau menjangkiti orang lain, apatah lagi mencegah kematian, vaksinasi COVID-19 tidak patut dipandang enteng dan serong.
Nur Iman Ramli, Pegawai Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia.
– BebasNews