Displaying items by tag: COVID19

WABAK Covid-19 bermula di negara China tiga bulan yang lalu dan kini telah menyerang dunia. Beribu nyawa terkorban dan beratus ribu orang dijangkiti penyakit yang sangat digeruni buat masa kini. Malaysia juga tidak lari dari terlibat dengan wabak yang mudah berjangkit ini. Justeru kerajaan Malaysia telah mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) bermula 18 -31 Mac 2020. Premis, pejabat, sekolah, universiti  kecuali perkhidmatan yang amat perlu seperti pasar, pasar raya, perbankan diarah tutup bagi tempoh tersebut. Perhimpunan orang ramai termasuk untuk ibadah sembahyang berjemaah di masjid dan surau juga dilarang dalam tempoh ini. Orang ramai diminta untuk tinggal di rumah agar wabak ini dapat ditangani dengan baik.

Dalam konteks Maqasid Syariah, Perintah Kawalan Pergerakan ini berperanan untuk memberi kebaikan kepada manusia sejagat dan menyelamat mereka daripada sebarang kemudaratan daripada wabak Covid-19.

Dalam membicarakan Maqasid Syariah, Ibn Ashur meluaskan pengertian Maqasid dengan menekankan penjagaan kerukunan masyarakat supaya manusia menikmati satu pencapaian sihat. Atas dasar inilah kepentingan utama Maqasid Syariah adalah untuk menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Lantaran dari itu, para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa kehendak Syariah itu mesti berlandaskan Maqasid Syariah yang meliputi tiga keutamaan iaitu Dharuriyyat (essential), Hajiyyat (complimentary) dan Tahsiniyyat (embellishment).

Keutamaan Dharuriyyat merupakan kepentingan utama di mana sekira ia diabaikan boleh membawa kepada kemudaratan hidup manusia. Di bawah keutamaan ini, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan.  Justeru memelihara agama (religion) nyawa (life), intelek (intellect), keturunan dan maruah (dignity and lineage) dan harta (property) menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia ini.

Secara umumnya, lima nilai utama di atas merupakan tonggak terhadap Dharuriyyat.  Atas dasar memelihara nyawa, Syariah memperkenalkan rukhsah (kelonggaran) di mana dalam keadaan darurat, perkara yang wajib boleh dikecualikan dari kewajipannya. Maka larangan terhadap perkara yang wajib adalah satu kemestian. Ini kerana membiarkan diri terdedah kepada bahaya adalah menyimpang dari ajaran Islam. Ini dijelaskan dalam ayat 195 Surah al-Baqarah: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Malah mengikut Kaedah Fiqh:” Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan”, maka larangan perhimpunan ramai adalah menepati hukum Syarak bagi menolak kemudaratan yang lebih besar. Atas dasar ini juga Kaedah Fiqh menetapkan “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah”.

Memelihara nyawa termasuk dalam keutamaan Dharuriyyat yang menjadi asas keutamaan Maqasid Syariah selepas agama. Melihat kepada kemudaratan yang timbul dari wabak Covid-19, kewajipan dan galakan beribadah di masjid dan surau tidak menjadi keutamaan lagi. Perhimpunan atas nama agama juga dilarang buat masa ini kerana ia akan membawa kepada kemudaratan manusia, khuatir ia boleh merebak. Bahkan larangan mengadakan solat Jumaat yang merupakan kewajipan juga dikuatkuasakan demi kelangsungan hidup manusia. Ini merupakan ketetapan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 15 Mac 2020 dan diikuti oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri.

Fatwa mengenai larangan berhimpun untuk tujuan beribadah juga telah dikeluarkan di dunia Islam lain. Antaranya yang dikeluarkan oleh Haiah Kibar Ulama al-Azhar al-Syarif, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Majlis Fatwa Syarie, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diketuai oleh Syeikh Abdullah Bin Bayyah, Mufti Republik Tunisia, Syeikh ‘Uthman Battikh, Kementerian Wakaf Syria dan Kesatuan Ulama’ Syam dan Majlis Agama Islam Singapura sepakat menyatakan harus meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah semasa wabak Covid-19 ini menular.

Dalam hal ini penulis suka memetik kupasan dalam Bayan Linnas Siri 225 mengenai Covid-19 yang merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Abdullah Bayyah. Pertama:menjadi kewajipan semua orang untuk bersama-sama dengan pihak berkuasa membendung wabak ini. Kedua: haram bagi mereka yang mengidap penyakit ini atau mengalami simptomnya keluar dari rumah. Mereka sewajibnya mendapat rawatan dan mestilah dikuarantin. Ketiga: diberi rukhsah (kelonggaran) bagi umat Islam untuk tidak menunaikan solat berjemaah, solat Jumaat, solat tarawih dan solat Hari Raya jika keadaan tidak mengizinkan kerana khuatir penularan wabak ini. Keempat: wajib mengikut ketetapan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam melaksanakan ibadah Haji dan Umrah. Kelima: kewajipan memberi bantuan dana kepada pihak yang terlibat dalam menangani wabak ini. Keenam: semua pihak diseru untuk memberi pertolongan dan bantuan mengikut kepakaran masing-masing serta larangan menaikkan harga keperluan perubatan.

Ketaatan kepada pemerintah dalam Arahan Sekatan Perjalanan mulai 18-31 Mac 2020 adalah wajib dan berlandaskan hukum Syarak. Ini juga merujuk kepada satu Kaedah Fiqh: “Tindakan seorang ketua ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan”. Justeru itu, ia adalah selari dengan nas al-Quran seperti yang disebut dalam ayat 59 Surah al-Nisa’: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Maka sebagai manusia yang waras, mengambil keutamaan Dharuriyyat, kita diwajibkan mengambil langkah yang sewajarnya demi memelihara nyawa sendiri dan manusia lain. Ketaatan kepada perkara yang makruf oleh pemerintah selagi mana ia tidak mungkar wajib ditaati.

Bebas News : 23.03.2020

Source: https://bebasnews.my/?p=32355

 

Tagged under
Page 6 of 6